Indonesia Mahu Elak Guna Barracuda, Jamin Keselamatan Skuad Negara Di Jakarta

Indonesia

Menjelang perlawanan pembukaan pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022 menentang Indonesia di Stadium Utama Gelora Bung Karno pada 5 September ini, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) masih berusaha untuk meyakinkan pasukan Malaysia agar tidak menggunakan kereta perisai atau Barracuda untuk pemain negara ke tempat perlawanan.

Pengarah Media PSSI, Gatot Widakdo memaklumkan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah meminta PSSI untuk menyediakan aset milik tentera itu bagi menjamin keselamatan pemain.

Namun demikian, PSSI telah berjanji bahawa perlawanan di stadium keramat mereka itu akan berlangsung dengan aman memandangkan pertembungan dua pasukan nusantara ini akan dikawal oleh ribuan pihak keselamatan yang menggabungkan Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Polis Republik Indonesia.

“Jumlah anggota keselamatan mencapai itu [ribuan], tetapi semalam Malaysia masih meminta untuk menyediakan kereta perisai itu juga. Tetapi kami masih mencuba untuk bicarakan keamanan yang sederhana, kami masih mencari formulanya,” jelas Gatot kepada CNN Indonesia.

Gatot juga mengatakan PSSI merancang untuk mengadakan perbincangan susulan dengan pihak FAM dan kemudian dengan pihak polis bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai persiapan bagi menghadapi perlawanan berkenaan.

Sebelum ini PSSI dan FAM sudah pun bertemu di Jakarta pada 4 Ogos lepas dan FAM sudah pun bertanya mengenai soal keselamatan rombongan mereka sepanjang keberadaan di Jakarta.

“Memang dalam pertemuan pertama kami sudah meyakinkan kepada FAM bahawa kami akan membuat persiapan dan strategi mengenai keselamatan. Sebenarnya sama sahaja seperti perlawanan pasukan negara yang terdahulu. Lebih kepada laluan masuk dan tempat duduk penyokong Malaysia di bahagian mana.

“Ini termasuk juga kedatangan media dari Malaysia. Semalam selepas kami berbincang, tidak ada pemisahan tempat duduk di antara media Indonesia dan Malaysia. Kami juga meminta jumlah wartawan yang akan datang dari Malaysia,” tambah Gatot lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Motropolitan Jakarta Raya, Slamet Hadi Supraptoyo juga belum dapat memberikan secara tepat jumlah anggota keselamatan dalam pertembungan di antara pasukan kebangsaan Indonesia dan Malaysia.

“Main sahaja dengan baik. Polis Jakarta akan menjamin keamanan dan keselamatan.” ujar Slamet.

Kali pertama pemain Malaysia berhadapan dengan detik cemas menaiki Barracuda adalah pada perlawanan akhir Piala AFF Suzuki pada 2010. Tahun berikutnya dalam kejohanan Sukan SEA, sekali lagi pasukan negara dibawa menaiki kenderaan tentera itu dan kali terakhir adalah ketika Indonesia tewas kepada pasukan Malaysia dalam perlawanan separuh akhir Piala AFF B-19 pada tahun lepas.

Pendirian PSSI ini berkemungkinan besar adalah untuk memulihkan imej Indonesia di mata pemerhati dan badan bola sepak di seluruh dunia. Indonesia mempunyai rekod yang agak buruk mengenai keganasan bola sepak termasuk kes kematian akibat pergaduhan penyokong.

Isu keganasan dalam kalangan penyokong bola sepak bukanlah perkara baru lebih-lebih lagi melibatkan pertembungan di antara dua musuh tradisi. Oleh sebab yang demikian, aspek keselamatan tidak boleh sama sekali dipandang ringan kerana ia melibatkan soal nyawa.

Kredit foto: FAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram