‘Jenama Adalah Penting’ – Manchester United Mahu Saman Football Manager

football manager manchester united saman

Manchester United dalam proses menyaman pencipta siri permainan video popular, Football Manager dek kerana dikatakan telah melanggar tanda dagang mereka.

Umum telah mengetahui permainan Football Manager adalah antara permainan video pengurusan bola sepak yang amat popular di dunia, malah terdapat dikalangan pemain juga didapati bermain permainan ini seperti Paul Pogba dan Cristian Eriksen.

Selain itu, pengurus Manchester United Ole Gunnar Solskjaer sendiri adalah antara pengguna tegar permainan video ini dan pernah berkata yang ia membantu dirinya bersedia untuk berhadapan dengan dunia sebenar pengurusan bola sepak.

Menariknya juga, terdapat kelab-kelab di Eropah yang menggunakan Football Manager sebagai pengkalan data bagi memburu pemain-pemain muda berbakat sepertimana yang pernah dilakukan oleh Hoffenheim ketika mendapatkan Roberto Firmino.

Kini, selepas 28 tahun berada di pasaran bermula dengan Championship Manager sebelum bertukar kepada Football Manager pada 1994, Manchester United seakan-akan kurang senang apabila nama kelab mereka digunakan dalam permainan itu.

Manchester United mendakwa yang nama kelab mereka telah digunakan dengan sangat meluas di dalam permainan tersebut dan mengesahkan telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Sega Publishing dan Sports Interactive.

Mereka juga mendakwa yang kedua-dua syarikat tersebut juga tidak menggunakan logo mereka pada nama kelab dan telah melanggar tanda dagang mereka. Ia telah digantikan dengan reka bentuk logo bersama jalur merah putih yang dipermudahkan.

Pihak pendakwaan percaya yang gambaran tersebut secara tidak langsung telah menghilangkan hak pemiliknya yang berdaftar untuk memiliki lambang kelab.

Sega Publishing dan Sports Interactive dalam penafian mereka telah menyatakan yang sepanjang kewujudan permainan ini, mereka telah menggunakan nama kelab tersebut secara sah dalam konteks bola sepak, tanpa sebarang masalah ataupun aduan.

Kedua-dua syarikat menuduh yang Manchester United cuba menghalang persaingan yang sah dalam permainan video dengan menghalang pihak yang tidak mendapat lesen daripada pihak kelab itu untuk digunakan di dalam permainan video.

Peguam yang mewakili kelab, Simon Malynicz mengatakan bahawa nama kelab ‘adalah salah satu jenama yang paling berharga dan dikenali di dunia’ – dan juga menjelaskan bahawa hasil dari melesenkan nama dan logo mereka adalah penting.

Malynicz mendakwa bahawa pengguna mengharapkan untuk melihat logo Manchester United di sebelah nama kelab, dan kegagalan Football Manager untuk melakukan perkara ini adalah sama dengan penyalahgunaan nama kelab tersebut.

Manchester United turut mendakwa yang pihak defendan telah ‘mendapat keuntungan langsung’ daripadanya dengan menghindari keperluan untuk memohon lesen sah daripada kelab dan juga menikmati peningkatan penjualan permainan video itu.

Dalam pembelaan bertulis terhadap dakwaan tersebut, peguam kedua-dua syarikat telah mendedahkan yang terdapat staf di kelab tersebut menghubungi mereka untuk mendapatkan data bagi tujuan pemantauan bakat dan juga penyelidikan.

Peguam mereka, Roger Wyand QC menjelaskan bahawa logo kelab yang digunakan di dalam Football Manager adalah salah satu daripada 14 templat logo yang dicipta dan dikeluarkan secara rawak oleh sistem setiap kali permainan baru bermula.

Baca lagi artikel mengenai Football Manager:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram