Jangan Jadikan AMD ‘Lubuk’ Orang Politik Cipta Nama

Kerjasama Semuanya BOLA

AMD

Baru-baru ini arena bola sepak negara digemparkan dengan perkhabaran bekas pemain bola sepak kebangsaan, Muhamad Khalid Jamlus telah ditawarkan untuk menjadi jurulatih di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD).

Semuanya bermula dengan pertemuan antara Khalid dengan seorang ahli politik susulan insiden bekas penyerang Perak itu yang terpaksa menjual banyak koleksi anugerah peribadinya di media sosial demi kelangsungan hidup.

Kebanyakan pihak kini mengandaikan tawaran untuk menjadi jurulatih di AMD tersebut merupakan satu bentuk ‘campur tangan politik’ dalam sukan bola sepak di mana ada pihak yang sesuka hati menggunakan ‘kuasanya’ untuk membuat keputusan.

Berita berkenaan telah mendapat kritikan daripada warga sukan memandangkan jawatan jurulatih bukanlah satu pekerjaan yang boleh ditawarkan begitu sahaja kerana ianya merupakan satu skop tugas berbeza yang memerlukan ilmu kejurulatihan yang cukup tinggi.

Apatah lagi tawaran itu adalah untuk menjadi jurulatih di sebuah akademi elit negara yang berada dalam kelas tersendiri di mana jurulatih yang selayaknya berada di sana adalah mereka yang mempunyai pengalaman dan telah pun terbukti kredibilitinya.

Perkara ini mendapat perhatian Pengurus Besar Little League Soccer, Shazwan Wong atau lebih dikenali sebagai Coach Syazwan yang menyatakan dalam akaun media sosialnya bahawa posisi jurulatih AMD adalah satu perkara yang serius.

Menurut beliau, tawaran yang diberikan itu seolah-olah memperlekehkan segala usaha jurulatih yang memulakan gerak kerja tersusun dalam mencorakkan sistem kejurulatihan di akademi tersebut.

“Tugas jurulatih di AMD jangan dibuat main-main. Jangan kerana ‘political mileage‘ kamu korbankan kualiti. Ia adalah pusat latihan kebangsaan dan jurulatih-jurulatih di sana yang saya kenal secara peribadi telah bekerja keras dalam sistem untuk berada di sana. Hormati mereka!”

Dalam satu ciapan lain, Shazwan memberi contoh karier Pengurus Juventus, Maurizio Sarri yang bermula sebagai jurulatih sambilan bersama pasukan liga divisyen kelapan Itali ketika masih bekerja dengan sebuah bank dan memanjat satu demi satu anak tangga sebelum mencipta nama bersama pasukan terbaik dunia.

Selain itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Safirul Abu Bakar turut meluahkan kegusarannya dengan menyatakan jawatan di akademi bola sepak kebangsaan bukanlah satu jawatan biasa.

Menurutnya, akademi elit di negara-negara lain seperti Aspire di Qatar dan Clairefountaine di Perancis, jawatan tersebut hanya ditawarkan kepada jurulatih yang benar-benar layak sebagai satu penghormatan kepada mereka yang diyakini dapat membantu dalam pembangunan bola sepak remaja.

Skop jurulatih yang diberikan kepada bekas pemain bola sepak negara bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilaksanakan memandangkan  menjadi jurulatih dan pemain bola sepak adalah dua perkara yang cukup berbeza.

Seorang jurulatih bola sepak perlu mempunyai “sports intelligence”, dorongan dalam membentuk sebuah pasukan yang mantap serta mempunyai tahap kesabaran yang tinggi. Jurulatih juga perlu menguasai teknik dan taktik permainan supaya prestasi atlet dapat meningkat.

Jika hanya berpengetahuan dalam bidang teknikal sukar buat Khalid Jamlus untuk membina pasukan yang mantap. Melainkan jika beliau menghadiri kursus kejurulatihan dan bermula dari bawah saya kira itu lebih sesuai.

Tawaran yang diberikan pada Khalid Jamlus perlu disebabkan merit sebagai seorang jurulatih bukannya atas lantikan orang politik. Saya fikir tiada masalah jika Khalid Jamlus menghadiri kursus kejurulatihan secara berperingkat terlebih dahulu.

Buktikan beliau mampu membentuk satu pasukan yang mantap sebelum menerima tawaran menjadi jurulatih di sebuah kelab yang sudah mencapai aras tersendiri itu.

Kredibilitinya diragui memandangkan beliau hanya dikenali sebagai seorang bekas pemain bola sepak kebangsaan dan bukannya seorang jurulatih yang mempunyai rekod cemerlang dalam membimbing mana-mana pasukan.

Tempoh hari AMD baru sahaja diberikan penarafan 2 Bintang oleh Skim Belia Elit oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di atas usaha dalam memastikan segala aspek berada dalam keadaan baik seperti staf, perancangan, kemudahan, pertandingan, kejurulatihan, pencarian bakat, perkhidmatan perubatan, sains sukan dan falsafah.

Dua bekas Menteri Belia dan Sukan sebelum ini telah pun meletakkan AMD pada satu tahap yang boleh dibanggakan oleh rakyat Malaysia di mata dunia. Jangan sesekali biarkan ‘makhluk perosak’ jadikannya sebagai ‘modal’ untuk menaikkan namanya dalam pentas politik.

Nota editor: Artikel ditulis oleh Leny Azmi, bekas Penolong Pegawai di Kementerian Belia dan Sukan, yang kini menjadi aktivis yang memperjuangkan nasib pemain bola sepak dan futsal wanita.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram