Irfan Bakti Puji FAM Atur Aksi Persabahatan Dengan Pasukan Kuat

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengatur perlawanan persahabatan antarabangsa dengan pasukan yang memiliki ranking yang lebih tinggi mendapat pujian bekas jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim.

Irfan ketika ditemubual Stadium Astro menjelaskan, langkah itu merupakan petanda bola sepak negara mampu kembali menyinar jika ia diteruskan pada masa akan datang.

FAM pada bulan November lalu telah memilih aksi persahabatan berdepan dengan Tajikistan yang berada di ranking ke-121 dunia sebagai aksi pemanas badan sebelum perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Perlawanan itu menyaksikan Malaysia menang 1-0 hasil jaringan Safawi Rasid. Kejayaan itu ternyata berjaya melonjak semangat dan moral pemain negara dengan mencipta kejutan menundukkan Thailand 2-1 dan turut menang ke atas Indonesia 2-0.

“Diharapkan selepas ini, Malaysia tidak lagi bertemu [pasukan] di ranking lebih bawah daripada skuad negara.

“Malaysia perlu berjumpa pasukan yang kuat untuk mengetahui keupayaan sebenar.

“Skuad negara perlu berjumpa pasukan yang setaraf atau lebih tinggi bagi menguji kekuatan sebenar,” katanya.

Jurulatih kelahiran Perak itu merujuk kepada era Dollah Salleh dan Zainal Abidin Hassan sebagai pemain pada tahun 90-an di mana pada zaman itu, pasukan Malaysia akan memilih pasukan terbaik Asia seperti Jepun dan Korea Selatan sebagai lawan yang setanding.

“Kalau 30 tahun dulu, mereka [Dollah dan Zainal] akan berjumpa dengan Korea Selatan dan Jepun.

“Selepas era mereka, Malaysia tidak lagi berjumpa pasukan gergasi Asia itu lagi.

“Dalam tiga tahun kebelakangan ini, pertemuan dengan Bhutan dan Mongolia merupakan langkah yang tidak bagus untuk mengetahui kekuatan sebenar pasukan negara,” katanya lagi.

FAM sebelum ini memaklumkan Ketua Jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe telah meminta badan induk bola sepak negara itu mengatur dua perlawanan persahabatan menentang pasukan Asia Barat atau Timur Tengah sebagai persiapan untuk aksi menentang UAE dan Vietnam pada bulan Mac.

Oleh yang demikian, FAM kini sedang cuba untuk mendapatkan beberapa pasukan seperti Bahrain, Oman, Qatar dan Arab Saudi dan perlawanan akan diadakan di tempat lawan bagi memastikan pemain dapat menyesuaikan diri dengan cuaca di sana.