‘Islam Itu Indah’ – Pengalaman Wartawan BBC Menjadi Mangsa Rasis Sejak Kecil

Jason Mohammad Wartawan BBC

Tulisan ini mengisahkan tentang kehidupan wartawan BBC, Jason Mohammad yang berkongsi tentang serangan perkauman yang dihadapinya sejak kanak-kanak disebabkan keturunan dan kepercayaan agamanya.

Warga United Kingdom (UK) pada hari ini dapat menikmati kepetahan Mohammad dalam mengulas pelbagai rancangan sukan di BBC seperti snuker, liga ragbi, olahraga dan pelbagai sukan ternama lain.

Namun disebalik kebolehannya itu, beliau menceritakan bagaimana agama, bangsa dan identiti seseorang itu sebenarnya memberi pengaruh yang besar kepada kehidupan mereka.

Jiwa-jiwa luka

Mohammad memulakan penceritaannya dalam satu temubual bersama The Guardian dengan mengimbau kehidupannya sebagai seorang budak lelaki yang mempunyai seorang ayah berbangsa Pakistan walaupun ibunya merupakan warga Wales.

Sekitar tahun 1980-an, beliau membesar sebagai seorang kanak-kanak yang mengamalkan agama Islam di Ely, sebuah kawasan di pinggir bandar Cardiff.

Ketika itu kehidupan keluarganya agak mencabar. Namun di atas tekad bagi mencapai impiannya bergelar wartawan, Mohammad percaya keteguhan terhadap kepercayaan agamanya itu perlu menjadi pendorong yang cukup kuat bagi mendepani kehidupan mendatang.

Bagaimana untuk meletakkan pegangan agama itu menjadi satu kebanggaan tanpa perlu rasa takut dan tidak mampu digoyahkan oleh sesiapa walaupun timbal baliknya adalah luka emosi yang mendalam.

“Sesetengah orang mungkin menganggap Islamofobio adalah perkara baharu, tetapi saya sudah dihina kerana menjadi seorang Muslim sejak berusia tujuh tahun,” katanya dalam temubual itu.

“Pernah satu hari, saya dipanggil ‘Muzzie’ (ejekan perkauman terhadap Muslim) dan perkataan ‘Pak*’ ketika sedang berjalan pulang dari sekolah. Seorang kanak-kanak meludah kepada saya tanpa sebab.

“Begitulah keadaannya ketika saya – satu-satunya murid Muslim di sekolah, satu daripada beberapa kanak-kanak yang bernama Mohammad di Cardiff, sebuah tempat yang agak kuat perkaumannya.

“Walaupun saya tidaklah berdepan dengan serangan perkauman ini setiap hari, namun saya sentiasa sedar bahawa saya adalah berbeza. Apabila menyedari perkara itu, saya perlu berhati-hati kerana perkauman ini boleh berlaku atau tercetus pada bila-bila masa sahaja tanpa dijangka.

“Keadaan seperti ini merosakkan proses pendewasaan seseorang dan itulah yang telah berlaku kepada saya. Ia membuatkan saya sukar dan tidak berani untuk bercakap mengenai kepercayaan saya untuk bertahun-tahun lamanya.”

Islam sebagai ad-Din

Titik perubahan dalam hidupnya bermula pada 2009 apabila Mohammad dikurniakan rezeki untuk mengerjakan haji di Mekah dan perjalanannya itu didokumentarikan di sebuah rancangan TV Wales.

Beliau akhirnya berpeluang untuk mengikuti jejak ayahnya – mengunjungi kota suci bagi umat Islam. Bagi Mohammad, pengalaman itu telah memberi kesan yang begitu mendalam kepadanya seperti mana yang beliau harapkan.

Selepas dokumentari itu disiarkan, beliau dapat merasakan bahawa perjalanannya dalam mengerjakan rukun Islam kelima bagi umat Islam itu telah membangkitkan rohani serta memberi satu keyakinan yang cukup tuntas – siapa dirinya dan apa yang dia percayai.

“Pada awalnya saya agak gementar apabila ia disiarkan kerana saya tidak menyangka orang awal [di UK] mahu melihat seorang wartawan dalam industri sukan di TV mempamerkan sisi keagamaannya dengan cara itu,” tambahnya lagi.

“Tetapi akhirnya saya menerima ratusan mesej daripada orang ramai yang mengatakan betapa mereka seronok menonton rancangan itu sehinggakan ada di antara mereka yang menangis.

“Reaksi seperti itu membuatkan saya mula sedar bahawa orang ramai sebenarnya amat berminat dengan kehidupan beragama dan kerohanian. Jadi saya tidak perlu lagi menyembunyikan warisan atau asal usul Pakistan saya dan betapa saya perlu berbangga dengannya.”

Mohammad meyakini bahawa amalan yang telah diterapkan dalam Islam contohnya seperti solat dan puasa yang dilaksanakan secara berterusan itu telah mendidiknya tentang disiplin serta fokus dalam membentuk hubungan yang kuat di antara seorang hamba dengan Tuhannya.

Perkauman merosakkan sistem masyarakat

Sebagai seorang peminat bola sepak sejak kecil dan bertahun-tahun menyaksikan pasukan Cardiff di Ninian Park, beliau mengakui amat kecewa dengan isu perkauman yang berlegar dalam komuniti bola sepak di Eropah ketika ini.

“Kalau boleh saya mahu halau mana-mana pasukan yang didapati bersalah kerana memiliki pemain yang rasis ini. Mereka perlu dihumban keluar dari bola sepak Eropah dan antarbangsa,” tegas Mohammad.

“Saya ada terbaca komen-komen yang ‘mengerikan’ di Twitter sehingga saya tidak mampu mengangkat kepala untuk membacanya. Kenapa masih ada segelintir orang yang merasakan OK untuk menghina seseorang.

“Tidak kiralah sama ada ia disasarkan kepada pemain bola sepak seperti Marcus Rashford, Jadon Sancho dan Bukayo Saka atau pun pengulas bola sepak seperti saya. Saya menyokong sepenuhnya segala usaha untuk membendung hal ini.”

Di atas kepercayaan dan kebangsaan terhadap identiti dan agamanya, Mohammad telah diberi kepercayaan untuk menjadi penceramah atau berkempen bersama Komuniti Islam Wales.

Dalam perkembangan terbaharu, beliau telah kembali ke Ely untuk menyelesaikan dokumentari mengenai kehidupan masyarakat Islam di kawasan itu.

“Ia masih sebuah kawasan yang agak sukar, dilingkari dengan aura kemarahan, agresif dan kemiskinan,” ujarnya lagi.

“Tetapi apa yang membanggakan saya adalah masyarakat di Ely tidak malu untuk mengaku mereka berasal dari Ely. Mereka ini merupakan golongan kelas pekerja yang berusaha keras untuk menyara diri dan keluarga.”

Penutup

Kini Jason Mohammad adalah seorang wartawan sukan beragama Islam yang menjadi kebangsaan negaranya. Beliau juga muncul dengan rancangan radio pagi dan tugas terkininya adalah menjadi pengulas bagi Sukan Olimpik Tokyo yang sedang berlangsung ketika ini.

Seperti pesan Prof Dr. Hamka, kemajuan hidup seseorang itu tidak akan tercapai tanpa ada kemerdekaan peribadi. Tanda-tanda darjat kemajuan dan kejayaan yang diperolehi manusia dalam lapangan yang diceburinya itu adalah berasaskan keperibadian yang kuat.

Kemajuan peribadi sendiri akan menentukan di mana tempat kita yang dalam pergaulan hidup atau dalam lapangan apa jua sekalipun.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai isu perkauman dalam bola sepak:

Beitar Jerusalem: Kelab Paling Rasis & Paling Anti-Muslim Di Israel

Risau Jadi Mangsa Perkauman, Hudson-Odoi Mahu Tinggalkan England Demi Ghana

Demba Ba ‘Sembur’ Pengadil Ke-4 UCL Kerana Perkataan Perkauman

Leave a Reply