Jika Virus Tak Pergi Ke Zlatan, Zlatan Pergi Ke Virus

Kerjasama Semuanya BOLA

Zlatan Ibrahimovic telah melancarkan sebuah kempen mengumpul dana untuk membantu hospital merawat pesakit wabak COVID-19 dan menyeru ‘rakan-rakan atletnya’ untuk membantu.

Penyerang AC Milan ini bermain di Itali – negara di luar China yang terjejas paling teruk oleh wabak pandemik ini. Ketika artikel ini ditulis, Itali sudah mencatat lebih 35,000 kes positif dan hampir 3,000 kes kematian.

Kempen mengumpul dana tersebut dibuat di halaman GoFundMe. Di halaman tersebut Zlatan menulis:

“Ketika ini Itali sedang berdepan dengan situasi kecemasan yang esktrim. Jadi kami membuat keputusan untuk menganjurkan kempen mengumpul dana. Semua hasil dana akan didermakan terus ke Hospital Humanitas untuk menambah keperluan unit jagaan rapi dan kecemasan di Milano, Bergamo, Castellanza dan Torino.”

Menurut penyerang berusia 38 tahun ini, dana tersebut akan digunakan untuk membeli alat-alat berikut:

  • pakaian sarung, topeng muka, sarung tangan dan alatan perlindungan peribadi
  • ventilator untuk paru-paru
  • sistem pengawasan
  • telemetri

Baru kira-kira 12 jam dilancarkan ketika artikel ini ditulis, kempen Zlatan ini sudah menerima 1,600 penderma dengan jumlah derma sebanyak €149,574 (RM716,654). Sasaran kempen ini adalah untuk mengumpul dana sebanyak €1 juta (RM4.8 juta).

Ibrahimovic sendiri membuat sumbangan berjumlah €50,000 sebanyak dua kali. Ini bermakna penyerang ikonik Sweden ini telah menderma sebanyak €100,000 (RM479,130).

Bercakap kepada pengikut akaun Instagram rasmi beliau, Ibrahimovic memberitahu ini adalah masanya untuk memberi semula kepada negara yang telah memberikan banyak rezeki kepadanya.

“Itali telah beri banyak kepada saya dan pada masa dramatik ini, saya mahu memberi lebih banyak lagi ke negara yang saya cinta ini.

“Saya mengharapkan kemurahan hati rakan-rakan saya, atlet-atlet profesional dan semua orang untuk memberi sumbangan kecil atau besar, mengikut kemampuan mereka, untuk membasmi virus ini.

Antara pemain profesional lain yang dikesan menyumbang dana kepada kempen ini adalah Alessio Romagnoli (€5,000) dan Rafael Leao (€1,000).

Turut menyumbang adalah rakan-rakan Ibrahimovic seperti Claudio Corti (pelumba motosikal Itali) dan Padel Zenter (gelanggang Padel yang dimiliki Ibrahimovic).

“Dengan usaha bersama, kita boleh membantu hospital dan doktor dan jururawat yang bekerja tanpa mengira penat setiap hari untuk menyelamatkan nyawa kita. Hari ini biarlah kita berikan galakan kepada mereka.

Ibrahimovic menamatkan mesej videonya dengan ayat klasik: “Dan ingat! Jika virus (COVID-19) tak pergi ke Zlatan, Zlatan sendiri yang pergi ke virus.”

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Zlatan Ibrahimovic:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram