JDT Nafi Buat Tawaran Pancing Falcao

Kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) hari ini menafikan telah membuat tawaran untuk mendapatkan penyerang Colombia dan Galatasaray, Radamel Falcao.

Khabar angin bekas penyerang Manchester United, Chelsea dan Monaco itu akan menyertai juara tujuh kali Liga Super Malaysia (MSL) itu bertiup kencang sejak seminggu lalu, dan turut dilaporkan oleh beberapa portal bola sepak di dalam negara.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Pengarah Sukan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim, Martin Prest melalui satu kenyataan yang disiarkan pada hari ini.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ingin menjelaskan bahawa kami tidak membuat tawaran kepada Radamel Falcao seperti mana yang dilaporkan oleh media. Berita tersebut adalah khabar angin semata-mata,” kata Martin Prest melalui kenyataan tersebut.

“JDT tidak berada pada kedudukan kewangan yang kukuh untuk menandatangani pemain ‘marquee’ antarabangsa disebabkan pandemik Covid-19.

“Kami percaya bahawa kedudukan kewangan kelab akan berada pada tahap lebih baik dalam masa satu hingga dua tahun untuk mendapatkan pemain-pemain sedemikian.

“Kami perlu lebih berhemah dalam perbelanjaan ketika ini dan memberikan keutamaan kepada infrastruktur yang boleh membawa kebaikan kepada pembangunan.”

Musim lalu Falcao menyumbangkan sembilan gol dan dua assist dari 18 perlawanan untuk Galatasatray.

Pasukan yang sinonim dengan nama ‘Singa Istanbul’ itu kini bagaimanapun dikendalikan oleh kumpulan pengurusan baharu yang tidak berminat untuk meneruskan khidmat Falcao – atas faktor gaji pemain tersebut yang terlalu mahal.

Selain Falcao, Galatasaray turut dilaporkan mahu melepaskan pemain antarabangsa Senegal, Mbaye Diage. Kedua-dua pemain merupakan antara penerima gaji termahal di dalam pasukan.

 

 

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply