Inilah Rahsia Kehebatan Padang Stadium Sultan Ibrahim

Padang Stadium Sultan Ibrahim

Empat perlawanan telah pun berlangsung dengan jayanya di padang Stadium Sultan Ibrahim sebelum saingan Liga Malaysia ditangguh ekoran wabak COVID-19 yang sedang melanda seluruh dunia ketika ini.

Aksi pembukaan pada 28 Februari 2020 di stadium baharu itu menyaksikan JDT melakar kejayaan menjulang Piala Sumbangsih. Gol tunggal Mauricio Santos cukup untuk menumpaskan Kedah dengan kemenangan tipis 1-0.

Selepas itu dalam saingan peringkat kumpulan AFC Champions League, skuad Harimau Selatan itu meneruskan kesempurnaan keputusan di halaman baru mereka dengan menundukkan kelab Korea Selatan, Suwon Bluewings 2-1.

Kemudian dua lagi aksi Liga Super menyaksikan JDT berjaya menewaskan UiTM FC 2-1 sebelum diikat seri 1-1 oleh Felda United. Keputusan-keputusan tersebut membuktikan skuad JDT nampak mudah menyesuaikan diri dengan stadium baharu mereka.

Jika tidak kerana wabak COVID-19, barangkali lebih banyak pasukan akan menjadi mangsa dominasi JDT di halaman baru mereka. Dominasi inilah yang menjadikan Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos halaman yang kebal untuk JDT.

Halaman yang memberi banyak mata dan gol sehingga mampu merangkul empat kejuaraan Piala Sumbangsih, lima kejuaraan Liga Super, dua kejuaraan Piala Malaysia, satu trofi Piala FA dan AFC Cup.

Sejak Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos direnovasi pada tahun 2014, halaman tersebut telah menjadi hos kepada 131 perlawanan untuk JDT di Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, AFC Cup dan AFC Champions League. Daripada 131 perlawanan di halaman sendiri, JDT hanya kalah 6 kali.

Persoalannya sekarang: apakah faktor-faktor yang menjadikan pemain JDT begitu selesa beraksi di gelanggang mereka sendiri?

Teknologi bukan hanya pada luaran

Kehebatan Stadium Sultan Ibrahim tidak perlu dibicarakan lagi. Sewaktu upacara perasmian tempoh hari sahaja, peminat bola sepak di seluruh dunia dapat menyaksikan kewujudan sebuah stadium yang serba canggih dan moden di Johor.

Namun demikian, bagi sesetengah orang, mungkin mereka hanya melihat kepada kecantikan reka bentuk, kemegahan struktur binaan, jumlah kapasiti tempat duduk, kecantikan bilik persalinan, kemewahan ruang korporat dan Recaro seat di bangku simpanan.

Tetapi adakah itu semua ‘kecantikan kosmetik’ itu merupakan tunjang kepada kehebatan sesebuah stadium bola sepak?

Ketika pasukan lain mengutamakan ‘kecantikan kosmetik’ pada stadium mereka tetapi masih menggunakan padang kualiti sawah padi, JDT tidak mengambil langkah sama.

Padang dan bola sepak boleh diibaratkan seperti irama dan lagu. Ia tidak boleh dipisah. Secara asasnya, untuk bermain bola sepak dengan corak permainan yang menarik, padang yang baik dan berkualiti diperlukan.

Apabila padang cantik, pasukan dapat bermain dengan cantik. Apabila pasukan dapat bermain dengan cantik, kelab dapat menarik pemain terbaik tanpa mengharapkan tawaran gaji tinggi semata-mata. Apabila pemain terbaik bermain untuk kelab anda, anda akan menang trofi.

Inilah yang disedari oleh pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim – lebih dikenali dengan gelaran Tunku Mahkota Johor (TMJ).

Sejak zaman JDT bermain di Larkin lagi, TMJ mementingkan kualiti padang. Menyedari kualiti padang Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, beliau memanggil pakar rumputnya di Istana Pasir Pelangi untuk membantu.

Kemudian apabila menyedari rumput cowgrass mempunyai limitasi disebalik kosnya yang murah, TMJ melahirkan visi JDT bermain di stadium baru, padang baru dan rumput baru. Maka Stadium Sultan Ibrahim dizahirkan pada tahun 2020.

Hiroi Koichi: pakar rumput dari Jepun

Salah satu kualiti terbesar TMJ sebagai pemimpin adalah kebolehan beliau menghargai kepakaran orang yang lebih berilmu di sekelilingnya. Dalam aspek kepakaran menjaga rumput, TMJ tidak memandang orang lain kecuali Hiroi Koichi sahaja.

Hiroi Koichi atau lebih mesra dipanggil ‘Hiroi-san’ pada asalnya merupakan seorang penyelia rumput padang polo di Istana Pasir Pelangi.

Warga Jepun berusia 74 tahun ini mula berkelana di Malaysia sejak 1992 apabila bekerja sebagai penyelia rumput di sebuah kelab golf di Masai. Tugasnya adalah memastikan rumput di padang golf tersebut sentiasa berada dalam keadaan baik.

Penglibatan pertama Hiroi dalam sukan bola sepak bermula pada tahun 2004 apabila beliau dihubungi oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Dell Akbar Khan Hyder Khan untuk membaiki padang di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos. Ini kerana stadium tersebut akan digunakan untuk satu kejohanan bola sepak.

Sekalipun hanya diberikan tempoh yang agak singkat iaitu hanya kurang dua minggu, beliau berjaya melaksanakan tugas tersebut dengan baik.

Dek kerana kecemerlangan hasil kerjanya, pada tahun berikutnya, Hiroi sekali lagi diminta oleh Datuk Dell Akhbar untuk membantu proses baik pulih padang Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kemudian pada tahun 2006, Datuk Hamidin Mohd Amin yang ketika itu memegang jawatan selaku Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) pula telah menghubunginya untuk membantu kerja-kerja menaik taraf padang Stadium Shah Alam.

Pada tahun 2008, tibalah giliran TMJ pula untuk mendapatkan khidmatnya menyelia padang polo di Istana Pasir Pelangi.

Hiroi berkhidmat di sana selama enam tahun sehinggalah TMJ balik dari latihan kententeraan di Deharadun, India.

Melihat kepada hasil kerjanya yang berkualiti, TMJ berkenaan untuk mendapatkan khidmatnya dan bekerjasama dalam menjayakan projek ‘transformasi’ kelab JDT.

Tugasan pertamanya adalah menaik taraf padang di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos.

Kemudian barulah beliau memperbaiki padang-padang lain di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Stadium Mini Taman Ungku Tun Aminah, Stadium Mini Kulai, Stadium UTM, Pusat Latihan Padang Seri Gelam, dan juga Pusat Latihan Padang Mawar.

Memahami lumrah kejadian alam

Ketika lawatan Semuanya BOLA di Stadium Sultan Ibrahim, seorang pegawai JDT menceritakan satu kisah menarik tentang kepakaran Hiroi.

Pada satu hari selepas hujan turun di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, pegawai tersebut terlihat kelibat Hiroi yang sedang berdiri agak lama di kawasan tempat duduk stadium. Mata lelaki tua itu merenung tajam ke arah satu kawasan padang dengan agak lama.

Ketika ditanya apa yang ditenungnya, Hiroi memberitahu pegawai tersebut yang beliau sebenarnya sedang memerhatikan beberapa bahagian di padang yang ‘dikunjungi’ oleh sekawan burung.

Hiroi Koichi JDT
Temubual Hiroi Koichi bersama SemuanyaBOLA

Dengan melihat kejadian alam itu, Hiroi tahu terdapat cacing atau serangga perosak yang sedang ‘mendiami’ bahagian padang yang dikerumuni oleh burung-burung berkenaan.

Kehadiran burung merupakan simptom awal kerosakan padang. Dan sebagai ‘doktor’ padang, Hiroi perlu segera ‘merawat’ atau membaik pulih bahagian yang terjejas supaya kualiti padang tidak bertambah buruk untuk jangka masa panjang.

“Rumput juga seperti manusia, kadang kala ia ‘sakit’ dan perlukan rawatan. Jadi setiap kali selepas perlawanan, saya perlu periksa apa masalah yang berlaku seperti seorang doktor,” katanya.

“Mungkin hanya perlu berikan sedikit ubat atau mungkin hanya rawatan kecil. Jadi sebelum perlawanan seterusnya, saya perlu pastikan rumput itu dalam keadaan baik.”

Tiada istilah lewat dalam menuntut ilmu

Melihat kepada keadaan fizikal Hiroi, mungkin ramai orang menyangka beliau telah menjadi pakar dalam ‘bidang rumput’ sejak sekian lama.

Tetapi hakikatnya Hiroi boleh dikatakan lewat mempelajari ilmu menyelia padang rumput.

“Saya mula belajar ilmu rumput ini ketika saya berusia 60 tahun. Pada saya tiada istilah ‘terlalu lewat’ untuk mempelajari dan mahir dalam sesuatu bidang,” katanya.

“Untuk berada di tahap sebaik ini, saya perlu bekerja keras kerana ‘pelanggan’ saya bukanlah orang biasa, tetapi merupakan individu ‘istimewa’. Maka tahun demi tahun, saya perlu menghasilkan produk yang lebih baik.

“Saya perlu belajar perkara baharu, saya perlu banyak membaca untuk mendapatkan lebih banyak maklumat dan ilmu baharu.”

Teknologi rumput Stadium Sultan Ibrahim

Syarat utama untuk bermain corak permainan bola sepak moden adalah pergerakan bola yang lancar. Untuk mendapatkan pergerakan bola yang lancar, padang yang berkualiti, tidak berlopak dan tidak berlubang diperlukan.

Pada masa yang sama, padang yang berkualiti juga membantu pemain mengelak kecederaan.

Rumput padang yang digunakan di Stadium Sultan ibrahim adalah dari jenis Zoysia Zeon, iaitu spesis rumput yang diimport dari Jepun dan hanya boleh ditemui di kebanyakan negara Asia Pasifik dan Australia.

Nama ‘Zoysia’ diambil sempena nama seorang ahli Botani dari Slovenia, Karl von Zois (1756 – 1799). Terdapat beberapa spesis rumput Zoysia seperti Zoysia Japonica, Zoysia Matrella, Zoysia Tenuifolia dan Zoysia Emerald.

Projek untuk memasang rumput Zoysia Zeon di Stadium Sultan Ibrahim sebenarnya telah pun bermula sejak 2017.

Hasil daripada kajian yang dilakukan dengan Hiroi, TMJ kemudiannya telah mengambil keputusan untuk tidak lagi menggunakan rumput jenis cowgrass seperti di Larkin. Sebaliknya memilih rumput Zoysia Zeon kerana kelebihan spesis ini yang mempunyai cengkaman akar yang kuat.

Zoysia Zeon mampu menghasilkan rumput yang padat dan tebal. Selain itu ia mampu pulih dengan cepat dan sukar untuk terkena ‘penyakit’ seperti kulat. Lebih bagus lagi adalah rumput Zoysia Zeon boleh beradaptasi dengan iklim negara kita.

Di rantau Asia Tenggara, hanya tiga stadium sahaja yang menggunakan rumput ini. Selain Stadium Sultan Ibrahim, dua stadium lain adalah Stadium Nasional Singapura dan Stadium Utama Gelora Bung Karno, Indonesia.

Salah satu daripada tiga padang di Pusat Latihan Seri Gelam juga menggunakan rumput Zoysia Zeon bagi memastikan pemain JDT dapat mengadaptasi permainan di Stadium Sultan Ibrahim.

Dua lagi padang di pusat latihan itu menggunakan cowgrass dan rumput tiruan (artificial turf) kerana pemain JDT akan bermain di atas permukaan padang seperti itu apabila bertandang ke tempat lawan.

“Kebanyakan masalah padang di Malaysia adalah air bertakung. Jadi saya beri jaminan, teknologi yang ada di bawah rumput ini adalah satu sistem perparitan yang istimewa,” jelas Hiroi.

“Berapa banyak pun air [hujan] turun ke atas padang ini, ia tidak akan bertakung. Itulah keistimewaan padang Stadium Sultan Ibrahim, teknologi ini satu-satunya di Asia.

Cowgrass adalah rumput yang biasa kita jumpa di negara ini, tetapi saya mencadangkan Zoysia Zeon kerana ia adalah rumput terbaik untuk sukan walaupun harganya mungkin lebih tinggi dan dari segi kos penyelenggaraan sudah tentu berbeza.”

Sembilan lapisan

Untuk menghasilkan padang yang berkualiti, kos yang paling besar sebenarnya bukanlah pada rumput. Tetapi apa yang ada di bawahnya.

Padang di Stadium Sultan Ibrahim mempunyai sembilan lapisan di mana setiap satunya mempunyai fungsi masing-masing dalam teknologi perparitan padang.

Sembilan lapisan padang Stadium Sutan Ibrahim.

Ini adalah untuk memastikan air hujan yang membasahi padang akan diserap dengan pantas dan disalirkan ke longkang yang ada di sekeliling padang.

Dengan adanya sembilan lapisan ini, prospek melihat aksi bola sepak ‘sawah padi’ boleh dikatakan hampir mustahil – kecuali jika berlakunya kerosakan pada sembilan lapisan padang tersebut.

Pelaburan jangka masa panjang yang berbaloi

Bagi sesebuah pasukan untuk memiliki stadium sendiri, ia bukanlah sesuatu yang mudah. Namun JDT membuktikan ianya tidak mustahil. Seperti JDT, pasukan lain juga mempunyai dana berjuta-juta untuk operasi pasukan.

Tetapi bezanya JDT adalah, tidak semuanya dilaburkan kepada gaji pemain. JDT banyak melabur kepada penaikan taraf aset-aset mereka seperti kompleks latihan, pejabat sendiri dan yang terkini, Stadium Sultan Ibrahim.

Semuanya demi kelangsungan kelab pada jangka masa panjang.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN