Impian Piala Dunia Syria Terus Menyala, Ikat Australia Minit Akhir

Impian Syria untuk mara ke Piala Dunia buat pertama kali terus hidup apabila berjaya mengikat pasukan pilihan Australia dengan jaringan penalti minit akhir.

Perlawanan dilangsungkan di Stadium Hang Jebat selepas Syria gagal memberikan jaminan keselamatan untuk menganjurkan perlawanan ini di negara mereka.

Pergolakan di Syria membuatkan pasukan kebangsaan mereka terus menumpang di negara lain untuk menganjurkan perlawanan bola sepak dan sudah 2 kali mereka menjadikan Malaysia sebagai gelanggang tuan rumah untuk mereka.

Australia mendahului menerusi Robbie Kruse untuk memperbaiki reputasi mereka yang semakin calar di mata peminat mereka.

Namun skuad Australia gagal membunuh perlawanan ini sehinggalah pada minit akhir, Syria diberikan sepakan penalti. Omar Al Sama menyempurnakan penalti tersebut sebagai bekalan untuk perlawanan timbal balik selepas ini.

Jurulatih Australia, Ange Postecoglou terus menjadi sasaran oleh penyokong Australia selepas gagal membawa Australia mara secara automatik sebelum ini.

Kelayakan dari zon Asia ternyata tidak semudah yang mereka sangkakan. Ange Postecoglou menyisihkan pemain sensasi mereka yang bermain untuk Celtic Tom Rogic dariapda kesebelasan utama.

Syria lebih fokus kepada taktikal bertahan dan melancarkan serangan balas apabila perlu. Namun selepas ketinggalan pada babak pertama, Syria memulakan separuh masa kedua dengan lebih intensif membuatkan permainan lebih terbuka.

Namun Socceroos tetap gagal mendapat gol kedua dan ketiga. Percubaan Juric selepas itu terkena tiang gol dan beliau cuba melakukan susulan, itu juga terkena tiang gol sekali lagi.

Masuk minit ke-70, bintang utama pasukan Syria, Firas Al Khatib dimasukkan. Sebelum itu Firas kecewa diletakkan di bangku simpanan dan meninggalkan kawasan tersebut.

Al Khatib terus memberikan impak apabila larian deras beliau menghasilkan peluang yang hampir disudahkan oleh Soma. Namun terkena tiang gol.

Leckie yang cemerlang sepanjang perlawanan melakukan faul yang memberikan sepakan penalti kepada Syria.

Al Soma dengan tenang menyempurnakannya melepasi Ryan. Syria hampir menambah satu lagi gol menerusi percubaan jarak jauh Moayad Ajan namun Ryan cemerlang menafikannya.

Perlawanan berakhir 1-1 dan perlawanan kedua akan berlangsung dalam 5 hari lagi. Jurulatih Syria ternyata gembira dengan kemeangan ini dan menganggap pasukan bola sepak mereka terus memberikan senyuman kepada rakyat Syria.

Sebelum ini Syria juga mengejutkan pasukan kuat seperti Iran. Syria mengikat Iran di minit akhir 2-2 sebelum ini untuk mara ke play off menentang Australia.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram