James Rodriguez Dan Ancelotti Berpeluang Bersatu Kembali

James Rodriguez Carlo Ancelotti

Apabila James Rodriguez menjaringkan gol cantik dan padu ketika menentang Uruguay semasa Piala dunia 2014, beliau telah diburu oleh deretan kelab-kelab besar yang mahu mendapatkannya.

Selepas kejohanan itu tamat, penyerang Colombia itu menerima Anugerah Kasut Emas (penjaring terbanyak kejohanan dengan enam gol) dan kemudian Real Madrid segera menyambarnya dari AS Monaco bernilai €75 juta dengan kontrak selama enam tahun ketika berusia 23 tahun.

Namun pada tahun 2020, masa depan James kini menjadi persoalan.

Kontraknya bersama Madrid akan tamat pada 2021 dan laman web Maca melaporkan, beliau kini sedang dirisik oleh beberapa kelab Liga Perdana Inggeris seperti Everton, Wolves dan Arsenal.

Berita itu mungkin melegakan Real Madrid yang tentunya tidak mahu melepaskannya secara percuma pada musim panas tahun akan datang.

Musim pertamanya di Real boleh dianggap sebagai antara yang terbaik dalam kariernya di Sepanyol. Beliau dinamakan sebagai pemain tengah terbaik La Liga dan juga terpilih dalam kesebelasan terbaik pada musim tersebut.

Bagaimanapun musim itu, Real Madrid tewas kepada Barcelona dalam perebutan kejuaraan liga dan juga gagal mempertahankan piala Liga Juara-Juara Eropah (UCL) yang dimenangi pada musim sebelumnya. Carlo Ancelotti kemudian disingkirkan dari Santiago Bernabeu dan tempatnya diambil alih oleh legenda kelab, Zinedine Zidane.

Musim pertama Zidane bersama Madrid menyaksikan pasukan itu memenangi UCL buat kali ke-11. Tetapi James sekadar menjadi ‘watak sampingan’ memandangkan formasi 4-3-3 yang diterapkan Zidane ternyata tidak bersesuaian dengannya. 

James lebih kerap beraksi sebagai pemain gantian dan hanya memulakan perlawanan sebanyak 21 kali sahaja daripada keseluruhan 52 perlawanan Real Madrid pada musim tersebut.

Mungkin tidak adil untuk menyalahkan Zidane kerana beliau sudah tentu mahu memilih pemain yang boleh beraksi sebaik mungkin berdasarkan sistem dan taktikal yang diterapkan dalam permainan dan James sekadar menjadi ‘tambahan’. Namun ianya telah menghasilkan kemenangan UCL tiga musim berturut-turut.

Apabila beliau dipinjamkan ke Bayern Munich selama dua msuim pada 2017, CEO kelab, Karl-Heinz Rummenigge melontarkan pujiannya kepada James dan percaya pemain itu mampu untuk kembali berada pada prestasi terbaiknya di Jerman.

“Kami gembira dapat merealisasikan perpindahan ini. Kemasukan James Rodriguez adalah permintaan pengurus kami, Carlo Ancelotti selepas mereka berdua bekerjasama dengan baik di Real Madrid sebelum ini.”

Namun ‘jodohnya’ bersama Ancelotti di Bayern hanya bertahan seketika sahaja selepas jurulatih dari Itali itu dipecat dan digantikan dengan Jupp Heynckes. Musim pertamanya di Bayern telah menyerlahkan kembali kemampuan sebenarnya dengan menyumbang tujuh gol dan 11 bantuan jaringan.

Musim keduanya di Bayern juga James beraksi dengan baik dan turut menjaringkan tujuh gol. Malangnya, Bayern tidak mengaktifkan pilihan untuk membelinya secara tetap dengan harga €42 juta yang dianggap berpatutan.

Ianya kerana Bayern Munich mempunyai polisi dan strategi dalam membina pasukan untuk jangka masa panjang. Tambahan pula pemain seperti Robert Lewandowski dan Thomas Muller sudah cukup sebagai pemain berpengalaman untuk membimbing pemain-pemain muda.

Malah mereka juga merasakan, pembelian James secara tetap akan membantutkan pembangunan pemain-pemain muda lain seperti Serge Gnabry, Thiago Alcantara, Leon Goretzka dan begitu juga dengan Alphonso Davies yang beraksi di posisi yang sama di bahagian kiri.

Keadaan itu meletakkan James dalam situasi yang serba tidak kena. Kembali ke Real Madrid yang sedang diuruskan oleh Zidane tentulah bukan langkah yang baik. Ia terbukti di mana pada musim ini beliau masih kurang diberi peranan sebagai watak penting.

Bukan lagi perkara rahsia bahawa Ancelotti yang kini meruapakan pengurus Everton sememangnya meminati kemampuan James yang boleh menjadi jentera tengah yang penting buat pasukan. Musim pertamanya di Madrid beliau telah menjaringkan 17 gol daripada 46 perlawanan.

Everton ketika ini sememangnya ketandusan kreativiti di bahagian tengah dengan Glyfi Sigurdsson juga bergelut untuk mempamerkan konsistensi dalam setiap perlawanan. Namun pasukan itu kini dilihat bertambah jauh lebih baik sejak pemecatan Marco Silva pada Disember lepas.

Sama ada mahu menggantikan atau menggandingkan James dengan Sigurdsson di bahagian tengah, ia mungkin pilihan yang boleh difikirkan oleh Ancelotti kerana beliau sememangnya tahu potensi besar yang dimiliki bintang Colombia itu.

Adakah kita berpeluang untuk menyaksikan kelibat James Rodriguez di saingan EPL pada musim akan datang?

Baca juga artikel kami yang lain mengenai James Rodriguez dan Carlo Ancelotti:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply