Indra Sjafri Minta Ada Semangat Kesukanan Berhubung Isu Pelepasan Saddil Ramdani

Saddil Ramdani Indonesia pahang

Jurulatih skuad B-22 Indonesia, Indra Sjafri masih menanti kata putus Persatuan Bolasepak Pahang (Pahang FA) mengenai status pelepasan pemain sayap, Saddil Ramdani untuk menyertai kem latihan pusat sempena Sukan SEA 2019 di Jakarta.

Menurut Indra Sjafri yang dipetik daripada portal BOLA, Malaysia dan Pahang harus berlaku adil dalam situasi ini, iaitu jika pemain-pemain Malaysia diberikan pelepasan, Saddil Ramdani turut harus dilepaskan untuk kembali menyertai kem latihan pusat.

“FAM [Persatuan Bolasepak Malaysia] harus adil. Kalau pemain Malaysia diizinkan untuk bersama Malaysia U-22, kami [Saddil Ramdani] tidak diizinkan, itu tiada semangat kesukanan namanya,” ujarnya sambil memaklumkan sudah terdapat perbincangan antara pihaknya bersama FAM dan Pahang FA tentang isu ini.

Untuk saat ini, Saddil Ramdani masih diperlukan oleh Pahang untuk aksi Piala Malaysia yang sudah memasuki pusingan separuh akhir kedua. Pemain berusia 20 tahun itu telah beraksi pada aksi sebelum ini, ketika mereka terikat 3-3 menentang Kedah.

Separuh akhir kedua dijangka akan berlangsung pada 26 Oktober ini, sementara final pula akan dilangsungkan pada 2 November depan. Jika Pahang melangkah ke final, Indonesia akan terpaksa menanti selepas aksi final untuk menerima pemain itu.

“Kalau pasukannya mengizinkan Saddil [Ramdani], kami akan panggil dia. Kalau pasukannya tidak bersetuju, kami akan [beraksi] tanpa Saddil. Mudah,” tambah pengendali berusia 56 tahun itu lagi.

Kes ini seakan-akan ulangan ketika Kejohanan Piala AFF B-22 yang lalu, di mana Saddil Ramdani terpaksa menanti saat akhir sebelum diberikan pelepasan untuk bersama skuad Sang Garuda.

Ketika itu, telah dikatakan Persatuan Bolasepak Seluruh Indonesia (PSSI) memilih untuk turun ke FAM bagi memperolehi keizinan supaya Saddil Ramdani dapat bersama-sama skuad Indonesia.

Acara bola sepak di Sukan SEA 2019 dijangka akan berlangsung pada penghujung November dan jika Pahang hanya melepaskan Saddil Ramdani selepas itu, ianya jelas tiada sebarang masalah kerana tempoh masa yang masih berbaki hampir sebulan.

Saddil Ramdani merupakan antara tonggak utama skuad Indonesia B-22 yang kini sudah berjaya memecah masuk ke skuad senior dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Kredit Featured Image: Pahang FA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram