Jack Grealish: Wakili England Dapat Bantu Saya Capai Tahap Lebih Tinggi

Iklan

Jack Grealish

Ketua pasukan Aston Villa, Jack Grealish mengakui peluang untuk membarisi skuad kebangsaan England dan dapat beraksi di samping barisan pemain terbaik dunia mampu untuk membantu beliau mencapai tahap yang lebih tinggi dalam kariernya.

Pemain berusia 24 tahun itu buat pertama kalinya dipanggil oleh pengurus pasukan, Gareth Southgate bagi menyertai sesi latihan pusat skuad England berikutan kecederaan yang dialami Marcus Rashford dan Harry Winks.

Ini bermakna beliau berpeluang untuk membuat penampilan sulung bersama skuad The Three Lions yang bakal menghadapi dua perlawanan UEFA Nations League 2020 bertemu Iceland dan Denmark.

Sehubungan dengan itu, Grealish yang menjaringkan lapan gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2019/20 melihat ini peluang terbaik buatnya untuk terus meningkat apabila berada bersama-sama pemain berkelas dunia dalam kem England.

”Saya percaya dengan kemampuan diri saya sendiri dan yakin saya mampu untuk beraksi dengan baik di peringkat antarabangsa.”

”Tetapi saya mahu meningkatkan lagi prestasi dan bersemangat untuk belajar apa yang diperlukan untuk berjaya pada tahap ini,” ujar Grealish menurut laporan Goal.

”Saya percaya lebih baik pemain yang anda hadapi atau bermain bersamanya [rakan sepasukan], ia akan membuatkan anda semakin baik ketika beraksi. Saya sentiasa mempercayai perkara tersebut.”

”Sekiranya anda melihat kepada skuad England, mereka bukan sahaja terdiri dalam kalangan pemain terbaik di negara ini, mereka juga yang terbaik di dunia.”

”Saya pernah menentang mereka apabila mereka beraksi untuk Liverpool, Manchester City dan Spurs, dengan tidak banyak kejayaan [memenangi perlawanan].”

”Sekarang ini, saya tidak sabar untuk berlatih bersama mereka dan diharapkan dapat bekerjasama dengan pemain seperti Harry Kane, Raheem Sterling dan Trent Alexander-Arnold, berbanding daripada untuk menghentikan mereka.”

”Saya tahu saya boleh menjadi pemain yang lebih baik dengan belajar bersama pemain-pemain luar biasa seperti ini,” tambah Grealish lagi.

Kredit featured image: Shaun Botterill/Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Jack Grealish:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram