Itali Mahu Euro 2020 Ditunda

Persatuan Bola Sepak Itali (FIGC) mahu mencadangkan agar Kejohanan Euro 2020 ditangguhkan untuk memberikan ruang kepada mereka menamatkan saingan Serie A musim ini.

Saingan bola sepak domestik Itali itu telah ditangguhkan pada Selasa minggu lalu setelah Itali menjadi negara Eropah paling teruk menerima kesan daripada penularan wabak coronavirus.

Presiden FIGC, Gabriele Gravina berkata idea tersebut akan dikemukakan kepada UEFA dalam satu mensyuarat tergempar dijadualkan pada Khamis ini.

“Kami akan mengusulkan kepada UEFA supaya kejohanan Eropah ini ditangguhkan,” kata Gravina.

Bercakap di siaran televisyen Sportmediaset, beliau berkata: “Kami akan mencuba sehabis baik memasrikan Serie A ditamatkan kerana ianya akan menjadi lebih adil selepas pelaburan dan pengorbanan besar dilakukan oleh kelab bertanding.”

Pada Khams ini sejumlah 55 ahli gabungan UEFA dijangka bermesyuarat menggunakan sidang video, dengan Euro 2020 yang akan berlangsung pada 12 Jun -12 Julai dijangka akan menjadi topik hangat yang akan diperbincangkan.

Wakil daripada Persatuan Kelab Eropah (ECA) dan Liga-Liga Eropah berserta delegasi dari Fifpro turut dijemput bersama dalam mesyuarat tersebut, dan perbincangan turut menjurus kepada perjalanan pertandingan domestik di negara masing-masing.

FIGC sebelum ini berkata Serie A mungkin tidak akan ditamatkan dan beberapa alternatif lain seperti play-off antara yang dipertimbangkan.

Gravina bagaimanapun berharap saingan liga itu boleh ditamatkan selewat-lewatnya pada 30 Jun, namun mengakui ia mungkin berlanjutan selama sebulan selepas itu.

“Jika liga tidak disambung kembali menjelang permulaan Mei, saya akan meninggalkan anda dengan persoalan mengenai latihan buat masa ini,” ujar beliau.

“Biarkan sahaja pemain berehat di rumah, mereka boleh melakukan latihan fizikal dan mental sendirian.”

Pada Ahad lalu, Itali merekodkan 368 kematian, angka kematian tertinggi dalam tempoh sehari akibat wabak tersebut di negara itu setakat ini.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply