Jaringan Roket Brendan Gan, Antara 5 Gol Tercantik Minggu 2 MSL 2019

Pemain

Minggu 2 Liga Super Malaysia (MSL) telah pun berlangsung. Dua perlawanan diadakan pada Jumaat, tiga lagi berlangsung pada Sabtu, dan pertemuan diantara Felda United menentang PKNP FC melengkapkan enam perlawanan sepanjang hujung minggu yang lalu.

15 gol telah terhasil sepanjang hujung minggu lalu daripada enam venue. Berikut adalah lima gol pilihan kami untuk gol tercantik minggu ini.

Pemilihan kami adalah gol yang bersih dan bukan ‘fluke’. Contohnya terbias di kaki pemain lain ataupun kerana kesilapan penjaga gol yang melepaskan bola. Ianya juga mengambil kira bagaimana gol tersebut dihasilkan secara teknikal.

Saksikan jaringan-jaringan tersebut seperti di bawah.

5. Azrif Nasrulhaq vs Kuala Lumpur FA

Walaupun selesa mendahului 3-1, JDT nyata masih bernafsu untuk memburu gol dalam perlawanan ini. Selepas Gonzalo Cabrera, Syafiq Ahmad dan Diogo Santo mencetak nama sebagai penjaring, Azrif Nasrulhaq yang beraksi di posisi bek sayap di sebelah kanan, turut enggan melepaskan peluang mencetak nama sebagai penjaring.

Pemain itu berjaya terlebih dahulu mencuri bola hasil clearance pemain Kuala Lumpur, menewaskan seorang lagi pemain dengan larian ke dalam kotak penalti, diikuti oleh rembatan deras yang tidak memberi peluang kepada Sharbinee Allawee. Ketenangan dan keyakinan pemain ini pada situasi tersebut amat mengkagumkan.

4. Herold Goulon vs Terengganu FC

Bertubuh sasa dengan ketinggian 1.95 meter, aspek fizikal sememangnya kelebihan utama buat pemain import Pahang dari Perancis ini. Beliau juga merupakan pemain pertahanan yang bijak membaca arah permainan lawan.

Namun demikian, Goulon turut membuktikan dirinya turut boleh menyumbang jaringan seperti yang dibuktikan dalam perlawanan menentang Terengganu. Berpunca dari sepakan penjuru oleh Saddil Ramdani, Goulon melonjak lebih tinggi dari pemain-pemain lain untuk menanduk tajam, terus menerjah gawang. Ia adalah satu tandukan bebas yang amat berkualiti dan sukar dihalang.

3. Renan Alaves vs Perak TBG

Ketinggalan 1-0 kepada Perak, jelas sekali Kedah perlu bangkit secepat mungkin untuk memastikan diri mereka terus berada dalam saingan. Apatah lagi dalam perlawanan bertempo tinggi seperti yang ditonjolkan oleh kedua-dua pasukan tempoh hari. Menarik sekali jaringan oleh Kedah disumbangkan oleh pemain import pertahanan, Renan Alaves.

Berpunca dari gerakan set pieces, Perak gagal mengeluarkan bola dengan kemas dari kotak penalti. Peluang yang terhidang tidak disia-siakan oleh Alaves, yang menghayun kaki persis seorang pemain penyerang. Tampak mudah. Namun, hakikatnya ia masih memerlukan kebolehan teknikal yang baik untuk dilakukan. Apatah lagi oleh seorang pemain pertahanan.

2. Sylvano Comvalius vs JDT

Sylvano Comvalius tiba di Liga Malaysia dengan reputasi besar sebagai penjaring terbanyak Liga 1 Indonesia pada 2017. Selepas tempoh singkat bersama Supanbhuri FC pada tahun lalu, Comvalius akhirnya bersetuju menyertai Kuala Lumpur pada musim ini. Tanpa kelibat Guilherme de Paula, Comvalius hampir keseorangan memimpin barisan serangan Kuala Lumpur menentang JDT.

Namun ini tidak bermakna pemain ini tidak mampu mengundang bahaya sekiranya diberikan peluang. Comvalius yang melarikan bola berhampiran kawasan tengah padang melepaskan satu rembatan kaki kanan yang langsung tidak memberi peluang kepada Farizal Marlias. Adakah ini bermakna pemain ini sudah bersedia untuk mencetak lebih banyak gol selepas ini?


1. Brendan Gan vs Kedah FA

Maestro skuad Seladang ini sudah pun dianggap wira di kalangan penyokong Perak melalui prestasi cemerlang pada musim lalu. Aksi yang ditampilkan oleh pemain ini di perlawanan akhir Piala Malaysia adalah salah satu yang paling diingati. Salah satu ciri-ciri pemain berkualiti ialah kemampuan mereka melakukan penyudah dengan kedua-dua belah kaki, walaupun dengan kaki yang lebih lemah.

Brendan Gan telah membuktikan dirinya mampu berbuat demikian ketika menjaringkan gol penyamaan untuk Perak di perlawanan akhir Piala Malaysia pada musim lalu. Dan kali ini, beliau melakukannya sekali lagi dalam perlawanan menentang Kedah – rembatan padu kaki kiri bagaikan roket yang menewaskan penjaga gol lawan.

Penutup

Apa pendapat anda mengenai minggu kedua saingan unifi Liga Super Malaysia pada musim ini? Anda mempunyai cadangan lain untuk jaringan yang perlu berada di dalam senarai kami?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN