Jawapan Balas Ejen Norshahrul Idlan Berhubung Isu ‘Ghaib’

Ejen

Berita mengenai ejen kepada Norshahrul Idlan Talaha iaitu Abdul Halim Abdul Shukor yang dikatakan ‘ghaib’ pada ketika ini menjadi isu sensasi dalam kalangan penggiat serta peminat bola sepak tempatan.

Sebelum ini, Abdul Halim yang merupakan Pengarah Urusan Offside Sports dikatakan mengambil sikap lepas tangan walaupun Norshahrul dikhabarkan cuba untuk menghubunginya bagi mendapatkan nasihat berkaitan perkara berikutan penularan wabak COVID-19.

Sehubungan dengan dakwaan bahawa beliau mendiamkan diri daripada berhubung dengan Norshahrul, ejen tersebut tampil untuk memberikan penjelasan berhubung dengan masalah yang kian hangat itu.

”Saya bukannya menghilangkan diri tapi tidak mahu memberikan banyak komen kerana terdapat kes yang sedang berlaku antara Norshahrul, Saya dan seorang lagi ejen, Bangkok Glass dan Persatuan Bola Sepak Thailand (Thai FA).”

”Selepas mendapat ‘legal consultation’, saya memilih berdiam diri untuk tempoh ini,” ujar Abdul Halim menerusi kenyataan dikeluarkannya.

Dalam pada itu, Abdul Halim turut menceritakan permasalahan sebenar yang membuatkan beliau terpaksa untuk berdiam diri pada ketika ini.

”Sebelum Norshahrul menandatangani kontrak mandat ejen eksklusif dengan saya, tanpa pengetahuan saya, dia terlebih dahulu menandatangani perjanjian dengan seorang ejen dari agensi Thailand iaitu ‘Pro24’.”

Abdul Halim Abdul Shukor merupakan ejen kepada Norshahrul.

”Apabila Norshahrul menandatangani kontrak bersama Bangkok Glass, ejen daripada Thailand tersebut telah membuat aduan kepada Thai FA dan juga Bangkok Glass. Kes ini masih berjalan dan kemudiannya dengan kemunculan virus COVID-19, ia mungkin akan mengambil masa lebih panjang.”

”Disebabkan itu juga, sehingga sekarang Bangkok Glass masih belum membayar ‘agent fees’ saya kerana kes ini masih tergantung,” ujar Abdul Halim lagi.

Meskipun begitu, Abdul Halim mendedahkan bahawa rakan kongsinya di Thailand sentiasa membantu melancarkan urusan Norshahrul ketika berada di sana.

”Walaupun demikian, rakan kongsi saya di Thailand, Mr Abbey sentiasa menolong Norshahrul dengan hal-hal harian seperti mencarikan rumah buatnya dan lain-lain perkara.”

”Saya telah cuba untuk menghubungi ejen dari Pro24 tersebut untuk berbincang tetapi dia tetap berdegil untuk mengambil tindakan. Itu adalah hak dia.”

”Saya sebenarnya tidak mahu isu ini jadi besar [diketahui orang ramai] tetapi oleh kerana Norshahrul telah membuat kenyataan bahawa saya telah menghilangkan diri, saya terpaksa juga untuk menjawab persoalan ini,” katanya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram