Ifwat Akmal Syukur Tidak Alami Kecederaan Serius

Iklan

Ifwat Akmal

Penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Che Kassim menyifatkan dia masih belum pulih sepenuhnya susulan kecederaan di bahagian bahu yang dialami ketika aksi CIMB Liga Super berdepan Felda United, Sabtu lalu.

Ifwat mengalami kecederaan bahu sewaktu terlanggar tiang ketika melayangkan badan untuk menyelamatkan tandukan pemain Felda United, Syahmi Zamri di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada minit-44.

Berada dalam keadaan stabil ketika ini, Ifwat tetap bersyukur apabila doktor mengesahkan tiada kecederaan yang serius sehingga patah dan hanya terkehel di bahagian bahu.

Walaubagaimanapun, penjaga gol berusia 24 tahun ini membayangkan dia mungkin tidak mampu untuk beraksi pada Sabtu ini berdepan Sabah di laman sendiri apabila masih perlukan rawatan susulan bagi mendapatkan kembali kekuatan dan kecergasan.

“Sekarang ini saya sudah beransur pulih, cuma masih rasa sakit lagi dan tidak kuat lagi untuk beraksi.

“Masa mula-mula kena, saya langsung tidak boleh nak angkat kedua-dua tangan ini, tapi selepas dua hari, baru boleh angkat perlahan-lahan.

“Kadang-kadang nak pakai baju sendiri pun susah, cuma saya tetap bersyukur tiada apa yang patah, cuma terkehel sahaja dan perlukan rehat.

“Doktor cakap tidak akan ambil tempoh masa yang lama untuk betul-betul sihat, cuma rasanya untuk aksi berdepan Sabah, saya perlu direhatkan terlebih dahulu”, jelasnya.

Kedah ketika ini masih lagi konsisten dengan tiga kemenangan berturut-turut sebaik sahaja Liga Malaysia kembali bersambung pada 28 Ogos lalu.

Kemenangan 2-1 ke atas Felda United sekali gus meletakkan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak ini di kedudukan kedua liga dengan 13 mata setakat ini.

Dengan ketiadaan Ifwat ketika ini, Aidil nampaknya perlu melakukan perubahan dan mungkin penjaga gol, Mohd Shahril Sa’ari akan diturunkan sebagai penjaga gol utama berdepan Sabah.

Berbaki 4 sahaja lagi perlawanan, Ifwat Akmal sudah pasti mengharapkan dia mampu untuk kembali beraksi penuh sebelum liga berakhir pada Oktober depan.

Kredit featured image: Power Sport Images/Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai pasukan Kedah:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram