Imbasan Piala Dunia Belia Malaysia 1997, Kejohanan Yang Melahirkan Ramai Bakat Elit

16 Jun ini, genaplah 20 tahun Malaysia menganjurkan Piala Dunia Belia 1997. Kejohanan ini berlangsung pada 16 Jun hingga 5 Julai 1997.

Sebelum ini, Piala Dunia Bawah-20 dikenali sebagai Piala Dunia Belia. FIFA menjenamakan nama tersebut mulai kejohanan pada 2007.

Penganjuran kejohanan ini boleh dianggap sebagai prelude kepada penganjuran Sukan Komanwel 1998 yang diadakan di Kuala Lumpur. Sehingga hari ini, Malaysia satu-satunya negara Asia Tenggara yang menjadi hos Piala Dunia Belia / Bawah-20.

Pihak Pos Malaysia mengeluarkan setem khas untuk kejohanan hari ini sebagai koleksi istimewa.

Stadium terpilih

Stadium Shah Alam. Sumber: FIFA

Stadium Shah Alam merupakan salah satu stadium yang digunakan dalam kejohanan ini. Stadium tersebut menganjurkan perlawanan Kumpulan A. Selain itu, Stadium Sarawak (Kuching) menganjurkan perlawanan Kumpulan B. Kumpulan C pula menggunakan Stadium Darul Aman untuk semua perlawanan.

Stadium Darul Makmur, Kuantan menganjurkan perlawanan Kumpulan D manakala Stadium Utama Kangar menjadi hos untuk Kumpulan E. Perlawanan Kumpulan F pula diadakan di Stadium Larkin.

Pasukan layak

V. Saravanan (9) dan Tengku Razman (15) menjadi kesebelasan utama negara swaktu Piala Dunia Belia 1997.

Selaku hos, Malaysia layak secara automatik. China, Jepun dan Korea Selatan mewakili Asia dalam kejohanan ini. Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula membuat penampilan sulung.

Afrika pula menyaksikan Ivory Coast, Ghana, Maghribi dan Afrika Selatan menjadi wakil. Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Costa Rica menjadi wakil CONCACAF.

Amerika Selatan pula menghantar Argentina, Brazil, Paraguay dan Uruguay sebagai wakil. Australia membawa cabaran Oceania sebagai pasukan tunggal yang layak.

Terakhir sekali, Belgium, England dan Perancis layak meraih tiket Eropah. Selain itu, Hungary, Republik Ireland dan Sepanyol turut layak.

Afrika Selatan dan Belgium membuat debut dalam kejohanan  ini di samping tuan rumah.

Format

Mulai kejohanan 1997 inilah, FIFA mengambil keputusan untuk meningkatkan jumlah penyertaan daripada 16 ke 24.

Setiap kumpulan mempunyai 4 pasukan. Juara dan naib juara meraih tiket kalah mati. Baki 4 pasukan dipilih melalui tempat ketiga terbaik.

Malaysia diundi bersama Uruguay, Maghribi dan Belgium dalam saingan Kumpulan A. Kumpulan B pula menyaksikan Brazil, Perancis, Afrika Selatan dan Korea Selatan diletakkan bersama.

Ghana, Republik Ireland, Amerika Syarikat dan China diundi dalam Kumpulan C. Sepanyol, Jepun, Paraguay dan Costa Rica ditetapkan dalam Kumpulan D.

Micheal Owen sewaktu beraksi dalam Piala Dunia Belia 1997. Sumber: FIFA.

Kumpulan E meletakkan Australia, Argentina, Kanada dan Hungary sebagai ahli kumpulan. England, Mexico, UAE dan Ivory Coast menjadi ahli Kumpulan F.

Statistik

Kejohanan ini menarik seramai lebih 650 ribu penonton dan purata sesebuah perlawanan meraih 12 ribu penonton.

178 kad kuning dan 3 kad merah diberikan kepada pemain sewaktu kejohanan ini berlangsung.

Konsep gol emas juga terpakai dalam Piala Dunia Belia 1997. 3 perlawanan menyaksikan konsep gol emas dipakai.

Skuad tempatan

Pasukan belia negara tidak dapat memanfaatkan di gelanggang sendiri. Mereka tewas semua perlawanan menentang Maghribi, Uruguay dan Belgium. Malaysia hanya meraih satu gol tunggal daripada pemain sendiri melalui Nik Ahmad Fadly.

Bintang yang menyinar

Thierry Henry juga beraksi di Malaysia pada ketika itu. Sumber: FIFA

Damien Duff, Nicolas Anelka, Micheal Owen dan Benny McCarthy antara nama yang biasa didengar peminat bola sepak. Mereka menjadikan Piala Dunia Belia 1997 sebagai batu loncatan untuk meraih pengalaman.

Shunsuke Nakamura, Esteban Cambiasso juga pernah menjadikan kejohanan ini untuk meraih aksi untuk mengukir nama di persada internasional.

Argentina meraih juara

Skuad Argentina yang meraih kejuaraan pada 1997. Sumber: FIFA.

Final menyaksikan Argentina menewaskan Uruguay 2 gol berbalas 1 di Stadium Shah Alam. Biarpun Uruguay mendahului Pablo Gabriel Garcia pada minit ke-15, Esteban Cambiasso menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-26.

Diego Quintana menjaringkan gol pada minit ke-43 sekaligus menjadikan gol kemenangan untuk Argentina.

Argentina pada ketika itu dibarisi Esteban Cambiasso, Juan Roman Riquelme dan Pablo Aimar. Uruguay meraih Golden Ball melalui Nicolas Olivera.

Golden Shoe dianugerahkan kepada Adailton dari Brazil kerana beliau menjaringkan 10 gol. David Trezguet pula menjaringkan 5 gol dan diberikan Silver Shoe.

Penutup

Jika anda sudah lahir sebelum 1997, masihkah anda ingat momen sewaktu kejohanan ini berlangsung? Penulis pasti ramai dari kalangan pembaca ada yang masih mengingatinya.

Ada satu persoalan yang ingin kita fikirkan, bilakah kita akan kembali semula ke kejohanan seperti ini tanpa perlu menjadi tuan rumah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram