Jika Hakimi Abdullah Boleh, Adakah Fayadh Zulkifli Juga Wajar Dapat Panggilan?

Fayadh Zulikifli Kedah panggilan Malaysia Harimau Malaya

Merupakan pemain yang paling banyak digunakan sebagai pemain gantian dalam saingan Liga Super musim ini, adakah Fayadh Zulkifli juga wajar dipertimbangkan untuk panggilan menyertai kem skuad kebangsaan?

Mengikut rekod daripada OptaJ, setakat 30 Ogos, pemain sayap Kedah Darul Aman FC, Fayadh Zulkifli telah digunakan sebagai pemain gantian sebanyak 17 kali dan merupakan yang tertinggi di saingan Liga Super.

Jika diambil kira sehingga ke penghujung liga, Fayadh Zulkifli menggenapkan penampilan sebagai pemain gantian sebanyak 20 kali. Beliau adalah pemain ‘penting’ kepada pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak.

Pengendali kelahiran Singapura itu gemar untuk memasukkan pemain gantian untuk merancakkan posisi di sebelah sayapnya dengan kemasukkan pemain-pemain sayap yang laju. Azamuddin Akil dan Fayadh Zulkifli adalah antara pemain yang kerap digunakan olehnya untuk menekan pihak lawan di penghujung perlawanan.

Dan acapkali percaturannya itu berjaya mengubah kedudukan perlawanan, malah adakalanya Fayadh Zulkifli juga berjaya mencetak nama selaku penjaring gol buat pasukan seperti ketika membenam Melaka United 4-1 dalam perlawanan penautup tirai Liga Super musim ini. Beliau meledak gol terakhir pasukan di minit ke-69.

Liga Super: Kedah Tempah ‘Tiket’ Ke Asia, Menang Besar Ke Atas Melaka United

Baki tiga golnya lagi dicetak ketika menang ke atas PJ City FC (4-1, minit ke-90), KL City FC (3-2, minit ke-71) dan PJ City FC (3-1, minit ke-84). Malah Aidil Sharin pernah menggelarnya sebagai ‘kad rahsia’ Kedah.

“Itu ‘kad’ saya. Saya tidak akan kongsikan rahsia saya,” jawab Aidil Sharin mengenai Fayadh Zulkifli dalam nada berseloroh di sidang media sejurus berakhir perlawanan sukar menentang Perak FC dengan kedudukan 1-1. Kemasukkan pemain itu membangkitkan Kedah daripada lena dan menyamakan kedudukan di minit ke-79.

Jadi, adakah pemain sebegini layak untuk dipanggil membarisi skuad Harimau Malaya? Jika peranan yang sama diberikan sebagaimana di Kedah iaitu sebagai ‘supersub’, mungkin ia adalah panggilan yang wajar.

Ini kerana, pemain Terengganu FC, Hakimi Abdullah kini bukanlah dalam kategori ‘pemain skuad utama’.

Mungkin dari segi minit permainan, Hakimi Abdullah tampil lebih berbanding Fayadh Zulkifli iaitu lebih 404 minit permainan, namun dari segi impak kepada permainan, kedua-duanya mungkin memiliki persamaan.

Hakimi Abdullah tampak lebih banyak tampil sebagai pemain gantian selepas liga kembali bersambung pada penghujung Julai lalu iaitu sebanyak tujuh kali dengan hanya dua kali berada dalam kesebelasan utama.

Namanya melonjak sebelum liga berehat pada Mei untuk memberi laluan kepada pusingan kelayakan Piala Dunia 2022. Beliau tampil tujuh kali dalam skuad utama Terengganu dan lima kali sebagai pemain gantian. Malah, jaringannya berjaya menumbangkan Johor Darul Ta’zim buat kali pertama di Stadium Sultan Ibrahim!

Senarai 10 Pemain Gantian Tertinggi Di Liga Super 2021, Menurut OptaJ

Mungkin Fayadh Zulkifli tewas kepadanya dari segi itu. Beliau tidak meledak berdepan JDT dan kurang penampilan skuad utama – hanya sekali, iaitu ketika terikat 2-2 menentang Sri Pahang pada 1 September lalu.

Adakah pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe sedia mempertimbangkan pemain sebegini? Beliau sudah lazim dengan tugasan di penghujung aksi dan mungkin boleh dijadikan pula sebagai ‘kad rahsia’ skuad Harimau Malaya? Malaysia pernah memiliki Anuar Abu Bakar dan Rusdi Suparman satu masa dahulu.

Hakimi Abdullah dipanggil atas prestasi baiknya sebelum saingan liga berehat dua bulan. Selepas liga kembali bersambung, prestasinya sedikit ‘hanyut’ dan Faiz Nasir lebih banyak digunakan. Jadi, jika Hakimi Abdullah boleh dipanggil, Fayadh Zulkifli juga wajar dipertimbangkan untuk panggilan dan peranan berbeza.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply