Indonesia Tiada Pilihan, Wajib Menang Ke Atas Australia Jika Mahu Ke Piala Asia B-23

Indonesia Australia kelayakan Piala Asia B-23

Nampaknya wakil Asia Tenggara, Indonesia tiada pilihan lain apabila wajib mengatasi Australia untuk tidak tersingkir seterusnya layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 yang akan berlangsung pada Jun depan.

Ini kerana, saingan Kumpulan G yang melibatkan Australia, China, Indonesia dan Brunei kini hanya tinggal dua pasukan berikutan pengunduran China dan Brunei. China adalah yang terbaru memaklumkan pengunduran.

Chinese FA (CFA) mengumumkan pengunduran mereka pada 11 Oktober lalu selepas Brunei terlebih dahulu mengundurkan diri menyaksikan hanya dua pasukan bakal bersaing daripada Kumpulan G, minggu depan.

Difahamkan pihak Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) telah memutuskan bahawa hanya juara Kumpulan G akan mara ke pusingan akhir sementara pasukan yang kalah dan berkedudukan kedua dalam kumpulan itu tidak akan diambil kira dalam menentukan empat pasukan kedudukan kedua terbaik yang juga akan mara.

Menurut laman Twitter Asean Football, ini menyaksikan Indonesia bakal berdepan cabaran sukar iaitu wajib menang ke atas Australia jika mahu melangkah ke pusingan akhir yang akan dilangsungkan di Uzbekistan.

Pengendali Indonesia, Shin Tae-yong berasa kecewa dengan pengunduran kedua-dua pasukan tersebut kerana telah menyukarkan laluan Indonesia untuk sekurang-kurangnya mara daripada kedudukan kedua terbaik.

Katanya, “Situasi yang tidak ideal untuk kami karena pengunduran Brunei dan China. Apalagi hanya pasukan di kedudukan pertama kumpulan ini sahaja yang akan layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 nanti.”

Indonesia akan bertemu Australia pada 27 dan 30 Oktober depan di Tajikistan dan mereka saat ini telah berada di sana melakukan persediaan rapi untuk menyesuaikan diri dengan cuaca dan keadaan persekitaran di sana.

“Ketika ini suhu di sini bagi kami belum terlalu sejuk. Namun, ketika pertandingan nanti pasti [cuaca] lebih sejuk. Pemain harus membiasakan diri dengan cuaca sejuk,” tegas Shin Tae-yong mengenai pasukannya.

Difahamkan China mengambil keputusan menarik diri kerana langkah pencegahan epidemik dan kawalan COVID-19, kekangan penerbangan dan lain-lain menyebabkan pasukan itu tidak dapat terbang ke Tajikistan.

Setelah mengundurkan diri dari saingan kelayakan Piala Asia B-23, China akan memulakan persiapan bagi menghadapi Sukan Asia 2022 yang akan diadakan di Hangzhou pada 10 hingga 25 September 2022.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply