Highlight: Tumpul Punca Chelsea Kecundang

Gol tandukan Isaac Hayden cukup untuk memberikan kemenangan 1-0 kepada Newcastle United ke atas Chelsea dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berlangsung pada awal pagi tadi.

Gol yang hadir empat minit dalam masa kecederaan — 30 saat sebelum wisel penamat ditiup oleh pengadil — memberikan kemenangan sulung untuk Newcastle pada tahun 2020.

Chelsea hanya boleh menyalahkan diri sendiri kerana tewas dalam perlawanan ini.

Selepas menguasai 70% penguasaan bola dan menghasilkan 19 percubaan sepanjang perlawanan, satu-satunya yang gagal dihasilkan oleh anak buah Frank Lampard ialah untuk menghasilkan jaringan.

Ia nampak amat mudah buat Newcastle apabila Hayden melakukan tandukan kilas selepas menerima hantaran Allan Saint-Maximin untuk membuatkan suasana di St.Jame’s Park bertukar seperti sebuah pesta.

Kemenangan sensasi Newcastle itu bagaimanapun tidak menggambarkan permulaan yang perlu dilalui oleh anak buah Steve Bruce pada awal perlawanan.

Pemain pertahanan, Jetro Willems misalnya terpaksa dikeluarkan selepas 10 minit perlawanan berlangsung, untuk menjadikan senarai kecederaan di dalam skuad The Magpies bertambah panjang musim ini.

Chelsea turut mempunyai masalah kecederaan sendiri dalam perlawanan ini apabila pemain muda, Reece James turut terpaksa dikeluarkan oleh Frank Lampard akibat kecederaan.

Namun Lampard sedar ianya adalah ketumpulan bahagian serangan untuk melakukan penyudah yang menjadi punca utama kekalahan pasukannya dalam perlawanan ini.

“Kami mendominasi setiap aspek perlawanan. Mereka [Newcastle] mempunyai percubaan yang terkena palang pada babak pertama perlawanan. Namun, baki perlawanan selepas itu adalah milik kami, kecuali menjaringkan gol,” jelas Lampard selepas selesai perlawanan.

“Newcastle bermain dengan mempertahankan kawasan kotak penalti mereka. Anda tidak akan mendapat banyak peluang besar [big chance] menentang mereka.

“Kami menguasai perlawanan dan memberikan tekanan sehingga ke hujung bahagian pertahanan lawan. Jika benar kami mahu berada ke tahap seterusnya, maka pemain harus memanfaatkan setiap peluang dan menghasilkan jaringan dalam perlawanan [sukar] sebegini.

“Pemain [kami] telah mencuba sehabis baik. Tetapi realiti di dalam bola sepak ialah apabila anda gagal menghasilkan jaringan, itu bermakna pasukan lawan masih kekal dalam persaingan, dan perkara seperti ini [gol kemenangan minit akhir] boleh berlaku.”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram