JDT Jadi Kelab Kedua Di Dunia Ditaja Aston Martin, Kelab Mana Yang Pertama?

JDT Aston Martin 2018 hadiah TMJ

Johor Darul Ta’zim (JDT) telah menjadi kelab pertama dari Asia Tenggara, malah di Asia, yang telah menjalin kerjasama dan menerima tajaan daripada Aston Martin.

Aston Martin adalah jenama terkemuka di dalam industri permotoran kereta mewah yang berpengkalan di United Kingdom yang telah diasaskan sejak tahun 1913.

Kita tentunya pertama kali mendengar Aston Martin terlibat dengan penajaan kelab bola sepak, namun sebenarnya mereka pernah terlibat dengan penajaan kelab bola sepak satu ketika dahulu. Dan ia bukan kerjasama bersama kelab dari tanah British!

Jika bukan dari tanah air sendiri, jadi kelab mana yang telah menjalin kerjasama bersama mereka terlebih dahulu sebelum JDT? Untuk rekod, JDT merupakan kelab bola sepak kedua yang telah menerima tajaan Aston Martin selepas 1860 Munich.

1860 Munich merupakan kelab yang ketika ini bersaing di divisyen ke-3 Jerman, 3. Liga. Ketika menerima tajaan daripada Aston Martin, mereka sedang bersaing di 2. Bundesliga iaitu bermula pada musim 2011/12 hingga musim 2012/13.

Ia merupakan kerjasama pertama mereka dengan kelab bola sepak dan mengapa mereka memilih Jerman sebagai destinasi pilihan? Tentunya untuk bersaing dengan jenama-jenama kereta terkemuka di Jerman seperti Audi, Porsche dan BMW.

Dengan menaja sebuah kelab di negara yang gilakan bola sepak seperti Jerman akan membantu mereka untuk memecah masuk ke pasaran kereta mewah di Jerman.

Disamping itu, mereka sebenarnya membantu 1860 Munich untuk keluar daripada masalah kewangan. Kelab itu memerlukan €8 juta untuk kekal berdiri sebagai sebuah kelab dan pelabur dari Jordan, Hasan Abdullah Ismaik menyelamatkan mereka.

Mengambil alih 60 peratus saham kelab pada Mei 2011, Hasan Abdullah Ismaik telah berjanji untuk meningkat reputasi kelab tersebut dengan meraih penajaan yang mewah buat mereka. Dan hasilnya, Aston Martin telah hadir sebagai penaja mereka.

Beliau turut mensasarkan 1860 Munich untuk kembali menjadi antara kelab besar di Jerman dan bersaing semula di Bundesliga dalam beberapa tahun selepas itu.

Begitupun, mereka gagal mencapainya. Mereka kekal bersaing di 2. Bundesliga untuk enam musim sebelum diturunkan pangkat ke divisyen ke-4 sebelum meraih promosi ke 3. Liga dan mereka kekal bersaing di 3. Liga sejak musim 2018/19 hingga kini.

Sejak berakhirnya kerjasama dengan 1860 Munich pada musim 2012/13, mereka tidak pernah terlibat dengan penajaan atau kerjasama dengan kelab bola sepak lagi.

Namun, mereka pernah tiba-tiba muncul dalam ‘scene’ bola sepak Malaysia apabila bekerjasama dengan pengurusan dan pemain JDT memberi hadiah kejutan buat DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) pada 2018.

‘Kisah cinta’ antara pengeluar kenderaan dan kelab bola sepak bukanlah terlalu asing walaupun ia sedikit asing buat Aston Martin yang kali terakhir terlibat hampir sedekad lalu. Terdapat banyak contoh di seluruh dunia tentang kerjasama dua entiti ini.

Antara contoh yang dapat dilihat sejak lewat 80-an sehingga kini adalah kerjasama antara Manchester United dengan Chevrolet, Juventus dengan Jeep, AC Milan dengan Opel dan Atletico Madrid dengan KIA. Itu sebahagian daripada ‘kisah cinta’ mereka.

Dan usah kita lupa dengan pengeluar kereta tempatan kita Proton yang terlibat dengan Norwich City. Walaupun terlibat dengan kelab yang bersaing di Championship, divisyen 1 England. Namun, mereka belum pernah terlibat dengan kelab tempatan.

Jika kena pada strategi, tajaan kepada kelab bola sepak boleh memberikan pulangan lumayan kepada kedua-dua pihak. Sebagaimana penegasan daripada JDT, kerjasama ini akan membuka peluang kerjasama lain untuk beberapa tahun mendatang.

Adakah Aston Martin akan membuka kilangnya di Johor? Adakah JDT akan terlibat dalam perlumbaan Formula 1 (F1) bersama Aston Martin yang kembali semula dalam kancah perlumbaan pada 2021 dengan nama Aston Martin Cognizant F1 Team?

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply