‘Lebih Hebat Dari Drogba?’ – Dari Pencuci Longkang, Victor Osimhen Buktikan Kualiti Selaku Pemain Termahal Afrika

Victor Osimhen Napoli

Penyerang Napoli, Victor Osimhen mengekal prestasi cemerlangnya musim ini selepas menjaringkan gol kelapan peribadinya dari sembilan perlawanan dalam semua pertandingan.

Ini termasuklah gol tunggal ketika kelab yang berpangkalan di Naples tersebut menang tipis ke atas Torino di Stadium Diego Armando Maradona pada Ahad.

Penyerang antarabangsa Nigeria itu melonjak tinggi untuk menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-81 untuk mengekalkan skuad kendalian Luciano Spalletti itu di persada liga selepas menang lapan perlawanan berturut-turut.

Osimhen turut menyumbang satu bantuan jaringan untuk pasukannya setakat ini untuk meletakkan selaku penyerang paling tajam dalam kalangan liga terbaik di Eropah ketika ini.

Rekod Afrika

Selepas menampilkan persembahan cemerlang bersama Lille pada musim 2019/20 dengan menjaringkan 18 gol dari 28 penampilan dalam semua pertandingan, kelibat Osimhen mula menarik minat beberapa kelab Eropah untuk mendapatkannya.

Pemain berusia 22 tahun ini menjadi pemain Afrika termahal dalam sejarah selepas Napoli bersetuju untuk membayar yuran perpindahan bernilai €81.3 juta (RM405 juta) kepada kelab Perancis berkenaan.

Berdasarkan angka yang didedahkan oleh media Perancis, L’Equipe, Napoli akan membayar €71.2 juta dan €10.1 juta bonus tambahan menjadikannya rekod pembelian termahal kelab Serie A tersebut.

Jumlah tersebut mengatasi nilai £72 juta yang dibayar Arsenal tahun lalu untuk mendapatkan penyerang Ivory Coast, Nicolas Pepe yang kemudian tempatnya diganti oleh Osimhen di Stade Pierre Mauroy.

Nama Osimhen mula mencuri tumpuan apabila beliau menjaringkan 10 gol dalam kejohanan Piala Dunia bawah 17 tahun (B-17) pada 2015 dan membantu negaranya menjulang kejuaraan buat kali kelima di Chile dan dinamakan sebagai pemain muda Afrika terbaik pada tahun tersebut.

Kesusahan yang mematangkan

Mengenang kehidupan semasa kecil di sebuah penempatan golongan miskin di Lagos, Nigeria, Osimhen mendedahkan bagaimana beliau membesar dalam kedaifan dengan terpaksa bekerja membantu keluarga.

“Saya masih ingat semasa membesar, saya mencuci longkang untuk mendapat upah 20 sen di kawasan perumahan. Saya juga membuat kerja-kerja pembersihan di rumah-rumah jiran, angkut air bersih, rasanya upah baru 80 sen.

“Saya tak rasa malu untuk lakukan kerja-kerja ini kerana percaya dengan bekerja keras seperti inilah saya boleh dapatkan duit, itu lebih penting bagi saya. Saya sedar hanya dengan cara itu ia dapat membantu keluarga saya.

“Semasa membesar, abang saya menjual surat khabar di jalanan, kakak saya pula menjual buah oren. Saya meredah trafik dengan membawa air, mengejar kereta untuk menjual air kepada mereka supaya boleh dapatkan duit.

“Semua kesusahan itu membantu saya tentang nilai dalam hidup ini. Sebab itulah saya bersyukur di mana saya berada pada hari ini kerana semua pengalaman ini membentuk diri saya. Saya bersyukur kepada Tuhan untuk segalanya.”

Lebih hebat dari Drogba?

Kerap kali kualiti penyudah dan naluri pemusnah yang dimiliki oleh penyerang muda ini dibandingkan dengan salah seorang penyerang terbaik dari Afrika, Didier Drogba.

Antara yang menyuarakan perkara itu adalah bekas penyerang Itali, Giuseppe “Beppe” Signorri yang melihat begitu banyak persamaan di antara mereka dari sudut fizikal dan teknikal.

“Dia bagus, dia mempunyai segalanya: teknik, kekuatan, kepantasan dan ketahanan. Dia masih muda dan mempunyai banyak ruang untuk meningkat,” ujar Signorri.

Namun dalam satu temubual, Osimhen mendedahkan bahawa legenda Chelsea tersebut merupakan idolanya yang banyak memberikan inspirasi kepadanya untuk berada pada tahap ini.

“Sangat gembira, impian ketika saya kecil kini menjadi kenyataan,” ujar Osimhen ketika ditanya mengenai perasaannya menjadi pemain termahal Afrika.

“Untuk menjadi pemain profesional, saya terinsipirasi oleh banyak legenda seperti Didier Drogba, John Obi Mikel, Odion Ighalo dan ramai lagi. Saya berharap dapat mencapai tahap yang diraih oleh mereka semua.”

Sama ada beliau lebih baik daripada Drogba atau tidak, mungkin terlalu awal untuk mendapat jawapan dari persoalan itu kerana kariernya masih panjang. Tetapi pencapaiannya ketika ini mungkin sudah cukup untuk menjawab tentang tag harga atau status dirinya selaku pemain termahal Afrika itu.

Penutup

Ini bukanlah kali pertama kita mendengar kisah menyentuh hati melibatkan pemain bola sepak ternama dunia.

Cristiano Ronaldo, N’Golo Kante, Nicolas Pepe, Marcus Rashford, Angel Di Maria, Carlos Tevez, Luis Suarez, Antonio Valencia dan Luka Modric adalah di antara nama-nama besar yang bangkit dari kehidupan yang menyeksakan sewaktu kecil.

Nicolas Pepe: Dari Budak Miskin Di Jalanan Kepada Pemain Termahal Arsenal

Keperitan yang mereka pernah alami pada satu masa dahulu menjadikan diri mereka mempunyai tekad yang kuat untuk membantu diri dan keluarga mereka keluar daripada belenggu kemiskinan.

Kejayaan untuk berada di tahap ini bukanlah datang dengan usaha yang dilakukan hanya pada satu malam.

Jadi bagaimana dengan kita semua? Apakah yang menghalang kita untuk menggapai impian sekalipun kita tidaklah melalui kesusahan seperti mana pemain-pemain di atas.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN