Ifedayo vs Bergson, Persaingan Hangat Pecah Rekod Marlon, Ghaddar

Ifedayo Olusegun Bergson Selangor JDT 2021

Hatrik penyerang sensasi Selangor FC, Ifedayo Olusegun pada Jumaat menandakan yang persaingannya bersama penyerang JDT, Bergson masih lagi berlangsung.

Jika musim lalu, Ifedayo Olusegun yang meraih anugerah Kasut Emas dengan 12 jaringan telah disaingi hebat penyerang Perak FC, Shahrel Fikri Md Fauzi, kini giliran Bergson muncul sebagai pencabarnya dalam baki empat perlawanan terakhir.

Selangor mungkin tidak akan mampu lagi mengejar kedudukan Johor Darul Ta’zim (JDT) di takhta liga, namun untuk persaingan ini, ia jelas masih hangat berjalan.

Ketika ini, Ifedayo sedang memimpin carta penjaring terbanyak saingan Liga Super 2021 dengan 20 jaringan, sementara pesaing terdekatnya, Bergson, pula sudah meledak 19 gol. Adakah kedua-duanya sedang saling mengejar satu sama lain?

Sebelum berdepan Kedah Darul Aman FC, penyerang berusia 30 tahun itu berada dua gol di belakang Bergson yang turut memintasnya selepas meledak dua gol ketika membenam cabaran Sabah FC 2-0 dalam aksi berlangsung pada hujung minggu lalu.

Barangkali rezeki buat Ifedayo Olusegun, berdepan Kedah yang sudah agak lama ‘berehat’ dan kembali untuk aksi pertama mereka, beliau melakukannya dengan mudah. Tiga gol dihasilkan dan beliau kembali menerajui carta penjaring terbanyak.

Untuk Bergson, beliau baru sahaja memecah rekod selaku penjaring terbanyak pasukan sejak tertubuh JDT pada 2013, memintas rekod Jorge Pareyra Diaz yang dicipta pada musim 2016. Diaz meledak 18 gol untuk JDT merangkul kejuaraan liga.

Kini beliau dalam misi untuk tewaskan Ifedayo Olusegun dan memenangi anugerah Kasut Emas serta memintas rekod penjaring terbanyak dalam sejarah Liga Super yang ketika ini dipegang oleh Marlon Alex James dan Mohammed Ghaddar – 23 gol.

Bekas penyerang sensasi Kedah, Marlon Alex James telah muncul sebagai penjaring terbanyak liga yang dilakar pada musim 2008. Mohammed Ghaddar melakukannya pada musim 2017 dan uniknya bersama dua pasukan – Kelantan dan JDT.

Berbaki empat perlawanan sahaja lagi, adakah salah seorang daripada mereka akan memintas rekod tersebut atau kedua-duanya bakal memintas rekod tersebut?

Kedua-duanya masih berpotensi untuk memintasnya dan adakah kedua-duanya akan bersama-sama memenangi anugerah tersebut? Apa sahaja boleh berlaku kerana liga masih lagi berlangsung. Siapa di antara mereka yang lebih layak untuk meraikannya?

Masih ingat persaingan antara Laszlo Repasi (Perak) dan Carlos Robeiro (Kedah) pada musim 1997 serta Marlon Alex James (Kedah) dan Keita Mandjou (Perak) pada musim 2007 dan 2008? Kini, giliran Ifedayo Olusegun dan Bergson menghangatkannya.

Detik Perebutan Kasut Emas Liga Perdana 1997 Sentiasa Di Minda Laszlo Repasi

Ini adalah baki perlawanan melibatkan JDT dan Selangor musim ini:

JDT

21 Ogos: vs PJ City FC (Away)

27 Ogos: vs Sri Pahang (Home)

04 Sept: Terengganu FC (Away)

12 Sept: KL City FC (Home)

Selangor

21 Ogos: vs Perak FC (Away)

28 Ogos: vs Melaka United (Home)

05 Sept: vs Sabah FC (Away)

12 Sept: vs PJ City (Home)

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply