Highlight & Laporan: Sepanyol Mengganas Di Laman Sendiri, Croatia Jadi Mangsa Amukan

Sepanyol meneruskan rentak kemenangan dibawah kendalian pengurus baharu, Luis Enrique selepas membelasah Croatia 6-0 di Estadio Martinez Valero pada awal pagi tadi dalam saingan UEFA Nations League.

Skuad La Roja membuka tirai jaringan seawal minit ke-12 selepas Saul Niguez menanduk masuk bola hasil hantaran Dani Carvajal yang dilakukan dari sebelah kiri pintu gol Croatia.

Jaringan tersebut nyata menyemarakkan lagi semangat tuan rumah bagi melebarkan kedudukan dan usaha mereka membuahkan hasil setelah Marco Asensio meledak jaringan canrik dari luar kotak penalti pada minit ke-24.

Asensio terus bertindak cemerlang bagi mengecewakan finalis Piala Dunia 2018 di Rusia itu apabila satu lagi rembatan dari luar kotak penalti yang diledakkan hanya singgah di tiang gol lalu bola terkena badan penjaga gol, Lovre Kalinic untuk gol ketiga buat Sepanyol.

Memasuki babak kedua, anak buah Enrique terus bernafsu bagi merobek gawang Croatia.

Hanya tiga minit selepas perlawanan babak kedua bersambung, Rodrigo meletakkan nama selaku penjaring selepas beliau meluru pantas meninggalkan pertahanan lawan yang seterusnya melepaskan percubaan yang melepasi di celah kaki Kalinic.

Dua pemain Real Madrid, Sergio Ramos dan Isco melengkapkan pesta gol Sepanyol untuk perlawanan berakhir dengan keputusan 6-0 memihak Sepanyol.

Sepanyol sebelum ini bermula dengan langkah kanan apabila berjaya menundukkan England dengan keputusan 2-1 di Wembley. Dua perlawanan yang baik buat Luis Enrique dalam membimbing skuad kebangsaan Sepanyol.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram