Lelaki Ini Kongsi Pengalaman Menarik Beliau Sertai ‘Awaydays’ Ke Osaka

Musim ini cukup menarik buat JDT apabila mereka diundi bertemu dengan gergasi Jepun iaitu Gamba Osaka dalam perjalanan ke peringkat kumpulan AFC Champions League.

Perasaan aku apabila JDT memperoleh ‘away tie’ ke Jepun bercampur-baur. Akan tetapi, perasaan bangga dan gembira lebih menguasai segalanya.

Catatan ini ditulis aku sepanjang 3 hari berada disana. Bagi memudahkan proses perjalanan, aku membuat banyak persiapan bagi mengelakkan dari tersesat.

Terima kasih juga kepada Semuanya BOLA kerana mengeluarkan artikel panduan untuk ke Osaka tempoh hari.

Menuju Osaka

Aku bersama-sama komrad Boys of Straits berkumpul di KLIA2 pada sekitar jam 10 malam.

Jadual penerbangan kami ke Osaka adalah pada keesokan harinya iaitu pada jam 1.55 pagi dan ia mengambil masa 7 jam untuk tiba di sana.

Syukur apabila kami berjaya sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai tepat pada jam 9.30 pagi dan suhunya disitu adalah sekitar 8 darjah celcius.

Usai selesai semuanya, kami bergerak dan menuju ke stesen tren untuk ke kawasan penginapan.

Perjalanan dari lapangan terbang ke kawasan penginapan mengambil masa dalam 90 minit dan kami dipecahkan kepada 2 kumpulan dimana 1 kumpulan akan menetap di Hostel Bells yang terletak di Minami-Ibaraki manakala selebihnya menginap di Noosa Hostel yang terletak di Tonda.

Sepanjang perjalanan ke rumah penginapan, perasaan aku masih lagi disulami dengan rasa kurang percaya!

Mana tidaknya, kami semua datang hampir beribu kilometer dengan membawa harapan yang tinggi untuk melihat aksi pasukan kesayangan yang akan menentang pasukan yang berjaya di peringkat Asia.

Perjalanan dari stesen tren Lapangan Terbang Kansai akhirnya berakhir di Stesen Osaka. Selepas sahaja turun di stesen Osaka, kami perlu ke stesen Umeda untuk meneruskan perjalanan kami ke tempat penginapan.

Aku bersama-sama kumpulan yang akan menetap di Minami-Ibaraki akhirnya selamat tiba di tempat penginapan pada jam 2.30 petang.

Cabaran getir

Cabaran utama di Osaka adalah untuk menahan kesejukan sekitar 6 hingga 8 darjah celcius yang sememangnya berbeza dari Malaysia.

Waktu lapang kami membawa kepada lawatan ke Dotonburi yang merupakan sebuah mercu tanda di Osaka.

Hal ini kerana disitu kita boleh saksikan banyak papan iklan LED bersaiz besar di Dotonburi.

Pemandangan indah di sekitar Dotonburi.

Selain itu, di Jepun sememangnya kos sara hidupnya adalah diantara yang tertinggi di dunia.

Mana tidaknya, sepanjang berada disana aku habis dekat RM400 hanya untuk tambang tren sahaja. Mujur ada Maggi Hot Cup penyelamat dikala waktu kelaparan.

Stadium mesra peminat

Hari yang dinantikan iaitu hari perlawanan akhirnya tiba! Aku bangun seawal 7 pagi dan aku diserang kesejukan Osaka sebaik saja aku bangun.

Aku sempat berjoging pada pagi tersebut untuk melihat bagaimana aktiviti rakyat Jepun. Nyata aktiviti mereka sama sahaja seperti rakyat Malaysia.

Aku juga mendapati rakyat negara ini murah dengan senyuman. Mana tidaknya, apabila disapa sahaja pasti senyuman terukir di bibir mereka. Manis!

Tepat jam 12 tengah hari, aku dan yang lain-lain berkumpul di perkarangan hotel dan sejurus itu terus bergerak menuju ke Suita City Stadium.

Untuk ke stadium, aku perlu naik tren dari Stesen Minami-Ibaraki ke Stesen Bampaku-Kinen-Koen. Mujur stesen tersebut berdekatan dengan stadium jadi akses ke stadium tidaklah sesukar mana.

Masa terluang aku gunakan untuk berkunjung ke kedai rasmi Gamba Osaka yang diberi nama sebagai BluSPAZIO. Disini merupakan tempat menjual barangan rasmi yang berkaitan dengan kelab Gamba Osaka.

Harga barang di BluSPAZIO agak mahal, tapi aku ke sana bukan selalu. Jadi aku pun membeli sehelai mafla berharga 2160 Yen (RM86).

Selepas itu, aku melawat ke BluSTORIA yang merupakan muzium bagi kelab Gamba Osaka.

Di situ, pengunjung bakal diperkenalkan dengan sejarah Gamba Osaka dan koleksi trofi kemenangan yang dimenangi mereka.

Satu perkara yang aku gemar akan pengurusan di Suita City Stadium adalah mereka prihatin dengan penyokong-penyokong JDT yang majoritinya beragama Islam.

Hal ini kerana di bahagian tengah stadium mereka sediakan beberapa gerai makanan halal sementara gerai yang tidak halal pula akan diberikan notis agar penyokong JDT tidak membeli makanan di situ.

Perlawanan bermula

Kini perlawanan pun sudah bermula, dan perkara menarik telah berlaku apabila pelancong dari Australia dan warga Jepun turut menyokong JDT!

Pada saat inilah yang akan membuatkan kita sentiasa mahu mencari kenalan baru yang mempunyai minat yang sama dengan kita tidak kiralah kita menyokong pasukan mana.

Lebih manis, sorakan dari B.O.S berjaya menenggelamkan sorakan dari penyokong Gamba Osaka ketika itu!

Inilah semangat yang mereka tunjukkan demi memberi semangat kepada pemain untuk terus berjuang di atas padang.

Dengan suhu yang mencecah 2 darjah Celsius, aku mendapati ada beberapa orang komrad Boys Of Straits sendiri yang sudah mula membuka baju! Sejuk? Itu bukan masalah utama bahkan bukan juga penghalang!

Apabila sudah masuk separuh masa kedua, jaringan sudah memasuki 2-0 dan jelas JDT tidak menggunakan peluang yang ada untuk merobek gawang Gamba Osaka.

Maaf kerana aku tak boleh ulas banyak pasal perlawanan itu kerana aku sibuk menikmati chanting dan suasana di dalam stadium.

Menuju pulang

Esoknya seawal jam 4.30 pagi aku terus bangkit bersiap dan menuju ke lapangan terbang. Untuk sampai ke sana, aku perlu mengambil tren di Stesen Minami-Ibaraki menuju ke Stesen Osaka.

Namun aku hadapi masalah di Stesen Osaka dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Kansai. Hal ini kerana tren yang ada 8 gerabak ini akan berpecah kepada 2 dan aku perlu naik gerabak yang betul untuk ke sana.

Gerabak 1-4 adalah gerabak yang ke lapangan terbang sementara gerabak 5-8 menuju ke lokasi lagi dan cuba teka? Aku di dalam gerabak ke-8!

Aku dan kawan-kawan cuba berlaku tenang, mujur ada seorang wanita tua Jepun cuba untuk memberikan panduan untuk kami ambil gerabak yang menuju ke lapangan terbang.

Pada mulanya kami tak faham kerana beliau bertutur dalam bahasa Jepun namun selepas beliau menggunakan bahasa isyarat barulah kami dapat mesej beliau. Kami berjaya menukar gerabak dan dapat tiba di lapangan terbang dengan selamat.

Terima kasih kepada wanita tua itu, kerana beliau aku dan rakan-rakan akhirnya berjaya sampai ke Malaysia pada jam 5.30 petang selepas bertolak dari Osaka pada jam 11 pagi.

Ternyata awaydays ke Osaka memberikan banyak pengalaman baharu buat aku. Disamping berjumpa dengan ramai kenalan baharu, aku juga bangga melihat pasukan aku beraksi menentang gergasi terulung di Asia.

Benarlah kata orang – bola sepak itu menyatukan, bukan memisahkan.

Nota editor: Artikel ini ditulis oleh Chad Abdul Rahim yang merupakan curator bagi laman Twitter ‘twt_awaydays’. Jika anda mahu tulisan anda dibaca oleh jutaan rakyat Malaysia, hantarkan artikel 300 patah perkataan anda dalam format MS Word ke [email protected] .

Baca juga: Lagenda Dennis Bergkamp, Kisah Penjaring Gol Yang Artistik Dari Belanda!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram