Intipati Potongan Gaji & Kontrak 10 Tahun Bakal Diterima Messi Di Barcelona

Lionel Messi

Musim panas lalu dunia bola sepak digemparkan dengan keinginan Lionel Messi untuk meninggalkan Barcelona. Selepas musim yang serba tidak menjadi termasuk dibelasah oleh Bayern Munich 8-2 di separuh akhir Champions League, dan pelbagai isu dalaman yang lain, masa depan pemenang Ballon d’Or sebanyak enam kali itu di Nou Camp seolah-olah sudah berakhir.

Seraya itu perpidahan ke Manchester City dikatakan akan menjadi realiti dengan prospek Messi kembali bergandingan dengan bekas pengurus Pep Guardiola mulai menjadi bualan.

Perpindahan itu bagaimanapun disekat oleh Barcelona yang menuntut Messi menghormati baki kontrak setahun yang memiliki klausa perpindahan bernilai £625 juta untuk mana-mana kelab yang berminat mendapatkan khidmat kapten Argentina itu.

Walaupun mempersoalkan kedibiliti klausa tersebut, Messi mengalah kerana enggan bertelagah dengan Barcelona sehingga ke mahkamah. Beliau akhirnya akur dan mahu menamatkan baki setahun kontrak tersebut sebelum memikirkan langkah seterusnya.

Angin perubahan di Nou Camp

Hampir semusim berlalu, keadaan kini tampak sudah berubah. Barcelona kini dipimpin kembali oleh Joan Laporta. Prestasi di atas padang turut menunjukkan tanda-tanda positif walaupun skuad kendalian Ronald Koeman itu sudah tersingkir dari pertandingan eropah.

Tetapi dengan keadaan huru hara pada awal musim, tiada siapa berani bertaruh Barcelona akan menjadi pencabar utama kejuaraan La Liga pada akhir musim seperti sekarang.

Messi tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan untuk menyatakan keadaan dirinya sejak sesi temubual dengan Goal yang penuh dengan luahan rasa tidak puas hati terhadap pengurusan Barcelona pada September lalu.

Satu perkara yang pasti keadaan kini sudah berbeza, dan Messi sudah mampu mengukir senyuman setiap kali berjaya membantu Barcelona meraih kemenangan.

Barcelona tawar kontrak baharu 

Laporan akhbar sejak beberapa hari lalu memberi gambaran kemungkinan Lionel Messi akan menandatangani kontrak baharu untuk terus kekal bersama Barcelona.

The Times mendedahkan gergasi Catalan itu telah menawarkan kontrak selama 10 tahun untuk Messi, dan perbincangan di antara presiden Joan Laporta dan ayah Messi sebagai wakil telah berlangsung dengan positif. Kontrak tersebut bagaimanapun sedikit rumit dari kebiasaan.

Messi kini berusia 33 tahun. Kontrak selama 10 tahun bermakna Messi akan bergelar pemain Barcelona sehingga beliau berusia 43 tahun.

Kontrak tesebut bagaimanapun bukan seperti yang kita fahami seperti kebiasaan. Tetapi kontrak baharu ini sebenarnya memberikan tawaran yang cukup lumayan untuk Messi.

Ia membenarkan Messi untuk terus beraksi bersama Barcelona selama beberapa musim lagi, sebelum berhijrah ke Amerika Syarikat sebelum bersara sebagai pemain.

Dan apabila beraksi di Amerika Syarikat, Messi akan bertindak sebagai duta kepada jenama Barcelona.

Seperti yang kita tahu Messi juga merupakan pemain yang menerima gaji tertinggi di dalam dunia bola sepak pad hari ini. Mustahil Barcelona boleh terus membayar jumlah gaji yang sama ntuk 10 tahun akan datang dan dengans situasi kewangan pada hari ini.

Disebabkan itu, Messi dilaporkan sanggup menerima separuh daripada apa yang dibayar kepada beliau pada hari ini. Kontrak selama 10 tahun pula akan mewujudkan situasi menang-menang kepada dua pihak.

Cita-cita Messi & Barcelona

Idea di atas sebenarnya hanya membawa kebaikkan kepada Barcelona dan Messi. Dengan pemotongan gaji Messi, ia membenarkan Barcelona melabur untuk pemain yang berkualiti di pasaran pemain dalam usaha Barcelona kembali mendominasi bola sepak Sepanyol dan eropah.

Walaupun sudah berada di penghujung karier, Messi sudah tentu mahukan satu lagi peluang untuk bergelar juara eropah, dan ia dianggap sebagai satu pengorbanan yang berbaloi.

Messi juga dikhabarkan akan ditawarkan jawatan eksekutif di dalam kelab selepas kontrak 10 tahun beliau tamat nanti.

Jika benar perkara ini berlaku, maka mana-mana pasukan yang mengimpikan Lionel Messi pada musim panas akan datang boleh memadamkan sahaja niat tersebut.

Baca artikel lain mengenai Lionel Messi melalui pautan:

Menjawab Stigma Messi Akan Gagal Bersama Kelab Lain Selain Barcelona

4 Perkara Di Sebalik Pendedahan ‘Penuh Kontroversi’ Kontrak Messi Oleh El Mundo

3 Sebab Man City Patut Batalkan Saja Niat Tandatangani Lionel Messi

Leave a Reply