Harry Maguire: Kami Mahu Rebut Kejuaraan, Bukan Slot Ke UCL

Harry Maguire

Pertahanan tengah yang merupakan kapten Manchester United, Harry Maguire beranggapan sasaran berada di kelompok empat pasukan terbaik masih tidak cukup buat The Red Devils.

Pemain yang mencuri tumpuan selepas bergelar pertahanan termahal dunia itu melihat Manchester United seharusnya meletakkan sasaran untuk muncul juara Liga Perdana Inggeris (EPL) setelah kali terakhir melakukannya pada musim 2012/13.

Ia juga memberikan makna bahawa selepas ‘pemerintahan’ Sir Alex Ferguson, masih tiada lagi pengurus yang berjaya membawa Manchester United menjulang trofi liga paling popular di dunia itu.

Yang terdekat adalah Jose Mourinho pada dua musim lalu apabila menamatkan saingan di tempat kedua, namun Manchester City yang muncul juara meninggalkan musuh setempat itu dengan 19 mata.

Sehubungan dengan keadaan tersebut, Maguire melihat sasaran tinggi perlu ditetapkan buat kelab yang telah menjulang 13 trofi EPL itu.

Embed from Getty Images

”Anda boleh melihat bermula dari awal musim bahawa kami kelihatan lebih sebagai satu pasukan. Anda juga dapat melihat di mana kami ingin berada dan ke mana kami mahu tuju.”

”Saya tahu ketika pertama kali saya datang ke Manchester United di mana Ole [Gunnar Solskjaer] telah mengatakan bahawa ia adalah proses pembinaan tetapi kami akan sampai ke tempat yang kami inginkan,” ujar Maguire menurut laporan Goal.

”Saya dapat melihat ke mana kami ingin pergi dan cara yang kami mahu terapkan dalam pasukan ini.”

”Jangan salah sangka, terdapat banyak aspek yang kami perlu pertingkatkan untuk berada di atas [EPL], di mana itulah yang kami mahukan.”

”Kami tidak berminat untuk merebut tempat ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL), kami mahu bersaing hebat bagi merebut gelaran juara. Kami tahu banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan tetapi saya merasakan kami berada di landasan tepat dan saya pasti kami akan sampai ke sana,” ujar Harry Maguire melaungkan keyakinannya.

Saingan EPL 2019/20 yang terhenti pada aksi ke-29 menyaksikan Manchester United berada di tangga kelima selepas mengumpul 45 mata, hanya ketinggalan tiga mata di belakang Chelsea.

Kredit foto: Laurence Griffiths/Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Harry Maguire:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram