Hatrik Phillip Abbah Bantu Kajang AZS Menang Mudah 5-0 Ke Atas Ampang ATY Serayan

Kejohanan Selangor Champions League diteruskan lagi semalam dengan menemukan pasukan Ampang ATY Serayan FC menentang pasukan Kajang AZS FC di mana keputusan berakhir dengan 5 gol berjaya dijaringkan Kajang AZS manakala ATY Serayan gagal untuk menjaringkan sebarang gol di Stadium Panasonic Shah Alam.

ATY Serayan yang gagal untuk mendapatkan sebarang mata pada minggu lalu, sudah pasti turun dengan misi mencari 3 mata penuh pada perlawanan kali ini.

Manakala Kajang AZS pula masih lagi segar dengan kemenangan minggu lalu juga mahu meneruskan rentak cemerlang mereka.

ATY Serayan turun dengan pemain-pemain utama mereka dengan menggunakan formasi 4-4-2 dalam usaha mengekalkan penguasaan di bahagian tengah agar pemain tengah mereka mudah membuat hantaran ke bahagian serangan.

Manakala Kajang AZS menggunakan formasi 4-2-4 untuk mendominasi bahagian atas yang diketuai pemain import sensasi mereka Philip Abbah.

Perlawanan bermula dengan pasukan ATY Serayan terlebih dahulu membuat percubaan ke gawang gol pihak lawan. Namun ianya gagal disempurnakan pemain penyerang mereka.

Pada minit ke-4 perlawanan, giliran Kajang AZS pula mengetuk gawang gol ATY Serayan namun kali ini tiang gol menjadi penghalang.

Selang 2 minit selepas itu, Kajang AZS diberikan ‘indirect free kick’ apabila penjaga gol menangkap hantaran kebelakang rakan sepasukannya tetapi tiada gol berjaya dijaringkan.

Namun selepas itu, satu lagi kesilapan dilakukan penjaga gol ATY Serayan, Khairul Mohamad apabila beliau gagal menangkap baik satu hantaran lintang pihak lawan dan hasilnya Philip Abbah mudah menolak masuk gol pertama Kajang AZS pada minit ke-8 permainan.

Tersentak dengan gol tersebut, ATY Serayan bangkit untuk mencari gol penyamaan dan peluang keemasan mereka hadir pada minit ke-15 perlawanan namun percubaan pemain sayap kanan mereka, Shaza Badri melewati palang gol.

Dalam keghairahan untuk mencari gol, ATY Serayan dihukum apabila pemain tengah mereka gagal mengawal bola dengan baik dan memberi peluang buat Kajang AZS untuk melakukan serangan balas sekaligus menghasilkan gol kedua mereka kali ini melalui Arif Mat Asin pada minit ke-26 perlawanan.

Masuk babak kedua perlawanan, hanya 4 minit selepas separuh masa kedua, Philip sekali lagi menambah derita pasukan ATY Serayan apabila berjaya menyumbat gol ketiga Kajang AZS.

Kali ini melalui satu serangan balas yang mana lorongan cantik berjaya dilakukan pemain tengah mereka dan Philip mudah menewaskan penjaga gol ATY Serayan.

Pada minit ke-44 perlawanan, ATY Serayan diberikan peluang keemasan untuk menjaringkan gol apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti setelah pemain mereka ditolak oleh penjaga gol Kajang AZS di dalam kotak penalti.

Namun ianya gagal disempurnakan dan membuatkan semangat pemain ATY Serayan semakin luntur dalam mencari jaringan.

Philip melengkapkan malam beliau dengan menjaringkan gol ke-4 Kajang AZS dan ianya juga merupakan hatrik pertama beliau dalam kejohanan ini setelah beliau mudah menanduk masuk gol tersebut apabila tidak dikawal hasil hantaran daripada sebelah kiri rakan sepasukannya pada minit ke-49 permainan.

Pesta gol Kajang AZS tidak terhenti di situ apabila pada minit-minit terakhir perlawanan, satu lagi jaringan berjaya dihasilkan Kajang AZS kali ini melalui Irwandi Ismail yang mendapat bantuan daripada Philip untuk gol kelima Kajang AZS.

Perlawanan tamat dengan keputusan 5 gol tidak berbalas dan ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut buat Kajang AZS.

Philip Abbah dipilih sebagai ‘Man of The Match’ setelah mempamerkan aksi terbaik beliau dengan berjaya menjaringkan hatrik dan juga satu bantuan gol.

Statistik perlawanan

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN