Jaringan Pantas Dan Kemas Syafiq Ahmad Ketuai Gol Tercantik Minggu 9 MSL 2019

Minggu ke-9 Liga Super Malaysia (MSL) telah pun berlangsung. Dua perlawanan diadakan pada Jumaat, tiga lagi berlangsung pada Sabtu, dan satu perlawanan berlangsung malam tadi bagi melengkapkan enam perlawanan pada minggu ini.

11 gol telah dihasilkan sepanjang hujung minggu lalu daripada enam venue perlawanan. Tidak terkecuali, beberapa jaringan cantik turut dihasilkan, dan lima daripada jaringan tersebut kami senaraikan sebagai gol tercantik untuk minggu ini.

Pemilihan kami adalah gol yang bersih dan bukan ‘fluke’. Contohnya terbias di kaki pemain lain ataupun kerana kesilapan penjaga gol yang melepaskan bola. Ianya juga mengambil kira bagaimana gol tersebut dihasilkan secara teknikal.

5. Dickson Nwakaeme vs PKNS FC

Jaringan oleh Dickson Nwakaeme ini mengingatkan kualiti penyerang ‘target man’ klasik yang membanjiri bola sepak kita sejak beberapa dekad yang lalu. Mempunyai fizikal yang kuat dan gagah, mempunyai kelebihan untuk memenangi bola di udara, dan klinikal di hadapan gawang lawan – Nwakaeme mungkin merupakan antara penyerang import berasaskan ‘target man’ terbaik yang pernah kita saksikan.

Bijak menghalang pertahanan lawan, beliau melindungi hantaran dari Sumareh dengan kekuatan fizikal dimilikinya. Kemudian dengan satu pusingan, rembatan beliau berjaya menewaskan penjaga gol lawan.

4. Fernando Rodriguez vs Terengganu FC

Nama Fernando Rodriguez sudah acap kali berada di dalam senarai penjaring gol tercantik mingguan kami. Ini adalah satu lagi contoh penyudah klinikal dari penyerang yang berasal dari Sepanyol ini.

Ia juga adalah salah satu contoh gol yang dihasilkan secara berpasukan – yang merupakan kekuatan utama skuad Kedah pada musim ini. Berjaya memintas asakan pasukan lawan di bahagian pertahanan, pemain-pemain Kedah bertukar-tukar hantaran sesama mereka sebelum ianya disudahkan oleh Fernando Rodriguez

3. Chan Vathanaka vs Pahang FA

Jaringan ini unik kerana ia adalah contoh bagaimana ‘set up’ daripada bawah membantu menghasilkan jaringan di dalam bola sepak moden. Tugas seorang penjaga gol bukan sekadar untuk menepis percubaan pemain lawan untuk mengelak dibolosi. Tetapi turut untuk membantu jentera serangan untuk membantu pasukan menghasilkan gol.

Tindakan balas pantas Zarif Irfan dalam perlawanan ini membebaskan Kpah Sherman yang selepas itu berjaya mengumpan bola ke arah Chan Vathanaka. Penyerang sensasi Kemboja itu kemudian tenang mengawal bola sebelum menewaskan Helmi Eliza untuk gol pembukaan perlawanan.

2. Sandro da Silva vs Perak TBG

Harus diakui ia adalah jaringan dari sepakan percuma yang menarik, hasil kebolehan individu oleh Sandro Da Silva. Pemain dari Brazil ini sememangnya amat dikenali dengan kebolehan beliau untuk menghukum lawan dari situasi bola mati.

Malah sebelum jaringan tersebut dilakukan, Sandro turut mengegarkan tiang gol sebelah kanan pasukan pelawat dengan percubaan dari sepakan percuma. Ia adalah jaringan kedua dari pemain Brazil ini yang dibawa masuk menggantikan Antonio German sebelum tutupnya tarikh pendaftaran pemain pada awal saingan liga yang lalu.

1. Syafiq Ahmad vs PJ City FC

Ia perlawanan yang sukar buat JDT kerana terpaksa turun beraksi pada hujung minggu selepas aksi di AFC Champions League pada pertengahan minggu. Namun ia bukan alasan untuk mereka mencipta kemenangan.

Kali ini kemenangan hadir melalui gol tunggal jaringan Syafiq Ahmad. Bermula dari serangan balas pantas, Syafiq kemas menyambut hantaran Safawi Rasid di dalam kotak penalti, sebelum tenang menyungkit bola untuk menewaskan penjaga gol lawan untuk tiga mata berharga buat JDT. Pantas, bijak, kemas, klinikal – mungkin ungkapan terbaik untuk melabel jaringan tercantik minggu ini.

Rumusan

Anda mempunyai pilihan lain untuk jaringan tercantik minggu ke-7 unifi Liga Super Malaysia 2019? Nyatakan pendapat anda kepada kami. Kami mahu mendengarnya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN