Indonesia & Thailand Dilarang Kibar Bendera Di Pusingan Kelayakan Piala Asia B-23

Pasukan bola sepak Indonesia dan Thailand tidak akan dibenarkan menggunakan bendera masing-masing di Pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 yang akan berlangsung pada Oktober ini.

Ia berikutan pergantungan oleh Agensi Anti Doping Dunia (WADA) yang melarang penyertaan atlet dari kedua-dua negara mewakili negara masing-masing di semua pertandingan sukan antarabangsa selama setahun.

Pergantungan tersebut tiba selepas dianggap tidak patuh kepada garis panduan yang diperkenalkan WADA dalam melaksanakan program pengesanan yang berkesan di kalangan atlet negara masing-masing.

Keputusan tersebut diumumkan pada Khamis lalu, sehingga memaksa skuad Piala Thomas Indonesia turut meraikan kejayaan bergelar juara pertandingan badminton dunia penuh prestij itu tanpa bendera negara mereka.

Pertandingan antarabangsa seterusnya melibatkan kedua-dua negara ialah Pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 pada penghujung bulan ini.

Indonesia yang akan beraksi di Tajikistan diundi di dalam Kumpulan G dan hanya akan berhadapan dengan Australia selepas China dan Brunei menarik diri.

Thailand pula akan beraksi di Mongolia di dalam saingan Kumpulan J yang turut menempatkan pasukan negara kendalian Brad Maloney, Laos dan pasukan tuan rumah.

Kedua-dua pasukan juga akan bertanding di Piala AFF Suzuki pada Disember akan datang.

Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Zainudin Amali berkata surat rayuan sudah dihantar kepada WADA pada Jumaat lalu untuk menjelaskan situasi pandemik yang menyukarkan sampel mencukupi diperolehi daripada atlet untuk dihantar untuk ujian.

Pergantungan setahun oleh WADA juga bermakna Indonesia dan Thailand turut tidak boleh mengibarkan bendera masing-masing di Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadualkan berlangsung pada Jun tahun hadapan.

Hukuman tersebut bukan perkara baharu di kancah sukan antarabangsa. Atlet Rusia misalnya tidak dibenarkan bertanding di bawah bendera negara mereka di Sukan Olimpik Tokyo yang lalu.

Ia bagaimanapun tidak menjejaskan penyertaan mereka. Skuad Indonesia dan Thailand dijangka akan menggunakan logo persatuan masing-masing untuk tempoh setahun akan datang jika WADA tetap tidak menerima rayuan kedua-dua negara.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply