Analisis Indeks Penilaian Prestasi Malaysian Football League (MFL) Musim 2018

Apakah pendapat anda mengenai prestasi Malaysian Football League (MFL) sepanjang penganjuran Liga Malaysia pada musim ini?

Piala Malaysia sudah pun lebih seminggu berlalu- simbolik berlabuhnya tirai Liga Malaysia bagi musim 2018. Namun kehangatan pertandingan domestik terus menjadi perbualan hangat di kalangan peminat sukan bola sepak tanah air walaupun diancam daya tarikan pertandingan eropah yang membanjiri stesen televisyen digital di negara ini.

“Ala Mat… Ganu kalau Kipre tak out injured, Lee Tuck tak kena kad merah, you jangan haraplah Perak champion tahun ini”……”Eleh awak ni… JDT kalau power pun taklah kalah semi,” – itu adalah bibit perbualan sekumpulan anak muda yang sedang menikmati sarapan bersebelahan penulis pada pagi tadi di sebuah restoran mamak.

Liga Malaysia 2018

Saingan Liga Malaysia 2018 sudah pun tamat. JDT diangkat sebagai juara Liga Super- kejuaraan kelima berturut-turut buat kelab dari selatan tanah air itu selain daripada kejayaan menjulang Piala Sumbangsih pada awal musim.

Pahang pula bermegah dengan kejuaraan Piala FA Malaysia, selepas menewaskan Selangor yang di sebalik segala permasalahan termasuk menukar ketua jurulatih di pertengahan musim, tetap mampu menapakkan diri di perlawanan akhir salah satu pertandingan domestik yang dipertandingkan di dalam negara.

Foto: JST

Felda United pula mengungguli saingan di Liga Premier, tatkala Terenganu FC II muncul juara edisi sulung Piala Cabaran yang mulai diperkenalkan pada tahun ini. Manakala Perak TBG muncul juara Piala Malaysia 2018 selepas berjaya mengetepikan cabaran Terengganu FC – yang merupakan pilihan utama untuk bergelar juara berdasarkan kajian melalui undian yang kami lakukan dijadikan rujukan.

Demikianlah warna-warna saingan bola sepak domestik pada musim ini yang disulami drama, kontroversi- tidak kurang juga turut disulami elemen kejutan seperti yang berlaku di perlawanan akhir Piala Malaysia yang lalu.

Perak dinobatkan sebagai juara Piala Malaysia 2018. Foto: MFL

Mengenang kembali perbualan sekumpulan anak muda ketika bersarapan pada pagi tadi, penulis teringat akan pesanan yang pernah disampaikan oleh Ketua Editor UltraJang, Nasron Yasin kepada penulis satu ketika dahulu.

“Bola sepak kita wajah kita. Kalau Beckham, maka Beckham-lah kita.” Dalam erti kata lain, saingan bola sepak domestik pada hari ini tetap meriah dengan caranya yang tersendiri.

Malaysian Football League (MFL)

Malaysian Football League (MFL) atau dahulunya dikenali sebagai Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) adalah badan pentadbir kepada saingan domestik di negara kita yang diwujudkan sejak 2015.

Mula beroperasi pada 2016, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ), adalah Pengerusi badan tersebut sejak Mac 2018.

Foto: Berita Harian

Bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif, Kevin Ramalingam yang menjawat jawatan berkenaan sejak dari mulanya, kita tidak boleh menafikan penambahbaikkan telah berjaya dilakukan kepada saingan bola sepak tempatan pada hari ini.

Bagi musim 2018, kerja-kerja merancakkan saingan Liga Malaysia 2018 sebenarnya mulai dilakukan sejak penghujung 2017. Berikut kami senaraikan antara kejayaan dan perubahan yang telah dibawa oleh MFL di bawah pimpinan TMJ bagi musim Liga Malaysia 2018:

1. Kerjasama dengan Ampersand Sports

Ampersand Sports- merupakan salah sebuah syarikat SUV di bawah syarikat Ampersand Advisory yang mempunyai kepakaran di dalam bidang konsultansi digital dan menyediakan solusi perniagaan dalam data, media dan kandungan.

Pada 28 November 2017, DYAM TMJ selaku Pengerusi FMLLP dan Presiden FAM pada ketika itu telah memeterai perjanjian bersama Ampersand Sports Sdn Bhd sebagai agensi eksklusif bagi menguruskan hak penajaan saingan Liga Malaysi bermula musim 2018. Antara peranan agensi tersebut ialah untuk mencari penaja bagi saingan Liga Malaysia untuk tempoh selama lima tahun.

Langkah ini diambil bertujuan untuk memberi penekanan kepada isu integriti yang diwujukan oleh TMJ sendiri, kerana baginda selaku pengerusi MFL tidak akan berurusan secara langsung dengan dana atau tajaan yang berjaya dibawa masuk ke Liga Malaysia.

Sejak bekerjasama dengan Amperand, beberapa tajaan berprofil tinggi berjaya ditarik oleh MFL ke Liga Malaysia kerana faktor keyakinan yang diwujudkan oleh TMJ selaku pengerusi badan pentadbir saingan domestik di dalam negara.

2. Penajaan

Antara yang berjaya dimuktamadkan oleh MFL pada musim 2018 ialah mengikat perjanjian tajaan dengan Telekom Malaysia melalui jenama unifi sebagai penaja Liga Super sehingga 2025. Perjanjian dengan nilai keseluruhan RM480 juta ini adalah jumlah terbesar yang pernah tercatat di dalam sejarah sukan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam menyifatkan perjanjian yang dimeterai pada Februari lalu sebagai komitmen jangka panjang Telekom Malaysia, dan merupakan gambaran yang mencerminkan nilai dan kemampuan liga bola sepak Malaysia.

Atas keyakinan akan kredibiliti dan integriti yang dimiliki MFL di bawah pimpinan TMJ, kita juga menyaksikan bola sepak negara terus memperolehi tajaan-tajaan daripada beberapa syarikat koporat yang lain. Antaranya ialah Shopee dan juga My Motor.

3. Football Malaysia on iflix- siaran langsung untuk semua

Melalui perjanjian dengan syarikat penstriman iflix, semua 6 perlawanan unifi Liga Super dan Liga Premier terpilih telah disiarkan secara siaran langsung. Kerjasama ini membolehkan Liga Malaysia memperolehi RM13 juta semusim selama 10 tahun.

Selain menyediakan penstriman secara langsung, iflix juga melabur sebanyak RM300 juta untuk menghasilkan pelbagai konten menarik berkenaan Liga Malaysia. Selain daripada untuk menghangatkan saingan Liga Malaysia, konten-konten sebegini diharap mampu memberikan interaksi kepada peminat dan penyokong di dalam dan juga di luar negara.

4. Pengenalan pemain asing untuk kuota ASEAN

Musim 2018 turut memperlihatkan MFL tampil dengan idea memperkenalkan 5 pemain asing; dengan mewujudkan kuota ASEAN di saingan Liga Super. Langkah ini adalah bertujuan untuk menjadikan Liga Malaysia terus kompetitif di peringkat serantau terutama dari segi daya saing dan juga komersil.

Pada mulanya timbul kerisauan di kalangan pemerhati bola sepak tempatan mengenai kurangnya peluang yang akan diperolehi oleh bakat muda tempatan. Namun jika dinilai secara positif, langkah ini turut memberi cabaran baru kepada pemain tempatan sedia ada serta generasi pemain akan datang untuk membuktikan keupayaan diri, sebelum merebut tempat di dalam kesebelasan utama pasukan masing-masing.

Hasilnya tidaklah mengecewakan, walaupun perkara ini lebih berbentuk subjektif dengan pelbagai pandangan untuk dilontarkan untuk perdebatan. Selain daripada kehadiran beberapa nama pemain import ASEAN yang berjaya menarik minat dari serata negara-negara serantau yang lain, muncul juga pemain-pemain muda yang membuktikan mereka mampu bersaing di peringkat tertinggi bola sepak negara.

Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Azam Azih, Nik Akif Syahiran dan Safwan Andik adalah antara bakat-bakat muda yang menyinar pada musim ini bersama pasukan masing-masing. Bukti lain, saingan peringkat usia melibatkan pasukan negara juga semakin diikuti di kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Musim 2018 adalah musim pertama pengenalan pemain asing bagi kuota ASEAN diperkenalkan. Siapa yang boleh menjangkakan impak kehadiran mereka pada masa akan datang?

5. Piramid bola sepak Malaysia & pengenalan Piala Cabaran

Jika sebelum ini, sekian lama pertandingan bola sepak domestik hanya dihiasi dengan 3 piramid pertandingan, iaitu Liga Super Malaysia, Liga Premier Malaysia dan Piala FAM, kini dua lagi divisyen tambahan menjadi keluarga baru saingan bola sepak tempatan di bawah naungan MFL.

14 penganjur Liga Negeri dan Liga Sosial dari seluruh negara dijadikan asas pembentukkan Liga M5. Juara setiap liga ini akan dinaikkan ke Liga M4 yang akan bermula pada tahun hadapan.

Tambahan dua divisyen ini sekaligus akan membantu menambah ‘pool’ pemain untuk skuad kebangsaan, dan turut memberi ruang kepada pasukan utama Liga Malaysia yang lain untuk meminjamkan pemain muda mereka untuk didedahkan secara pinjaman.

Selain daripada itu, MFL turut memperkenalkan Piala Cabaran mulai musim ini. Objektif pengenalan Piala Cabaran ialah untuk menyediakan platform pertandingan kompetitif untuk pasukan-pasukan yang gagal layak ke Piala Malaysia.

Ini bermakna, pasukan-pasukan ini turut memperolehi jumlah perlawanan yang lebih banyak seperti pasukan yang bertanding di Piala Malaysia, sekaligus memberi nilai tambah kepada setiap pasukan di mata penaja.

Cadangan penambahbaikan

Walaupun saingan Liga Malaysia 2018 dianggap telah berjalan dengan jayanya, kami berpendapat ada beberapa ruang penambahbaikan yang boleh dilakukan oleh badan pentadbir bola sepak negara ini untuk melancarkan perjalanan liga, dan menarik lebih banyak minat dari ramai pihak.

Antaranya ialah penyusunan jadual perlawanan. Sepanjang musim 2018, beberapa kali perlawanan terpaksa ditunda akibat perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan. Misalnya, perlawanan Piala Malaysia di antara Sabah dan Pahang pada 16 September lalu terpaksa ditunda sehari untuk memberi laluan kepada sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan.

Perkara lain yang turut diberi perhatian ialah seperti meneruskan perlawanan Liga Malaysia pada bulan Ramadhan, atau pertembungan perlawanan-perlawanan penting seperti perlawanan akhir Piala FA ketika kejohanan Piala Dunia. Sedikit sebanyak perlawanan-perlawanan yang diadakan di dalam tempoh itu menyaksikan penurunan ketara jumlah penyokong ke stadium.

Kami mengakui tidak mudah untuk menyusun jadual perlawanan. Apatah lagi kerana tempoh perjalanan liga kita yang agak singkat. Namun ia adalah salah satu aspek yang wajar diperbaiki kerana ia boleh menyukarkan penyokong, persiapan pasukan bertanding, dan tugas pengamal media, dari segi logistik akibat penundaan tersebut.

Penyertaan pasukan negara dalam pertandingan antarabangsa yang bukan di bawah kalendar FIFA seperti Sukan SEA dan Sukan Asia juga harus diambil kira agar tidak timbul isu pasukan enggan melepaskan pemain untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan.

Jika anda adalah salah seorang pengikut MFL/FMLLP di media sosial, anda pasti dapat melihat perkongsian konten digital didalam bentuk statistik dan video seperti ‘Media Sosial Minggu Ini’ yang dimuatnaik oleh mereka.

Langkah ini tidak dilakukan pada musim-musim sebelumnya, dan perubahan ini kami anggap sebagai sesuatu yang positif sebagai salah satu langkah perkongsian dengan penyokong.

Namun demikian, kami berharap statistik-statistik ini turut boleh dikongsikan di laman sesawang milik MFL untuk memudahkan ianya menjadi sumber rujukan semua pihak. Selain daripada memberikan informasi sebagai penyokong, langkah ini turut boleh membantu pengamal media seperti kami untuk melakukan kerja-kerja analisis.

Sebagai rujukan, MFL boleh merujuk laman sesawang La Liga atau Premier League. Kedudukan terkini liga, penjaring terbanyak dan statistik-statistik lain turut dipamerkan untuk memudahkan semua pihak mendapatkan informasi terkini mengenai pemain dan pasukan bertanding.

Untuk melakukan perkara ini secara terperinci mungkin agak sukar mengambil kira kos yang diperlukan jika MFL memilih menggunakan kepakaran syarikat seperti OPTA Sports untuk menghasikan kerja analisis. Tetapi perkara-perkara asas seperti senarai penjaring, bantuan gol dan layangan kad sepatutnya tidak ada masalah untuk dikongsikan, sekaligus menjadikan konten digital mereka lebih interaktif.


Walaupun kerjasama dengan iflix membenarkan semua perlawanan disiarkan secara langsung melalui kaedah penstriman, platform secara atas talian masih bukan lagi pilihan pertama rakyat Malaysia untuk menyaksikan perlawanan. Pertama, ia melibatkan kos yang agak tinggi. Selain daripada kos langganan yang harus dibayar kepada iflix, anda juga masih perlu melanggan data dengan syarikat telco masing-masing.

Oleh itu kami mahu mencadangkan agar MFL melakukan kerjasama dengan syarikat-syarikat telco untuk menyediakan pelan data khas untuk tujuan penstriman bersama iflix, khusus untuk menonton perlawanan Liga Malaysia.

Penutup

Ketika anda membaca artikel ini, Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) sedang berlangsung atau pun baru saja selesai. ABK ialah salah satu cara MFL mengiktiraf pemain-pemain dan pasukan-pasukan yang bersaing di Liga Malaysia. Tahniah kepada semua pemain dan jurulatih yang memenangi anugerah masing-masing.

Foto: FMLLP

Pada masa yang sama, kami juga mahu mengucapkan tahniah kepada MFL untuk penganjuran Liga Malaysia 2018. Kami percaya pada musim-musim yang mendatang akan ada lebih banyak usaha dilakukan oleh MFL untuk memartabatkan bola sepak negara.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN