Ini Komen Benjamin Mora Tentang Kemenangan, Safiq Rahim & 2 ‘Aset’ Baharu

Benjamin Mora JDT Penang FC 2021 komen safiq rahim

Johor Darul Ta’zim (JDT) mudah membenam cabaran Penang FC di Stadium Bandaraya dengan keputusan 3-0 dalam aksi ke-13 Liga Super 2021, malam tadi.

Keputusan yang sudah dijangka, namun tidak dijangka yang Penang langsung sukar untuk memberikan sebarang cabaran kepada JDT. JDT dengan mudah meledak gol berbanding aksi pertama mereka yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim.

Ketika itu, Penang hanya dibolosi di sepuluh minit terakhir perlawanan selepas cuba memberi tentangan sengit. Bermula dengan penalti yang disempurnakan Leandro Velazquez dan gol kedua hadir menamatkan sisa perjuangan Penang di laman lawan.

Kali ini, Harimau Kumbang mula dibolosi pada minit ke-15 menerusi jaringan Safawi Rasid. Bergson da Silva menambah koleksi golnya pada minit ke-35 sebelum pemain gantian, Mohamadou Sumareh meledak jaringan ketiga JDT di minit ke-51.

Bercakap tentang kemenangan malam tadi, Benjamin Mora berkata ini merupakan antara kemenangan terbaik mereka di gelanggang lawan. “Ini antara yang terbaik. Menang di tempat lawan adalah penting buat kami kerana apabila kami di tempat lawan, setiap pasukan menjadi lebih kuat dan tidak mudah untuk ditewaskan.”

“Kami telah mencuba yang terbaik untuk bermain dengan gaya dan perancangan kami tanpa beberapa pemain seperti Leandro [Velazquez] dan Afiq [Fazail]. Pemain-pemain yang bermain hari ini bermain baik di tempat yang sukar di mana sudah lama [Penang] tidak tewas di sini. Dan [kemenangan] ini sangat penting buat kami.

“Kami menentang pasukan yang amat sukar, jurulatih yang bagus dan gaya permainan mereka yang menyukarkan. Saya berpuas hati kerana kami menutup fasa ini [sebelum rehat] dengan kemenangan, tanpa bolos dan tiga mata, di takhta liga,” jelasnya.

Bercakap pula tentang kemunculan semula Safiq Rahim yang kali terakhir beraksi pada 21 Mac berdepan Perak FC, Benjamin Mora memuji prestasi pemain itu yang turut menyumbang satu bantuan gol kepada Safawi Rasid dalam babak pertama.

“Sangat bagus [prestasi Safiq Rahim]. Saya selalu katakan Safiq Rahim adalah lagenda bola sepak di Malaysia. Dia seorang pemain yang pandai membaca perlawanan dan dia tahu bagaimana serta bila dia perlu menyumbang kepada pasukan. Prestasinya sangat menakjubkan, melihatkan dia yang sudah lama tidak diturunkan.

“Dan bagi saya, untuk bermain hampir 80 minit dengan permainan sebegitu, sangat bagus. Dan itu juga menunjukkan kepada saya yang pemain-pemain sentiasa bekerja keras [untuk pasukan],” tambah Benjamin Mora mengenai prestasi Safiq Rahim.

Selain itu, seperti yang dijanjikan sebelum ini, turut ditanya dalam sidang media malam tadi adalah tentang penyertaan Shahrul Saad dan Guilherme de Paula. Katanya, “Bila mereka sudah mula berlatih bersama kita nanti, saya akan lihat bagaimana.”

“Sudah tentu untuk mengukuhkan lagi pasukan [penyertaan dua pemain itu] dengan memiliki pemain yang memiliki kekuatan yang berlainan. Shahrul [Saad] masih cedera, jadi kita perlu tunggu. De Paula pula mempamerkan dia adalah penyerang yang bagus.

“[De Paula] memiliki gaya permainan yang berbeza dengan Bergson. Itu satu kelebihan apabila memiliki pemain yang berbeza gaya permainan. Ini memudahkan kami untuk merubah permainan bagi memenangi perlawanan dalam pertandingan,” jelasnya.

Baca lagi artikel lain tentang Benjamin Mora dan JDT:

Shahrul Saad, De Paula Sekadar Ke JDT II?

3 Sebab Shahrul Saad Mungkin Hampiri Perpindahan Ke JDT

Benjamin Mora: Tiada Masalah Dalam Permainan, Cuma Kami Tidak Menang

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply