Insiden Di Likas, ‘Fiasco Feeder Club’, Isu Pendaftaran Dan Rasuah

Musim ini saingan Liga Malaysia berlangsung dengan agak meriah berbanding musim-musim sebelumnya. Sebelum sepak mula lagi, penyokong-penyokong bola sepak mulai rasa teruja dengan pelancaran jersi pasukan masing-masing.

Ia diikuti dengan pengumuman oleh FAM dan FMLLP akan hak penyiaran yang diberikan oleh iflix; bermakna kesemua perlawanan Liga Super Malaysia 2018, boleh disaksikan secara siaran langsung.

Pembabitan Telekom Malaysia melalui jenama unifi milik syarikat telekomunikasi tersebut, diikuti oleh syarikat penyedia platform perniagaan online, Shopee sebagai penaja utama Liga Super dan Piala FA Malaysia, menandakan bola sepak negara berada di landasan positif.

Sumber: FMLLP, Facebook

Semua perkara positif yang dinyatakan di atas memberi gambaran bahawa bola sepak kita boleh pergi jauh jika diterajui dan diurus tadbir secara profesional dan betul.

Di sebalik perkembangan positif di dalam bola sepak negara pada musim ini, terdapat juga beberapa episod duka yang mampu meruntuhkan keyakinan penyokong dan pemegang taruh yang lain pada masa hadapan.

Isu rasuah

Antaranya, belum pun sebulan sepak mula Liga Malaysia bermula, dua pemain Sarawak ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kerana dakwaan mengatur perlawanan selepas tewas mengejut kepada Felcra FC dalam saingan 100Plus Liga Premier.

Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) yang merupakan badan naungan kedua-dua pemain dikecam oleh penyokong-penyokong Sarawak senddiri kerana mengeluarkan kenyataan media yang mendahului siasatan.

Kedua-dua pemain akhirnya dibebaskan tanpa pertuduhan, dan episod tuding jari terus berlarutan selepas itu, membabitkan pihak yang berkaitan dengan kes.

Siapa pun yang bersalah, bukankah keseluruhan senario hanya akan memburukkan lagi bola sepak di negeri berkenaan?

Kami bersetuju dengan luahan kebanyakkan penyokong bahawa isu ini seharunya diselesaikan secara lebih profesional oleh FAS.

Isu pendaftaran pasukan

Isu pendaftaran membabitkan pasukan Liga Malaysia bukanlah perkara baharu. Musim lepas sahaja, beberapa pasukan telah dipotong mata sebagai hukuman kerana gagal melengkapkan pendaftaran masing-masing untuk pengesahan bersaing di Liga Malaysia.

Jika pada musim lalu, empat pasukan diambil tindakan dipotong mata kerana isu yang sama, musim ini menyaksikan sehingga enam pasukan mengulangi kesalahan yang sama.

Timbul pertanyaan. Adakah pengurusan pasukan Liga Malaysia tidak pernah mengambil ikhtibar daripada apa yang berlaku sebelum ini? Adakah pengurusan setiap pasukan Liga Malaysia benar-benar serius dalam memartabatkan bola sepak negara?

Bagaimana perkara yang sama, turut membabitkan beberapa pasukan yang sama berulang lagi?

Di dalam isu ini, ramai pihak berpendapat hukuman potongan mata tidak adil buat pemain yang memerah keringat di padang, dan penyokong yang sanggup berkorban wang ringgit untuk menghadirkan diri ke stadium.

Tidak dinafikan di dalam kes sebegini, isu kompetensi pihak pengurusan setiap FA negeri menjadi persoalan. Mampukah mereka melaksanakan tugas di dalam urus tadbir sebuah pasukan bola sepak profesional?

Atau sekadar menduduki kerusi panas persatuan kerana adanya agenda peribadi? Mungkin tiba masanya FAM dan FMLLP memikirkan kaedah agar hukuman diberikan kepada pihak pengurusan persatuan terbabit.

Fiasco ‘feeder club’ dan FMLLP

‘Feeder club’ atau ‘Development club’. Dua frasa ini sering memberikan kekeliruan di kalangan peminat dan juga keseluruhan komuniti bola sepak di Malaysia.

Kisah pemergian Diaz baru-baru ini, menjadikan topik ini kembali panas, setelah Johor Darul Ta’zim (JDT), dikhabarkan akan merombak pasukan utama mereka menggunakan kelebihan yang mereka miliki dengan adanya pasukan feeder club.

Kebetulan atau tidak, CEO FMLLP, Kevin Ramalingam tampil dengan sebuah video untuk memberikan penjelasan, beserta kronologi penuh mengenai pasukan simpanan ini.

Mari kita bersikap realistik dan terbuka. Selama ini semua pihak (termasuk media) seolah-olah di dalam kegelapan, kerana tidak memahami isu dan peraturan membabitkan feeder club.

Ini menyebabkan penerangan oleh CEO FMLLP tersebut disambut dengan pelbagai tohmahan, buruk sangka, dan penuh dengan prejudis. Itu realiti ‘bersebab’ yang FMLLP perlu hadapi.

Sekarang, mari kita bersikap terbuka. Isu feeder club ini sepatutnya tidak perlu diperdebat atau disangsikan lagi.

Melalui tindakan susulan yang dilaksanakan sendiri oleh FMLLP, peraturan feeder club telah dipersetujui oleh semua pasukan yang bertanding, dan bukan hanya oleh JDT dan Terengganu FC sahaja.

Cuma untuk mengelakkan segala tohmahan dan buruk sangka yang berbaur prejudis, FMLLP sewajarnya mewar-warkan perubahan-perubahan ini kepada media, agar ia boleh difahami oleh semua pihak pada masa akan datang.

Anda boleh membaca FMLLP Jelaskan Pindaan Peraturan ‘Feeder Club’, Tiada Lagi Had Perpindahan Pemain Tempatan Bawah 27 Tahun untuk penjelasan kami mengenai isu ini.

Terbaru: Insiden di Likas

Pertandingan pusingan kedua Shopee Piala FA Malaysia 2018, baru sahaja selesai.

Menariknya saingan Piala FA pada tahun ini turut membabitkan pasukan-pasukan daripada Liga Sosial.

Kredit: Southern FC, Instagram

Walaupun pasukan-pasukan seperti Axis-02 dan juga Southern FC gagal mara jauh, ia pasti menjadi satu pengalaman berharga buat kelab-kelab Liga Sosial ini.

Langkah membabitkan lebih banyak pasukan dalam pertandingan kompetitif sebegini juga bersesuaian dengan langkah untuk memperbanyakkan ‘pool’ pemain tempatan sedia ada.

Namun di sebalik kemeriahan, penulis ingin membawa perhatian semua pembaca ke Likas, Sabah.

Berlaku sedikit kekecohan di akhir perlawanan apabila balingan objek seperti botol air dan selipar ke dalam padang, dipercayai dilakukan oleh segelintir penyokong yang kurang berpuas hati dengan pengadil serta beberapa pemain, khususnya pemain JDT.

Insiden itu turut mengakibatkan pemain dan pegawai JDT terpaksa bersembunyi di bangku simpanan selama hampir setengah jam sebelum berjaya dibawa masuk ke bilik persalinan dengan bantuan pasukan keselamatan.

Selain daripada kekecohan, isu sampah yang ditinggalkan oleh penyokong di sekitar Stadium Likas, turut mendapat perhatian Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).

Di dalam insiden membaling objek dan sampah di Stadium Likas, penyokong seharusnya mempunyai sikap yang lebih bertanggungjawab.

Tidak boleh dipastikan sama ada FAM dan FMLLP akan membuka kertas siasatan ke atas insiden membaling objek tersebut.

Tetapi jika pihak persatuan dihukum kerana tindakan segelintir penyokong yang gagal mengawal emosi, bukankah ia sesuatu yang merugikan?

Berkaitan perkara yang sama, pemain-pemain turut mempunyai peranan yang sama ketika berada di atas padang.

Pemain-pemain seharusnya menunjukkan sikap profesionalisme yang tinggi, dan tidak mencetuskan perkara yang boleh menyebabkan kemarahan penyokong.

Insiden di Likas tempoh hari turut mendapat respon DYAM TMJ yang mahukan pemain yang sengaja melengahkan masa permainan dihukum sewajarnya oleh pengadil.

Penutup

‘Bola sepak kita, tanggungjawab kita. Bola sepak kita, wajah kita.’ Mungkin itulah frasa terbaik untuk merumuskan peranan setiap pihak kepada bola sepak tanah air.

Hakikatnya, bola sepak negara bukan hanya memerlukan usaha daripada FMLLP atau pun FAM sebagai badan pentadbir bola sepak negara.

Kita sebagai penyokong harus mempunyai tanggungjawab, pemain di atas padang turut harus menunjukkan gambaran profesionalisme yang sewajarnya.

‘Buang yang keruh, ambil yang jernih.’ Liga Malaysia musim 2018 baharu sahaja memasuki bulan kedua. Perjalanan musim ini masih jauh untuk kita lalui bersama-sama.

 

Nota Editor:  Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata, dan tidak berkaitan dengan pendirian Semuanya BOLA sebagai sebuah organisasi.

 

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN