Ini Idea Andrea Agnelli Untuk Rapatkan Jurang Kelab Kecil Dengan Kelab Kaya Eropah

Andrea Agnelli World Football Summit 2018

Artikel ini merupakan rumusan ucapan Pengerusi Juventus FC dan European Clubs Association semasa World Football Summit 2018 di Madrid, Sepanyol. Topik ucapannya berkisar tentang ‘keseimbangan tahap kompetitif (competitive balance) kelab-kelab Eropah’ dan cadangan beliau dari perspektif pemilik kelab.

1. Keseimbangan tahap kompetitif membawa pelbagai erti, sudut pandangan dan perspektif yang berbeza-beza kepada pelbagai pemegang taruh industri bola sepak. Kelab bola sepak mempunyai perspektif mereka tersendiri. Penganjur liga mempunyai perspektif unik mereka. Begitu juga dengan persatuan dan penyokong. Ianya sukar untuk dijelaskan dalam satu ayat.

2. Sekitar tahun 70 dan 80-an, kelab-kelab yang berpangkalan di bandar-bandar metropolitan lebih mudah menikmati kejayaan berbanding kelab-kelab di kawasan lain. Ini kerana mereka mempunyai stadium besar, penyokong yang lebih ramai dan menjual lebih banyak tiket pada hari perlawanan.

3. Jika anda lihat senarai nama-nama juara UEFA Champions League (European Cup sebelum 1992) dan UEFA Europa League (UEFA Cup sebelum 2009) pada era 70 dan 80-an, kebanyakannya berpangkalan di bandar-bandar metropolitan seperti Glasgow, Bucharest dan Belgrade.

Andrea Agnelli World Football Summit 2018

4. Kini kelab-kelab ini tidak lagi segah reputasi mereka pada zaman dahulu. Apa yang berubah? Antaranya selepas kes Bosman yang memberi kebebasan yang besar kepada pemain untuk berhijrah. Pengenalan ejen pemain juga memainkan peranan. Tetapi faktor terbesarnya adalah duit hak penyiaran TV.

5. Sejak duit hak penyiaran TV semakin melimpah dalam dunia bola sepak moden, faktor kejayaan sesebuah kelab tidak lagi bergantung sama ada ia berpangkalan di bandar atau tidak. Ia bergantung kepada berapa banyak duit hak penyiaran yang sesebuah kelab dapat. Perkara inilah yang membuatkan kelab-kelab seperti Ajax Amsterdam, Celtic, Benfica dan banyak lagi tidak lagi mampu mengulangi kejayaan zaman silam mereka.

6. Ini kerana Ajax Amsterdam, Celtic dan Benfica terletak di negara yang tidak mempunyai saiz pasaran sebesar 5 liga utama Eropah: England (Premier League), Sepanyol (La Liga), Itali (Serie A), Perancis (Ligue 1) dan Jerman (Bundesliga).

7. 5 liga yang dikenali sebagai ‘The Big Five’ ini beruntung kerana dunia mengalami revolusi teknologi. Pengenalan servis OTT, media digital dan platform media sosial pada era 2000-an menyaksikan industri bola sepak global menikmati purata pertumbuhan terkumpul sebanyak 10%. Fakta ini menarik kerana disebalik krisis ekonomi di Eropah pada 2007, industri bola sepak Eropah tetap berkembang.

8. Kemakmuran industri bola sepak Eropah ini bermakna syarikat-syarikat penyiar kini melabur berbilion-bilion Euro di 5 negara ‘The Big Five’. Sebabnya? 5 negara ini mempunyai kapasiti berbelanja (spending capacity), jurang untung (margins) dan saiz pasaran (market size) yang besar. Duit hak penyiaran TV ini sedikit-sebanyak ‘menganggu’ keseimbangan tahap kompetitif kelab-kelab Eropah.

9. Dalam kalangan negara ‘The Big Five’ sendiri pun, sudah wujud ketidakseimbangan tahap kompetitif ini. England misalnya mempunyai kelebihan dari segi saiz pasaran kerana faktor bahasanya yang merupakan lingua franca ekonomi dunia dan kewujudan komuniti negara-negara Commonwealth.

10. Laporan UEFA mendedahkan 1/3 daripada berbilion-bilion duit pendapatan dalam industri bola sepak dinikmati oleh hanya 12 kelab teratas di Eropah. Selebihnya perlu direbut oleh ribuan kelab-kelab Eropah lain – termasuklah kelab-kelab dari Belanda, Scotland atau Portugal.

11. Salah satu faktor yang menganggu keseimbangan tahap kompetitif kelab-kelab Eropah ini adalah limpahan duit hak penyiaran TV yang dinikmati pasukan yang menyertai UEFA Champions League dan Europa League. Pasukan yang menyertai dua kejohanan UEFA ini menikmati pertumbuhan pendapatan antara 10-15%.

12. Bagi kelab-kelab kecil dari negara-negara selain The Big Five, punca pendapatan utama mereka adalah jualan tiket, sewa stadium (untuk acara sukan lain dan konsert contohnya) dan kontrak penajaan komersial. Hak penyiaran domestik tidak membawa duit yang cukup besar. Yang membawa duit yang cukup besar adalah hak penyiaran global.

13. Agnelli memuji inisiatif pengerusi La Liga, Javier Tebas (gambar bawah) yang menjadualkan sepak mula perlawanan El Clasico ke waktu makan tengah hari (2 petang di Sepanyol) supaya ia boleh disaksikan pada waktu malam di Asia.

14. Jadi apa langkah-langkah lain yang perlu diambil oleh kelab-kelab lain untuk mengimbangi tahap kompetitif kelab-kelab di England dan Sepanyol? Jawapannya terletak pada penggabungan saiz pasaran (aggregation of market size).

15. Penggabungan saiz pasaran adalah amalan biasa dalam bisnes. Mengambil contoh bisnes automotif (keluarga Agnelli merupakan pemilik bisnes automotif; FIAT), negara-negara yang mempunyai saiz pasaran kecil biasanya digabungkan di bawah satu pengurusan dan strategi.

15. Agnelli mencadangkan penubuhan kejohanan baru yang akan mengiringi UEFA Champions League (taraf 1) dan UEFA Europa League (taraf 2). Kejohanan baru ini akan berfungsi sebagai kejohanan taraf 3. Penyertaan dalam kejohanan taraf 3 ini akan memberi ruang kepada lebih banyak kelab-kelab kecil di Eropah untuk menyertai pertandingan yang mempunyai hak penyiaran global – sekaligus menambah pendapatan komersial dan kutipan tiket.

16. Agnelli sedar UEFA Europa League masih menghadapi masalah menarik jumlah penonton seramai UEFA Champions League. Untuk menyelesaikan masalah ini, Agnelli mencadangkan jumlah perlawanan maksimum Europa League dikurangkan daripada 53 kepada 43 perlawanan. Fokus kepada kualiti, bukan kuantiti.

17. Menjelang 2024, European Clubs Association pimpinan Agnelli mahukan kelab akan diberi kuasa untuk menentukan kalendar bola sepak – bukannya UEFA semata-mata. Ini kerana kelab-kelab inilah yang banyak melabur dalam industri bola sepak (dari segi infrastruktur, pemain, akademi dan nilai pasaran kejohanan). Agnelli mahukan suara kelab Eropah didengari ketika kalendar bola sepak dirancang kerana merekalah yang paling banyak menanggung risiko dari pelaburan mereka.

Dapatkan tiket WFS Asia 2019 anda!

Nak sertai kongres bersama individu berpengaruh dalam industri boal sepak global? Nak dengar ceramah dari pakar industri? Nak berkenalan dengan individu-individu penting dalam industri? Nak cari peluang perniagaan baru untuk produk/servis syarikat anda?

Sertai WFS Asia yang bakal diadakan pada 29 dan 30 April 2019 di Sunway Pyramid Convention Centre!

Dapatkan tiket anda di pautan berikut SEKARANG: Tiket WFS Asia

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN