‘Inilah Bola Sepak’ – Bojan Pasrah KL City Hilang Penyerang Kali Kedua

Bojan Hodak KL City

Biarpun terpaksa terbang ke Kota Kinabalu tanpa kehadiran penyerang, Kuala Lumpur City FC (KL City FC) yang juga dalam misi mencari kemenangan sulung di laman lawan, kekal tenang bagi menghadapi Sabah pada Rabu ini di Stadium Likas.

Pengendalinya, Bojan Hodak, berkata, situasi itu bukanlah sesuatu yang asing buat KL City FC yang selama ini pernah berdepan situasi sama apabila mereka pernah kehilangan Dominique da Slyva selepas empat perlawanan.

Kali ini, penyerang import baharu, Kyrian Nwabueze pula dilanda kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang memaksa Bojan mungkin terpaksa meletakkan kembali Romel Morales di posisi serangan.

Situasi itu bertambah buruk apabila penyerang berpengalaman, Safee Sali mendapat demam denggi manakala pemain muda, Alif Safwan Mohd Sallahuddin dilihat belum bersedia.

“Sudah dua perlawanan kami turun tanpa penyerang tetapi kami masih tetap bermain dengan baik berbanding perlawanan-perlawanan sebelum ini.

“Inilah bola sepak, ada kalanya nasib akan baik atau buruk, itulah yang terjadi kepada kami apabila semua pemain di posisi lain tidak pernah mengalami kecederaan serius namun berbeza di posisi penyerang apabila kali kedua kami kehilangan pemain.

“Memang kami tidak jangka situasi ini akan terjadi dan bertambah buruk, perancangan saya untuk turunkan Safee untuk aksi dengan Sabah tidak dapat jadi kenyataan kerana mendapat demam denggi manakala Alif Safwan yang baharu bersama kita saya rasa belum bersedia untuk diturunkan.

“Jadi, seperti biasa saya akan mempertaruhkan Romel Morales sebagai penyerang utama namun situasi ini bukanlah sesuatu yang janggal kepada kami kerana pernah mengharunginya sejak ketiadaan Dominique,” katanya.

Sabah bakal menjadi lawan KL City di Stadium Likas pada Rabu dengan satu lagi perlawanan turut berlangsung iaitu membabitkan Petaling Jaya City (PJ City) dan Terengganu FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

KL City yang menduduki tangga keenam Liga Super meraih tiga keputusan seri berturut-turut sejak Liga Malaysia kembali bersambung pada 24 Julai lalu termasuk perlawanan terakhir menyaksikan mereka diikat seri 1-1 dengan Melaka United di laman sendiri.

Selepas lapan perlawanan di tempat lawan, KL City masih lagi belum mampu menang apabila sekadar meraih empat keputusan seri dan empat kekalahan.

Hodak bagaimanapun tetap berasakan peningkatan sudah banyak dipamerkan oleh pasukan cuma berasakan tuah tidak berpihak kepada KL City untuk meraih kemenangan.

“Sememangnya saya sedar kami belum pernah menang di laman lawan setakat ini tetapi apa yang lebih diutamakan adalah permainan kami sendiri kerana saya percaya keputusan akan datang jika kami bermain baik.

“Selain itu, jangan lupa kedudukan kami di tangga keenam yang merupakan antara satu pencapaian terbaik buat Kuala Lumpur sejak Liga Super diperkenalkan 25 tahun lalu.

“Jadi, saya rasa tidak tertekan dengan situasi ini kerana sejak awal menetapkan sasaran untuk kekal di Liga Super dan kami hanya memerlukan beberapa mata sahaja lagi untuk berbuat demikian,” katanya. – MFL

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN