Insiden Perkauman Cemari Aksi Spurs vs Chelsea

Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) meminta agar kerajaan membuka kertas siasatan ke atas insiden perkauman yang berlaku ketika perlawanan derbi London di antara Tottenham Hotspur menentang Chelsea.

Pengadil perlawanan, Anthony Taylor terpaksa menghentikan perlawanan selepas pertahanan Chelsea, Antonio Rudiger mendakwa beliau diejek oleh penyokong Spurs dengan bunyi monyet.

Tottenham sudah memberikan jaminan akan menyiasat dan mengenakan hukuman berat kepada pesalah.

Juruhebah di stadium menghebahkan perkara itu kepada penyokong yang ada di stadium, bahawa perlawanan terhenti kerana adanya insiden perkauman.

PFA dalam kenyataan mereka berkata: “Kami jijik dan kecewa apabila sekali lagi perlawanan EPL dicemari dengan serangan perkauman daripada tempat duduk penyokong ke arah pemain.”

PFA sedar akan isu itu yang terus berlarutan. Namun mereka berikrar akan sentiasa berada di belakang para pemain.

“PFA berdiri teguh bersama setiap pemain yang berhadapan dengan diskriminasi. Dan kami akan berjuang memerangi isu ini demi kebaikan.”

“Bola sepak adalah sebahagin daripada fabrik kepada masyarakat di Britain. Dan EPL menarik tontonan yang tinggi dari seluru dunia. Kita bertanggungjawab dalam menegakkan polisi tanpa toleransi untuk perkara seperti ini.” 

Spurs mengesahkan mereka sudah menghubungi pihak Chelsea untuk bersama-sama menyiasat dan mengambil tindakan perundangan di atas insiden itu.

Selain daripada insiden perkauman, penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga juga dibaling dengan objek ketika di atas padang.

Chelsea menang 2-0 ke atas Spurs dalam aksi di Stadium Tottenham.

2 gol oleh pemain Brazil iaitu Willian pada separuh masa pertama telah memberikan kemenangan pertama Lampard ke atas mentornya, Jose Mourinho dalam aksi derbi London.

Son Heung Min dilayangkan kad merah kerana mengasari Rudiger.

Son menapak Rudiger di bahagian rusuknya. Spurs bernasib baik kerana tidak beraksi 10 orang lebih awal, apabila Gazzaniga mengasari Marcos Alonso ketika insiden penalti kepada Chelsea.

Kemenangan Chelsea ini menyaksikan The Blues terus berada di empat teratas dengan 4 mata daripada Sheffield United. Spurs berada di tangga ketujuh dengan beza 5 mata daripada tangga keempat.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram