Hijrah Ke Thailand Bukan Kerana Wang – Mat Yo

Wang bukan sebab utama mengapa bekas penyerang Pahang, Norshahrul Idlan Talaha memilih untuk beraksi di Thailand pada musim ini.

Perkara itu ditegaskan sendiri oleh Norshahrul melalui akaun Instagram beliau baru-baru ini. Malah penyerang pasukan kebangsaaan ini berkata sebab utama beliau memilih untuk beraksi di Thailand adalah untuk meraih pengalaman.

Perkara itu dijelaskan oleh Norshahrul untuk menafikan tanggapan negatif sesetengah pihak yang menganggap pemergian beliau ke Thailand hanyalah untuk mengejar kemewahan semata-mata.

“Kepada rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian. Saya di sini (Thailand) bukan kerana gaji yang besar atau lumayan. Saya mencari pengalaman. Kalau nak gaji besar (lebih) baik saya duduk dan bermain di Malaysia.

“Anda fikir saya senang di sini? Saya ada tanggungjawab besar dan berat perlu dipikul. Tolong bagi saya ruang, saya tak minta disokong atau dikeji, dihina mahupun sebaliknya. Berhentikan!.

“Saya perlukan ruang untuk saya mencari rezeki. Doa baik-baik, cakap baik-baik. Insya-Allah semua kebaikan akan berlaku.

“Kerjasama kalian amat saya hargai. Hanya Allah dapat membalas kebaikan anda semua,” kata Mat Yo di laman Instagram miliknya semalam.

Norshahrul tampil dalam perlawanan pertama bersama BG Pathum United di Liga Thailand pada Sabtu lalu apabila membantu pasukannya menewaskan Muangthong United 2-1 pada Sabtu lalu.

Norshahrul yang beraksi sebagai pemain kesebelasan utama pada babak pertama perlawanan sebelum digantikan dengan Peerapong Pichitchotirat pada babak kedua.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram