Hilang Kudrat Rodney Calvin, Adakah Loqman Hakim Sudah Bersedia?

Loqman Hakim Kedah Penang Rodney Calvin 2021

Bek tengah berusia 23 tahun, Loqman Hakim Marzuki nampaknya calon yang bakal mengambil alih peranan yang telah ditinggalkan oleh Rodney Calvin selepas ini.

Pelanggaran Rodney Calvin dengan penyerang tuan rumah, David da Silva pada minit ke-27 telah menyebabkan pemain berusia 24 tahun itu terpaksa diusung keluar awal. Mujur buat Kedah Darul Aman FC, kehilangan itu tidak mengganggu rentak mereka.

Rodney Calvin merupakan antara tonggak penting pengendali, Aidil Sharin untuk saingan musim ini walaupun beliau hanyalah pemain pinjaman dari Selangor FC.

Dibawa Ke Hospital, Aidil Sharin Harap Kecederaan Rodney Calvin Tak Serius

Kedah telah melalui 16 perlawanan dengan beliau tampil 13 kali dalam skuad utama dengan merekodkan 1170 minit permainan setakat ini. Beliau menjadi tonggak utama sepanjang ketiadaan Renan Alves di awal musim lalu akibat kecederaan.

Sebagai pemain yang mula mendapat kepercayaan Aidil Sharin, tentunya kehilangan beliau akan dirasai dan itulah yang ditekankan pengendali asal Singapura itu.

“Saya tak berapa pasti, tetapi saya dengar dia [Rodney Calvin] jatuh dengan teruk. Saya harap ianya tidak terlalu serius. Dia telah dibawa ke hospital ketika ini dan harapnya ia tidak serius agar dia boleh kembali bermain aksi selepas ini atau kemudiannya.

“Dia adalah tonggak utama pasukan untuk kami,” tegas Aidil Sharin di sidang media sambil menegaskan kepentingan pemain tesebut dalam perancangan taktikalnya.

Terbaru, beliau telah disahkan cedera serius di bahu yang bakal menyaksikannya perlu berehat sehingga ke penghujung musim ini. Jadi, tiada lagi kelibat Rodney Calvin ketika Kedah dalam misi penting melakar tiga mata dalam semua baki perlawanan mereka.

Kedah ketika ini telah melalui 16 perlawanan, beza tiga perlawanan dengan majoriti pasukan dalam liga ketika ini. Ini akibat lima perlawanan mereka yang ditangguhkan sebelum ini berpunca oleh penularan COVID-19 dalam kem mereka, Julai lalu.

MFL: Pinda Lagi Untuk ‘Elak Situasi Tak Baik’ Lepas Tunda 5 Aksi Kedah

Persoalan kini, adakah Amirul Hisyam akan sekali lagi menjadi taruhan Aidil Sharin untuk bermain di bek tengah? Semua tahu beliau sentiasa menjadi pilihan untuk bermain di posisi tersebut jika skuad Hijau Kuning kehilangan bek tengah mereka.

Namun, melihatkan respon pengendali itu dalam sidang media tempohari, mungkin sudah tiba masanya buat Loqman Hakim untuk bermain di posisi tersebut selepas ini.

“Saya berpuas hati dengan Loqman [Hakim], pemain muda yang masuk selepas itu. Dia memberikan persembahan yang baik malam ini. Ketika ini kami mahukan setiap pemain bersedia dan alhamdulillah, setiap pemain yang masuk bermain baik,” ujarnya.

Loqman Hakim telah tampil sebanyak lima kali musim ini dengan tiga daripada dalam kesebelasan utama. Terbaru adalah ketika mereka menang 4-1 ke atas Penang FC.

Ketika ditanyakan tentang potensi untuk beliau mengambil alih peranan Rodney Calvin, Loqman Hakim dipetik berkata, “Saya rasa bertuah apabila diberikan peluang utuk beraksi ketika perlawanan menentang Terengganu FC tempohari.”

“Dengan ketiadaan Rodney [Calvin], saya kena lebih bersedia lagi untuk setiap perlawanan. Walaupun pengalaman di atas padang masih kurang, saya akan memberikan yang terbaik, InsyaAllah,” ungkap Loqman Hakim di laman KDA FC.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply