Harry Edge, Marcel Kalonda Pula?

Harry Edge Auckland City FC 2016

Sebelum ini, Dion Cools tampil menjelaskan mengenai minatnya untuk bersama skuad Harimau Malaya jika dipanggil, terbaharu muncul pula Harry Edge dan Marcel Kalonda.

Dion Cools merupakan pemain kacukan Malaysia-Belgium, sementara Harry Edge adalah kacukan Malaysia-New Zealand, sementara Marcel Kalonda memaklumkan yang beliau memiliki pertalian darah dengan Malaysia menerusi datuknya.

Menariknya, ketiga-tiga pemain tersebut adalah pemain pertahanan yang mungkin dilihat sebagai aset tambahan menarik buat skuad Harimau Malaya untuk saingan kelayakan Piala Dunia yang masih berlangsung sengit pada ketika ini.

Tan Cheng Hoe sudah memiliki benteng ampuh setakat ini, namun tiada perlindungan tambahan yang baik sekiranya pemain-pemain utama posisi tersebut tercedera.

Aidil Zafuan, Shahrul Saad, Matthew Davies dan Corbin Ong boleh dikatakan benteng terbaik skuad negara di era kini, namun, jika kehadiran tiga pemain ini direalisasikan, bangku simpanan skuad kebangsaan akan memiliki tambahan pilihan yang lebih baik.

Baru-baru ini, bapa kepada Harry Edge, Declan Edge menyatakan di laman Twitternya yang anaknya tiada sebarang masalah untuk tampil mewakili Harimau Malaya.

“Tentunya Harry [Edge] terbuka untuk mewakili negara kelahiran saya sekiranya ada peluang,” titip bapa kepada pemain yang berusia 26 tahun itu di laman Twitternya.

Harry Edge berketinggian 1.92 meter itu kini beraksi di liga divisyen 3 Sweden bersama Torslanda IK yang juga dikendalikan oleh bapanya. Beliau juga pernah tampil di kelab English Premier League (EPL), West Bromwich Albion bersama skuad B-23.

Marcel Kalonda pula merupakan pemain pertahanan tengah kelahiran Congo dan kini sedang bermain di Liga Zambia. Beliau sebelum ini tampil menjernihkan keadaan apabila terdapat beberapa pihak menyatakan yang beliau dilahirkan di Sabah.

“Wujud kekeliruan selepas ramai peminat dari Malaysia menghubungi saya mengenai status kelahiran. Saya lahir di Kolwezi, ibu negara Congo, tetapi datuk saya memang berasal dari Sabah,” jelasnya dalam satu kenyataan media tempohari.

“Saya pernah ke Malaysia ketika kecil. Jika diberi peluang dipanggil [sertai skuad Malaysia], saya sedia mencuba,” tambah pemain yang baru berusia 22 tahun itu lagi.

Dalam pada itu, semalam, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam memaklumkan yang pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Liridon Krasniqi sudah disahkan layak untuk menyarung jersi skuad kebangsaan.

KREDIT FEATURED IMAGE: AUCKLAND CITY FC

Baca lagi artikel lain mengenai pemain kacukan dan naturalisasi:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply