Ifedayo Olesegun Pemain Terbaik Liga Super PFAM-asiana.my Edisi Mei

Penyerang import Selangor, Ifedayo Olesegun telah dipilih selaku penerima anugerah Pemain Terbaik Liga Super PFAM-asiana.my untuk bulan Mei tahun ini.

Majlis penyerahan anugerah tersebut telah diadakan di Shah Alam dalam satu majlis ringkas semalam, dan disampaikan oleh Jurulatih Selangor, B. Sathianathan.

Ifedayo Olesegun. FOTO: FA Selangor/Asiana

Turut hadir di majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif PFA Malaysia, Izham Ismail dan pengasas asiana.my, Kamarul Akhir Mohammed Zan.

Sebagai pemain terbaik bagi bulan Mei, pemain import yang berasal dari Nigeria itu menerima sebuah trofi, satu bingkai gambar beliau, hadiah wang RM1,500, jersi istimewa dari Great Heights, dan gel aktif sukan oleh Maselfix.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong pasukan Selangor yang sentiasa menyokong pasukan kami semasa perlawanan Liga Super di samping mengundi saya untuk menang anugerah ini,” katanya selepas menerima anugerah tersebut.

MAJLIS PENYERAHAN ANUGERAH PEMAIN TERBAIK LIGA SUPER PFAM-asiana.my EDISI MEI 2019

Pemain pasukan FA Selangor, Ifedayo…

Posted by PFA Malaysia on Tuesday, July 16, 2019

Ifedayo yang tiba di jendela perpindahan Mei lalu sehingga kini telah menjaringkan 10 gol untuk skuad The Red Giants, membantu gergasi lembah Klang sehingga kini menduduki tangga ke-4 saingan Liga Super. Empat daripada jaringan tersebut dihasilkan pada Mei lalu.

Berbaki satu perlawanan menentang PKNS FC di Shah Alam pada Sabtu ini, Ifedayo berpeluang memenangi kasut emas Liga Super sekiranya berjaya menjaringkan sekurang-kurangnya dua gol untuk menyamai jumlah jaringan Kpah Sherman (PKNS FC) dan Diogo Luis Santo (JDT) – yang sehingga kini telah menjaringkan 12 gol.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram