Irfan Bakti Yakin Kedah Akan Julang Piala Malaysia Esok

Ketua Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim meramalkan Kedah akan muncul sebagai juara Piala Malaysia musim ini untuk aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam esok.

Beliau membuat penilaian berdasarkan kekuatan jentera tengah skuad Helang Merah yang diketuai dua tonggak import, Liridon Krasniqi serta Sandro Da Silva.

“Liridon adalah pemain yang bijak dan mampu bertindak baik di bahagian tengah, terutama ketika menyerang dan bertahan, begitu juga dengan pemain dari Brazil itu (Sandro).

“Selain itu, pemain kebangsaan, Baddrol Bakhtiar juga adalah pemain yang bagus dan mampu menjaringkan gol jika tidak diawasi pertahanan lawan,” katanya kepada Berita Harian.

Gambar: Rizanizam/asiana.my

Pertembungan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah pada final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu ini pasti menjanjikan aksi menarik dipamerkan dua pasukan yang kini dilabel selaku kelab terbaik ketika ini.

Bagaimanapun, di atas kertas, Kedah pasti lebih tertekan kerana tampil selaku juara bertahan dan berdepan barisan Ulisses Morais yang dilabel sebagai pemain tempatan dan import terbaik ketika ini.

Tegas pengendali berpengalaman ini, pemain muda skuad Kedah juga harus diberi perhatian kerana keupayaan mereka mengawal permainan dan begitu bersemangat mahu merekod sejarah menjulang trofi.

“Jika dua pemain import itu berada pada tahap prestasi terbaik selain faktor Baddrol, skuad Kedah mampu membawa pulang trofi berprestij itu,” kata Irfan Bakti.

Kedah turun selaku juara bertahan Piala Malaysia

Irfan turut memberi amaran kepada Kedah agar tidak memandang mudah pada kemampuan JDT.

“Jika itu berlaku, Kedah bakal muncul juara, tetapi ini bukan bermakna skuad JDT tidak bagus, skuad itu juga berpeluang cerah untuk muncul juara.

“Mereka mempunyai ramai pemain berkualiti selain berjaya muncul juara Liga Super,” katanya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram