Jaringan Minit Akhir Permainan Oleh Kalidou Koulibaly Membolehkan Persaingan Merebut Serie A Kembali Terbuka

Koulibaly

Juventus berpeluang untuk melebarkan penguasaan di tempat teratas dalam saingan Serie A apabila bertemu pasukan di tempat kedua, SSC Napoli di Allianz Stadium awal pagi tadi.

Namun, selepas wisel penamat ditiup pengadil perlawanan, Gianluca Rochi, harapan tersebut bertukar menjadi kehampaan selepas Napoli berjaya menundukkan juara enam musim berturut-turut itu hasil jaringan lewat permainan oleh pemain pertahanan, Kalidou Koulibaly.

Kemenangan tersebut menyaksikan hanya satu mata memisahkan kedua-dua pasukan dalam usaha merangkul kejuaraan musim ini.

Beraksi di hadapan lebih 40,000 penyokong di Turin tidak menggerunkan anak buah Maurizio Sarri untuk menghambat pendahulu liga tersebut.

Statistik perlawanan juga menunjukkan Napoli menguasai permainan berbanding pasukan tuan rumah serta memiliki lebih banyak peluang untuk mencipta jaringan.

Ketika perlawanan terikat tanpa jaringan hampir ke penghujung aksi, Koulibaly muncul wira selepas berjaya menanduk masuk bola hasil sepakan penjuru yang dilakukan Jose Maria Callejon pada minit ke-90 untuk mengecewakan skuad bimbingan Massimilano Allegri.

Koulibaly yang merupakan pemain antarabangsa Senegal mengakui beliau dan rakan sepasukan sememangnya berazam untuk terus memberikan tekanan buat Juventus.

Tandukan yang memberikan tiga mata penuh buat Napoli. Foto: SSC Napoli

”Kami tahu ianya merupakan satu perlawanan yang penting dan juga sukar buat kami, tetapi kami melakukan segalanya untuk memperoleh kemenangan. Kami melakukannya dan boleh berbangga dengan diri kami sendiri,” jelas Koulibaly.

”Apabila melihat para penyokong mengiringi kami di lapangan terbang, ianya membuatkan kami gembira. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua dan cara yang terbaik untuk membalasnya adalah dengan memenangi perlawanan (bertemu Juventus).”

”Juve merupakan pasukan yang kuat, tetapi kami membuktikan bahawa Napoli boleh bersaing hebat dengan mereka.”

”Terdapat satu mata perbezaan. Kami mahu menang semua perlawanan dari sekarang hingga di akhir nanti.”

”Kami percaya dengan diri sendiri, dalam corak permainan kami, dengan pemain dan staff kami. Kami membuktikan pada malam ini.”

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply