Highlight La Liga 2019/20: Karim Benzema Muncul Wira Derbi Madrid

Karim Benzema

Jaringan tunggal Karim Benzema pada separuh masa kedua sudah cukup buat Real Madrid untuk menikmati kemenangan berharga 1-0 ke atas Atletico Madrid pada aksi La Liga 2019/20 yang berlangsung di Santiago Bernabeu.

Skuad bimbingan Zinedine Zidane itu kelihatan begitu menyerlah pada aksi Derbi Madrid ini terutamanya pada babak kedua apabila mendominasi penguasaan bola serta turut lebih banyak menjelmakan serangan berbahaya ke kubu lawan yang dikawal Jan Oblak.

Atletico Madrid bagaimanapun terlebih dahulu mengancam gawang Real Madrid dengan dua percubaan berbahaya, namun rembatan leret daripada Vitolo dalam kawasan penalti ditepis keluar penjaga gol tuan rumah, Thibaut Courtois manakala percubaan Angel Correa pula skadar terkena tiang gol.

Selepas itu giliran pemain Real Madrid pula menguji ketangkasan apabila percubaan Luka Modric dan Federico Valverde dinafikan penjaga gol dari Slovenia itu.

Jaringan yang dinantikan hadir pada minit ke-56 setelah hantaran lintang menarik dilakukan Ferland Mendy berjaya disudahkan dengan kemas oleh rakan senegaranya, Karim Benzema untuk membuka tirai jaringan.

Meskipun kedua-dua pasukan berusaha keras untuk mengubah kedudukan tersebut, jaringan tunggal Benzema itu kekal memisahkan Real Madrid untuk meraih kemenangan ke-14 sekaligus meletakkan Los Blancos di menghuni tangga teratas La Liga dengan kelebihan enam mata berbanding musuh tradisi, Barcelona yang kekurangan satu perlawanan.

Saksikan rangkuman perlawanan di sini:

Kredit foto: LaLiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram