Previu Piala AFF: Kukuhkan Bahtera Harimau Malaya Jika Mahu Tumpaskan Vietnam

Harimau Malaya
“Jangan ditebuk bahtera ini kalaupun tidak bersetuju dengan nakhodanya. Kukuhkan bahtera untuk pelayaran seterusnya.”

Perumpamaan yang sesuai dengan situasi semasa ketika segelintir pihak mulai mempersoalkan pemilihan pemain yang telah dibuat oleh ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

Antara yang dipersoalkan ialah keberadaan pemain kesebelasan utama seperti Akram Mahinan dengan beberapa siri hamburan kritikan.

Biarlah yang selayaknya menentukan siapa pemain yang sesuai beraksi dalam kesebelasan utama. Kita sebagai penyokong, teruskan sokongan, jangan diganggu-gugat situasi pasukan yang setakat ini memberikan keputusan positif dalam dua perlawanan.

Foto: FAM
Cabaran getir di Hanoi

Pada malam ini, Malaysia akan melangkah ke perlawanan ketiga peringkat kumpulan kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 dan pastinya sokongan padu dari penyokong amatlah ditagih.

Menentang Vietnam bukan satu tugasan mudah. Apatah lagi pasukan negara bakal berhadapan dengan mereka di Hanoi. Inilah cabaran sebenar buat barisan pemain skuad kebangsaan dengan ada yang menganggap ini sebagai pembuka bicara sebenar.

Foto: AFF Suzuki

Kemboja dan Laos selayaknya serta sudah pun dijinakkan- kini skuad negara akan berdepan dengan salah satu pasukan pilihan untuk melangkah ke pentas final Piala AFF pada edisi kali ini.

Lima perlawanan yang dilalui pada 2018 menyaksikan Vietnam merekodkan 2 kemenangan, 2 seri dan satu kekalahan, namun itu bukanlah indikasi sebenar kekuatan The Golden Dragon.

13 pemain daripada skuad ini dibawa daripada skuad yang telah melangkah ke pentas final Kejohanan AFC B-23, Januari lalu, dan mereka turut diperkuatkan dengan beberapa pemain berpengalaman.

Rekod pertembungan

Sejak 2008, Malaysia tumpas 5 kali dalam 10 pertembungan, sementara bakinya Malaysia hanya menang 3 kali dan 2 aksi lagi menyaksikan ianya terikat dengan keputusan seri.

Kali terakhir kedua-dua pasukan berentap adalah dua tahun lalu di mana Malaysia tewas 0-1 dalam saingan peringkat kumpulan Piala AFF di Yangon- hasil jaringan tunggal Nguyen Trong Hoang.

Foto: Goal

Rekod kemenangan besar Malaysia ke atas Vietnam adalah pada 2008 iaitu dengan keputusan 3-0, sementara rekod kekalahan terbesar pula adalah pada 2014 dengan keputusan 1-3.

Keputusan terkini jelas kurang memihak kepada Harimau Malaya. Namun jangan pernah dilupa, Malaysia pernah mengecewakan Vietnam di halaman sendiri pada saingan AFF 2010 dan 2014.

Rekod pertemuan di Piala AFF

Untuk rekod, dalam perlawanan penting Malaysia selalunya berjaya mengecewakan The Golden Dragon. Kedua-dua pasukan boleh kita katakan adalah seteru panas.

Seperti pada edisi 2010 dan 2014, Malaysia berjaya melangkah ke final selepas menundukkan Vietnam dan menurut media di sana- ia adalah kekalahan yang sehingga kini perit untuk mereka terima.

18 Nov 2000: Pham Nhu Thuan of Vietnam battles Rusdi Suparman of Malaysia during the Malaysia v Vietnam Tiger Cup match at Rajamangala Stadium, Bangkok, Thailand. Mandatory Credit: Stanley Chou/ALLSPORT

Sejak edisi pertama pada 1996, kedua-dua pasukan telah bertarung sebanyak 10 kali dan sekali lagi- Vietnam cemerlang apabila berjaya merekodkan 5 kemenangan ke atas Malaysia.

Hanya 3 kali Harimau Malaya berjaya menewaskan mereka, dua kali di peringkat separuh akhir (2010 dan 2014) dan juga ketika di penentuan tempat ketiga kejohanan pada edisi 2000.

Rekod semasa

Lima aksi terkini skuad Malaysia (M-K-M-M-M)

  • 12 Oktober: Menang vs Sri Lanka 4-1 (Persahabatan)
  • 16 Oktober: Kalah vs Kyrgyzstan 0-1 (Persahabatan)
  • 3 November: Menang vs Maldives 3-0 (Persahabatan)
  • 8 November: Menang vs Kemboja 1-0 (Piala AFF)
  • 12 November: Menang vs Laos 3-1 (Piala AFF)

Lima aksi terkini skuad Vietnam (S-K-M-K-M)

  • 27 Mac: Seri vs Jordan 1-1 (Kelayakan Piala Asia)
  • 22 Oktober: Kalah vs Incheon United 1-2 (Persahabatan)
  • 25 Oktober: Menang vs FC Seoul 2-1 (Persahabatan)
  • 29 Oktober: Kalah vs Seoul E-Land 1-3 (Persahabatan)
  • 8 November: Menang vs Laos 3-0 (Piala AFF)
Apa kata jurulatih

Tan Cheng Hoe: “Dalam falsafah bola sepak saya, semestinya kita tidak akan bertahan sepanjang 90 minit permainan, kita harus menyerang untuk mendapatkan keputusan yang positif.”

“Kita perlu kekalkan permainan ‘possession‘ kita. Saya merasakan yang kedua-dua pasukan akan guna taktikal menyerang dan siapa yang lebih klinikal di depan gol akan memenangi perlawanan.”

Park Hang-seo: “Kita sedia maklum saingan Piala AFF 2018 kian hangat. Setiap perlawanan adalah sukar dan selepas ini kita akan menentang Malaysia yang boleh dianggap seperti perlawanan akhir.”

“Saya telah berada di Kuala Lumpur untuk melihat aksi Malaysia dan begitu juga dengan pegawai-pegawai saya. Jadi kami telah telah bersedia sepenuhnya untuk perlawanan esok.”

Foto: FAM
Pemain tumpuan

Semua mata para penyokong pastinya kini akan terarah kepada wira Harimau Malaya pada perlawanan menentang Laos tempohari iaitu penyerang berpengalaman, Norshahrul Idlan Talaha.

Norshahrul Idlan telah berjaya meledak dua gol di penghujung perlawanan untuk membantu Malaysia menewaskan ‘defensive‘ Laos dengan keputusan 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Malaysia’s Norshahrul Idlan Talaha (9)celebrates his second goal during the AFF Suzuki Cup group A between Malaysia and Laos.He scored 2 goals during the match and Malaysia won by 3-1 November 12,2018. Picture by — Ahmad Zamzahuri

Tiga gol peribadi dalam dua perlawanan setakat ini menjadikan nama Mat Yo kembali sensasi walaupun terdapat beberapa aspek lagi yang boleh diperbaiki olehnya berdasarkan aksi tersebut.

Ini adalah edisi kelima buatnya dan dalam 4 edisi sebelum ini dia telah berjaya meledak 4 gol. Norshahrul mampu mengatasi rekod jaringan 4 edisinya kali ini, jika sentuhannya terus berbisa.

Ramalan Semuanya BOLA

Bak kata ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-seo, perlawanan antara Vietnam dan Malaysia ini umpama aksi final. Tiada lagi jalan mudah buat skuad kebangsaan bermula pada perlawanan ini.

Jika mahu memahat nama selaku pasukan pertama yang melayakkan diri ke peringkat separuh akhir, Harimau Malaya perlu memenangi pertempuran di My Dinh pada malam ini. Dua perlawanan sebelum ini jelas menampakkan sentuhan penyudah yang kurang menjadi dan ini adalah antara perkara mustahak yang perlu diperhalusi oleh Cheng Hoe.

Vietnam akan berhabisan untuk menang ditambah pula beraksi di hadapan penyokong di laman sendiri. Disamping memperbaiki sentuhan penyudah, struktur pertahanan juga wajar diamati. Aksi baik Syafiq Ahmad di jentera tengah tempohari mungkin akan menjamin tempatnya. Memiliki kawalan bola yang baik, Syafiq mampu membantu mengalirkan bola ke bahagian serangan.

Harimau Malaya
Foto: FAM

Dengan kekurangan pilihan pemain sayap yang berprestasi baik, dijangkakan Cheng Hoe bakal menurunkan ‘Messi Kedah’, Akhyar Rashid untuk mengucar-kacirkan pertahanan lawan. Untuk posisi lain, tiada perubahan besar bakal berlaku dengan semua pemain bakal mengekalkan posisi masing-masing. Sumareh mungkin bakal direhatkan lagi sekiranya belum cergas sepenuhnya.

Dengan momentum dua kemenangan sebelum ini, moral di kem Harimau Malaya sedikit tinggi dan dijangka akan memiliki kelebihan berbanding Vietnam yang baru sekali beraksi. Namun, jika tidak berhati-hati, The Golden Dragon mampu memenangi perlawanan ini seterusnya menyekat hasrat Malaysia untuk melangkah lebih awal ke peringkat separuh akhir.

Kedua-dua pasukan dijangka akan mempamerkan corak permainan menyerang. Ketajaman sentuhan penyudah boleh menjadi pemisah kedua-dua pasukan.

Ramalan: Malaysia 2-2 Vietnam

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN