Ismail Zakaria: UiTM FC Belum Bersedia Dan Sebenarnya Tidak Serius!

ismail-zakaria-uitm-fc

Semuanya BOLA telah mendapatkan bekas pengendali UiTM FC, Ismail Zakaria bertanyakan mengenai status kontraknya bersama pasukan tersebut selepas tiada pengumuman rasmi mengenainya, walaupun pra musim pasukan dijangka bermula tidak lama lagi.

Ia berikutan tersebarnya di laman Facebook UiTM FC mengenai ketibaan pengendali baharu daripada luar negara beberapa hari yang lalu. Ini menimbulkan desas desus mengenai masa depan pengendali yang dikenali sebagai ‘pembunuh gergasi’ itu.

Berdasarkan penilaian daripada foto yang dikongsikan, pihak kami menjangkakan pengendali tersebut berasal daripada Sweden atau daripada negara-negara sekitar eropah berdekatan Sweden.

Our new Head Coach is finally here🛬 A new chapter begins for The Lions 🦁💜💛#UiTMFC#TheLions#WhenTheLionsRoar#UiTMDiHatiku

Posted by UiTM FC on Saturday, December 7, 2019

Tidak yakin dengan pengurusan

“Ya, UiTM tukar jurulatih sebab saya tolak tawaran mereka. Sebab saya tidak yakin dengan perancangan pengurusan yang mahu menggunakan pelajar-pelajar sepenuhnya bersama beberapa pemain import,” jelas Ismail Zakaria kepada Semuanya BOLA.

Sekitar Julai lalu, Semuanya BOLA telah menemuramahnya yang menjelaskan misinya mahu menjadikan UiTM FC sebagai ‘kilang’ pelajar yang bermain bola sepak secara profesional. Namun, baginya ketika itu, ia satu proses dan projek jangka panjang.

UiTM FC telah dinaikkan pangkat ke Liga Super musim hadapan dan bagi Ismail Zakaria, pasukannya belum bersedia berdasarkan prestasi pada musim 2019, yang menyaksikan mereka menamatkan musim di kedudukan kelima dengan 29 mata – meraih promosi menggantikan PKNS FC yang menjadi feeder club Selangor.

“Saya cadangkan kepada pengurusan untuk ambil empat atau lima pemain tempatan untuk dijadikan teras pasukan, namun ditolak kerana mahu menggunakan sepenuhnya pelajar-pelajar UiTM.

Corbin Ong JDT UiTM FC
FOTO: UiTM FC

“Saya pernah nasihatkan mereka untuk tidak menerima promosi ke Liga Super, perlu kekal di Liga Premier setahun, dua lagi, untuk pemain kita bertambah baik bagi Liga Super, tetapi mereka tetap berdegil. Jadi, saya tidak terimalah [tawaran],” tambahnya lagi.

Mana graduan AMD?

Menurutnya, beliau tidak mahu dijadikan kambing hitam jika UiTM FC dibelasah atau gagal menyerlah di Liga Super nanti. Lebih baik untuk dirinya lebih awal mengundurkan diri daripada pasukan.

Menambahkan lagi kekecewaannya adalah mengenai isu graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang sepatutnya dipancing oleh UiTM FC, namun sebaliknya berlaku apabila sepatutnya sekitar 25 pemain akan dibawa masuk, tetapi tiada seorang pun yang masuk.

“Itu yang saya marah. Saya telah bercakap mengenai hal ini kepada pihak pengurusan sudah lama, sekitar Januari lalu. Perkara ini juga saya sudah berbincang bersama AMD, sudah buka jalannya. Cuma pihak pengurusan perlu meneruskan usaha daripada situ.

“Mereka tidak serius sebenarnya. Kalau serius, mereka sudah buat awal. Saya sudah usahakannya pada peringkat awal mendapatkan maklumat dan sebagainya. Itu pun mereka tidak boleh teruskan,” ulasnya lagi dalam nada kecewa sambil menegaskan akhirnya Selangor yang berjaya memancing pemain-pemain itu.

“Saya tanya pendapat anda, jika Selangor ambil pemain yang ‘sepatutnya’ sertai UiTM sebagai pemain, kemudian minta UiTM sediakan kemudahan belajar, macam mana? Sebab UiTM ada Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Selangor. Main untuk Selangor, tapi belajar di UiTM. Tak sakit hati tengok?” soalnya.

Hala tuju musim 2020, universiti mana?

Dalam pada itu, Semuanya BOLA turut bertanyakan mengenai masa depannya untuk saingan musim 2020 dan menurutnya, terdapat beberapa tawaran sedang dipertimbangkannya.

Ismail Zakaria memaklumkan dalam seminggu lagi beliau akan memaklumkan hala tujunya – samaada Liga Super atau Premier. Menariknya, pengendali berusia 57 tahun itu turut menyebut kemungkinan destinasi seterusnya juga berstatus universiti.

ismail zakaria uitm
FOTO: UiTM FC

“InsyaAllah, kita sedang berbincang. Kita tengok bagaimana nanti. Mungkin universiti juga, mana tahu. Bila sudah sah, saya akan maklumkan,” jelas Ismail Zakaria sebelum menutup bicara.

Ke mana pun pengendali berpengalaman ini melangkah pada musim hadapan, Semuanya BOLA mendoakan agar segalanya dipermudahkan dan selamat maju jaya buat coach!

Kredit Featured Image: Stadium Astro

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram