Hawk-Eye Beri Jaminan Sistem Ofsaid Automatik Akan Digunakan Di Piala Dunia 2022

Ofsaid FIFA

Kontroversi mengenai penilaian kesalahan ofsaid menggunakan sistem VAR mungkin tidak lagi berlaku di masa hadapan selepas syarikat pengendali sistem penglihatan komputer Hawk-Eye mengesahkan teknologi baharu itu sudah sedia untuk digunakan semasa Piala Dunia 2022.

Tahun lalu FIFA mendedahkan pihaknya sedang menguji sistem kecerdasan buatan (AI) yang mampu mengesan kedudukan ofsaid dengan lebih cepat dengan menggabungkan beberapa teknologi.

Ia sekaligus dapat menaikkan lagi tahap ketepatan keputusan oleh pegawai perlawanan dan juga menjimatkan masa untuk membuat semakan seperti mana yang dilakukan ketika ini.

Menggunakan sistem VAR yang digunakan ketika ini, seringkali permainan terpaksa ditangguhkan sehingga beberapa minit untuk pasukan teknikal melakukan pemeriksaan secara teliti.

Namun ianya menimbulkan pertikaian oleh beberapa pihak kerana pemeriksaan yang dianggap ‘terlalu teliti’ menyebabkan terdapat gol yang dibatalkan hanya disebabkan terlebih sedikit sahaja daripada garisan.

Legenda bola sepak, Marco Van Basten sebelum ini pernah mencadangkan agar sistem ofsaid dihapuskan demi kebaikan bola sepak untuk jangka masa panjang kerana berpandangan peraturan itu sudah lapuk serta menyusahkan.

Bekas pemain Belanda itu menjelaskan, walaupun FIFA telah memperkenalkan sistem video bantuan pengadil (VAR),  peraturan ofsaid tetap menimbulkan banyak pertikaian atau pertelingkahan, sedangkan bola sepak sepatutnya menjadi sukan yang menghiburkan serta memberi keseronokan kepada pemain serta penyokong.

‘Lebih Banyak Pertelingkahan Berbanding Keseronokan’ – Van Basten Gesa Peraturan Ofsaid Dihapuskan

Berdasarkan laporan dari The Times, FIFA akan membentangkan dapatan dan keputusan hasil dari kajian yang telah dilakukan bersama panel teknikal Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB).

Sistem baharu itu berfungsi dengan menghantar mesej automatik kepada VAR dengan memaparkan bingkai (frame) yang jelas bagi menilai sama ada seseorang pemain itu berada pada kedudukan ofsaid ataupun tidak.

Sistem kamera dan komputer akan mengesan kedudukan pemain dan bola sementara sistem AI pula akan menentukan sama ada pemain tersebut berada pada kedudukan ofsaid apabila bola ditendang oleh pemain yang membuat hantaran.

Ia juga boleh mengesan sekiranya pemain mengganggu pandangan penjaga gol atau mempengaruhi gol.

Hawk-Eye kini masih meneruskan kajian dan percubaan teknologi itu di England dengan memasang sistem mereka di stadium empat pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Malah sistem itu mungkin sudah bersedia untuk digunakan lebih awal dari Piala Dunia 2022 di mana pihaknya menjangkakan ia sudah boleh berfungsi sepenuhnya pada Piala Kelab Dunia FIFA 2022 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Februari akan datang.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply