Jaringan Memukau Sanjar Shaakhmedov Antara 5 Gol Pilihan Minggu 1 CIMB Liga Super 2020

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email
Sanjar Shaakhmedov Terengganu FC Perak Liga Super 2020

Dengan CIMB Liga Super 2020 sedang ‘berehat’ panjang ketika ini, Semuanya BOLA akan bawakan kepada pembaca senarai lima gol pilihan yang telah dihasilkan oleh setiap pasukan bertanding bermula pada minggu pertama yang lalu.

Sebanyak 12 gol telah dihasilkan daripada enam perlawanan pada minggu pertama dengan pertembungan antara Terengganu FC dan Perak yang telah menghasilkan banyak gol iaitu empat gol – Perak mengejutkan Terengganu 3-1 di halaman lawan.

Berikut adalah lima gol yang menjadi pilihan untuk gol pilihan di minggu pertama Liga Super yang berlangsung pada 28 Februari hingga 01 Mac 2020:

Ariff Farhan Md Isa (Felda United v PJ City FC)

Jaringan pertama perlawanan pada minit ke-47 yang dihasilkan oleh pemain bek sayap yang baharu menyertai FELDA United musim ini, Ariff Farhan Md Isa, untuk mereka mendahului aksi yang berlangsung di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Hasil gerakan di sebelah sayap kanan, hantaran rendah ke tengah menemuinya yang berjaya menewaskan seorang pertahanan sebelum membuat percubaan ‘placing’ ke sebelah kiri gawang gol PJ City yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol lawan.

Sony Norde (Melaka United v UiTM FC)

Penyerang baharu Melaka United, Sony Norde telah berhasil menyumbang salah satu jaringan daripada kemenangan 2-0 mereka ke atas pendatang baharu Liga Super musim ini, UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam pada Sabtu.

Gol di minit ke-28 itu hasil hantaran jarak jauh kepadanya yang kemudian menahan menggunakan dada sebelum dengan pantas menguis menewaskan seorang pertahanan tuan rumah sebelum melepaskan rembatan ke sudut kiri gawang gol.

Brendan Gan (Selangor v Pahang)

Jaringan signature pemain tengah Selangor, Brendan Gan pada minit ke-89 ini telah menghiasi kemenangan 2-1 Gergasi Merah ke atas Pahang di gelanggang lawan, Stadium Darul Makmur untuk tiga mata pertama mereka di musim baharu.

Hasil hantaran jauh dari tengah padang kepadanya yang membuat larian deras di sebelah kiri, seterusnya bola dibawa masuk sedikit ke dalam kotak penalti lawan dan disudahi dengan rembatan padu melewati tiga pertahanan dan penjaga gol.

Ifedayo Olusegun (Selangor v Pahang)

Selain jaringan menarik Brendan Gan, jaringan pertama Selangor pada malam tersebut juga tiada kurangnya apabila penyerang berbisa, Ifedayo Olusegun berhasil meledak jaringan deras menewaskan Sharbinee Allawee pada minit ke-27.

Gerakan dimulakan sendiri olehnya, sebelum Brendan Gan membuat lambungan tipis melewati pertahanan tinggi lampai, Herold Goulon, seterusnya dengan tanpa melihat gawang, Ifedayo Olusegun membuat percubaan kaki kiri menerjah jaring.

Sanjar Shaakhmedov (Terengganu FC v Perak)

Maestro Terengganu FC ini sentiasa menghadirkan magisnya, tidak kira melalui hantaran mahupun caranya menghasilkan gol. Walaupun inilah satu-satunya gol yang dihasilkan tuan rumah, namun kualiti jaringan Sanjar Shaakhmedov ini sangat baik.

Bermula daripada sepakan penjuru pada minit ke-18, bola tersebut menemui Sanjar Shaakhmedov yang tidak dikawal, seterusnya disudahkan dengan rembatan half volley deras untuk menewaskan penjaga gol Perak, Nasrullah Abdul Aziz.

Itu adalah senarai lima gol pilihan daripada Semuanya BOLA sepanjang aksi pada minggu pertama Liga Super. Anda ada cadangan jaringan lain yang perlu berada dalam senarai tersebut? Sila tinggalkan pendapat anda di ruangan komen.

KREDIT FEATURED IMAGE: TERENGGANU FC

Baca juga artikel kami yang lain mengenai CIMB Liga Super 2020: