Haziq Aris Mahu Kekal Fokus Bantu UiTM FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email
Haziq Aris

Namanya tiba tiba saja terus melonjak dan meniti di bibir bibir penyokong pendatang baru CIMB Liga Super Malaysia, UiTM FC.

Haziq Aris, penjaga gol tinggi lampai berusia 30 tahun ini menjadi hero pasukannya, tatkala penyokong dan pengurusan pasukan bergelar “The Lions” ini meraikan mata pertama yang diraih dalam liga tertinggi bolasepak Malaysia tempoh hari.

Biarpun telah lama beraksi dalam kancah bolasepak tempatan, namun pasti ramai yang masih belum mengenali peribadi penjaga gol utama UiTM FC ini. Anak kelahiran Klang itu sebenarnya pernah bermain untuk universiti ini pada tahun 2010 sehingga 2013.

Kemudian, Haziq berkelana ke beberapa pasukan untuk menimba pengalaman termasuklah Perak, PKNS FC dan UKM FC sebelum kembali menyertai semula UiTM FC pada awal tahun lalu.

Pada perlawanan yang berlangsung baru-baru ini, Haziq menjadi watak penting buat pasukannya ketika menghadiahkan satu mata berharga apabila berjaya mengikat pasukan Kedah dengan jaringan satu sama.

Lebih membanggakan, selain daripada menjadi tembok terakhir yang menghalang gandingan Kpah Sherman dan Tetche Kipre dari berpesta gol, aksi cemerlang nya menyelamatkan sepakan penalti Kpah pada separuh masa kedua yang sekaligus menjadi titik tolak kebangkitan pasukannya, mengangkat beliau sebagai ‘Man of The Match’ pilihan penyokong UiTM FC dalam satu undian atas talian yang dilakukan selepas perlawanan.

Selain aksi bertemu Kedah, aksi Haziq Aris turut dipuji pengendali JDT iaitu Benjamin Mora yang mengakui pasukannya mampu menghasilkan lebih banyak jaringan jika bukan kerana ketangkasan penjaga gol pasukan lawannya itu ketika kedua dua pasukan bertemu pada pertembungan minggu kedua Liga Super yang lalu.

Dalam pada itu, Haziq tidak menafikan kehadiran penonton yang ramai untuk menyokong UiTM FC pada musim pertama Liga Super ini meningkatkan keyakinannya untuk terus beraksi cemerlang.

“Penyokong yang ramai turun ke stadium adalah satu kebanggan buat pasukan kerdil ini, ianya sekaligus memberikan impak yang positif buat pasukan kerana berbeza dengan musim musim lalu di Liga Perdana, setiap perlawanan di Liga Super ini boleh diibaratkan seperti final”

Tidak menolak kemungkinan aksinya mampu memikat pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, Haziq kekal mahu fokus membantu The Lions untuk kekal di Liga Super terlebih dahulu dan misi terdekat adalah untuk mencari kemenangan pertama menentang PDRM, malam ini.

UITM FC akan menerima kunjungan pasukan PDRM di Stadium UiTM, Shah Alam malam ini dalam satu perlawanan yang bakal diadakan tanpa kehadiran penyokong, berikutan penularan wabak Covid 19 yang sedang melanda Negara dan dunia pada ketika ini.

Kredit foto: UiTM FC