Ifedayo Olusegun Sahkan Sudah Dapatkan Pasport Bahrain, Tapi Kenapa?

LIGA SUPER SELANGOR KEDAH IFEDAYO OLUSEGUN Bahrain

Nampaknya, ‘kehilangan’ pemenang Kasut Emas musim 2020, Ifedayo Olusegun sudah terjawab dengan pendedahan yang telah dibuat olehnya kepada Goal Malaysia.

Para penyokong sudah mula menyoal ketiadaan Ifedayo Olusegun sejak latihan pra-musim berlangsung. Ada juga yang bertanya ke mana hilangnya penyerang kelahiran Nigeria itu? Adakah beliau mendapat layan istimewa oleh pihak pengurusan?

Selangor tahu kenapa Ifedayo belum sampai

Astro Arena sebelum ini ada bertanya kepada pengendali Selangor FC, Karsten Neitzel mengenai ketiadaan penyerang berbisa tersebut dalam kemnya sehingga kini. Katanya, “Sudah tentu saya masih tenang, kami sentiasa berhubung dengan Ifedayo.”

“Dia sudah ada program individunya sendiri dan dia mengikuti program tersebut. Saya tidak kisah, saya percaya dia akan tiba tidak lama lagi,” ujar pengendali baharu itu.

Karsten Nietzel sudah beberapa hari mengendalikan latihan pra-musim bersama Selangor dengan semua pemain sudah bersama kecuali Ifedayo dan beberapa pemain import yang belum disahkan menyertai kem Gergasi Merah setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon turut mengesahkan pemain tersebut bukanlah masih bercuti seperti dakwaan sesetengah pihak. Menurutnya, masih ada beberapa dokumentasi berkaitan dengannya yang membuatkan kepulangannya tertangguh dan pasukan sedia maklum mengenainya.

Sudah selesai urusan di Bahrain

Ifedayo ketika menjawab kepada Goal Malaysia telah mengesahkan khabar angin yang beliau akan menggunakan kouta pemain Asia musim hadapan. Beliau masih belum kembali ke Malaysia disebabkan urusan mendapatkan pasport baharunya.

Beberapa hari lalu di laman Twitternya, Ifedayo meluahkan kerinduannya kepada Selangor dan padang latihan. Jelas, beliau akan kembali tetapi ada urusan berkaitan status pasportnya untuk membolehkannya didaftarkan sebagai pemain kouta Asia.

Jelasnya, “Saya memang sudah memiliki pasport Bahrain sejak tiga tahun lalu dan pihak pengurusan Selangor merasakan mereka boleh memanfaatkannya dengan menggunakan saya sebagai pemain Asia. Segalanya [urusan] sudah pun selesai.”

Selain pernah beraksi di FELDA United dan Melaka United, Ifedayo turut mencipta nama di Bahrain bersama beberapa pasukan antaranya Malkiya, Al-Hidd dan Al-Riffa.

Kenapa Selangor mahu Ifedayo Asia’kan’ diri?

Persoalan timbul, mengapa Selangor mahukan Ifedayo menyelesaikan isu pasport Bahrain dan membolehkannya didaftar sebagai pemain import untuk kouta Asia?

Jika melihatkan percaturan awal, Selangor sedang memburu dua lagi pemain import untuk melengkapkan kouta import mereka iaitu satu Asia dan satu lain-lain.

Begitupun, dua pemain yang sedang hangat dikaitkan dengan perpindahan ke Shah Alam kini adalah Oliver Buff dari Switzerland dan Manuel Konrad (Jerman).

Pemain yang sudah bersama Gergasi Merah ketika ini adalah Tim Heubach dari Jerman dan Safuwan Baharudin (Singapura). Jadi, disebabkan Ifedayo memiliki pasport Bahrain seperti yang dimaklumkannya, pengurusan Selangor mungkin telah memintanya untuk menyelesaikan urusan tersebut di sana sebelum kembali.

Ini bagi membolehkannya didaftarkan dalam saingan musim depan dan Selangor boleh segera menyelesaikan urusan mendapatkan Oliver Buff dan Manuel Konrad.

Oliver Buff dan Manuel Konrad?

Peluang untuk meng’asia’kan Ifedayo sangat membantu Selangor selepas gagal dalam mendapatkan beberapa pemain untuk kouta tersebut antaranya, Han Kwang-song dari Korea Utara dan Dostonbek Khamdamov (Uzbekistan). Kedua-dua pemain itu mungkin sudah ‘hilang’ daripada radar, namun pengurusan sudah ada perancangan lain.

Disebalik itu, sejak kedatangan Karsten Neitzel mungkin ada perkara baharu telah pun dirancang. Projek DNA Jerman yang mahu diserap masuk ke skuad Gergasi Merah kini berada di tangan pengendali berusia 53 tahun dari Jerman itu untuk digubah.

Oliver Buff dan Manuel Konrad, kedua-duanya merupakan pemain tengah dan memiliki pengalaman di saingan Eropah. Manuel Konrad sudah tentunya fasih dengan DNA yang mahu diterapkan kerana beliau merupakan pemain kelahiran Jerman dan bermain di Divisyen ke-3 Jerman, 3. Liga bersama KFC Uerdingen 05.

Sementara Oliver Buff yang merupakan pemain kelahiran Switzerland, juga pasti tidak kekok kerana antara bahasa utama di sana adalah German selain Itali dan Perancis.

Faktor yang dipertimbangkan oleh pengurusan Selangor dan Karsten Neitzel untuk pemain import tentunya pemain yang boleh segera memahami DNA Jerman dan juga senang untuk beliau berkomunikasi ketika sesi latihan dan juga perlawanan.

KREDIT FEATURED IMAGE: NSTP/SADDAM YUSOFF

Baca lagi artikel lain mengenai Ifedayo Olusegun dan Selangor FC:

Selangor Intai Khidmat ‘Ronaldo’ Korea Utara, Han Kwang-song? Boleh Ambil Atau Tak?

Bekas Pemain 2. Bundesliga, Tim Heubach Dikatakan Sudah Tiba Di Selangor

Feichtenbeiner Anggap Neitzel Calon Tepat Bawa Selangor Ke Peringkat Lebih Tinggi

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN