Highlight: Bellerin Bantu 10 Orang Arsenal Ikat Chelsea Lewat Perlawanan

Arsenal berjaya menafikan kemenangan lewat Chelsea dengan gol oleh Hector Bellerin pada minit ke-87.

Pertembungan di antara Chelsea dan Arsenal menjadi perhatian untuk aksi pertengahan minggu EPL.

David Luiz dilayangkan kad merah seawal minit ke-26 kerana kekasaran taktikal yang dilakukannya ke atas Tammy Abraham – dan memberikan penalti.

Luiz melakukan kekasaran itu selepas kesilapan Mustafi yang menghantar bola lemah kepada penjaga gol, tanpa berwaspada dengan kehadiran lawan.

Jorginho menjaringkan penalti untuk Chelsea bagi meletakkan skuad Frank Lampard di hadapan.

Arsenal kelihatan bakal menjadi mangsa Chelsea.

Chelsea berjaya mendominasi perlawanan ini. Namun gagal untuk mendapatkan gol kedua daripada penguasaan yang mereka miliki.

Beraksi dengan 10 pemain, Arsenal ternyata bertahan dengan sangat baik. Chelsea cuba menyerang daripada pelbagai arah namun tetap buntu.

Sebaliknya Arsenal menyamakan kedudukan menerusi pemain muda sensasi mereka, Gabriel Martinelli pada minit ke-63.

Pemain muda berusia 18 tahun itu meluru dari kawasan sendiri, menerima bola tandukan Mustafi.

Kante yang cuba menghalang beliau telah tergelincir. Martinelli dengan tenang menewaskan Kepa pada situasi satu lawan satu.

Ia merupakan gol ke-10 Martinelli dalam semua kompetisi musim ini. Ia juga gol menerusi percubaan tepat pertama Arsenal dalam perlawanan ini.

Pada lewat perlawanan, Cesar Azpilicueta menjaringkan gol. Chelsea sudah berkira-kira untuk menang satu lagi derbi London, dengan baki perlawana kurang enam minit sahaja.

Malangnya 3 mata Chelsea tidak dapat direalisasikan apabila Hector Bellerin menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-87.

Bellerin melakukan rembatan terus yang gagal diselamatkan oleh Kepa Arrizabalaga.

Perlawanan berkesudahan 2-2. Chelsea gagal memanfaatkan peluang untuk mendapat 3 mata.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram